Pengarah program itu, Fazilatul Haida Hadzir berkata, simposium anjuran Politeknik Seberang Perai, Pulau Pinang tersebut begitu bermakna kerana membolehkan generasi muda khususnya pelajar institusi pengajian tinggi mempelajari sejarah warisan bangsa.

Katanya, banyak perkara baharu yang dapat disampaikan kepada golongan itu menerusi pembentangan kertas kerja dan kajian yang dijalankan pihak-pihak yang terlibat.

“Perbincangan mengenai kelestarian seni, budaya dan warisan bangsa ini adalah seiring dengan Revolusi Industri 4.0 yang wajar dihayati oleh pelajar,” katanya ketika ditemui.

Yang turut hadir Pengarah Pusat Arkeologi Global, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Datuk Dr. Mokhtar Saidin; Pengarah Politeknik Seberang Prai, Mohd. Fisal Haroon dan Mohd. Zuraimi Zulkeply dari Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP).

Lebih menarik para peserta juga berpeluang melawat beberapa lokasi termasuk tapak warisan Kuala Semeling, Galeri Kedah Tua, Arkeologi Sungai Batu dan kemudian menaiki bot Katamaran hampir dua jam bagi melihat keadaan Hutan Bakau sepanjang Sungai Merbok.

Ahli Parlimen Merbok, Nor Azrina Surip ketika menutup simposium itu berkata, langkah diambil oleh Politeknik Seberang Perai dan beberapa agensi lain adalah wajar dan perlu diteruskan.

“Pelajar perlulah mempelajari dan menghayati sejarah negara sendiri dan tidak memandang sepi setiap warisan yang ada di negara ini.

“Ini kerana kejayaan membina negara cemerlang adalah bergantung kepada semangat cintakan negara sendiri,” katanya.

Peserta, Nuur Asikin Abdullah, 20, dari Politeknik Muadzam Shah, Pahang, menyifatkan bahawa memiliki kerjaya hebat semata-mata tidak memberi sebarang makna jika seseorang individu itu tidak mempelajari warisan sejarah dan budaya negara. - UTUSAN ONLINE