29 Ogos 2014
3 Zulkaedah 1435

Teknologi Test Bed MARDI bantu IKS

Operasi yang menekankan aspek kebersihan adalah antara elemen utama yang dititikberatkan di Stesen Test Bed Teknologi MARDI Stesen Kuala Terengganu di Kubang Jela, Kuala Terengganu.

KUALA TERENGGANU 20 Jun - Usaha merangsang kelahiran usahawan kecil dan sederhana (IKS) dalam pelbagai bidang sentiasa digerakkan oleh kerajaan dari semasa ke semasa.

Mereka diberikan latihan, bimbingan, bantuan malah insentif jika bersedia untuk terus memajukan diri dengan perniagaan yang diceburi melalui ruang dan peluang tersedia.

Ia memberi penekanan ke arah menghasilkan produk dan perkhidmatan yang berkualiti, bernilai lebih komersial dengan pendekatan baru dan berkeupayaan untuk berdaya saing.

Salah satu institusi yang melaksanakan peranan dan tanggungjawab diamanahkan untuk tujuan itu sejak berapa dekad lalu ialah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

Usaha terbarunya untuk membantu membangunkan usahawan IKS termasuklah dengan memperkenalkan teknologi sistem Test Bed MARDI, salah satu daripada beberapa bentuk khidmat sokongan teknikal yang dianjurkan di bawah program pembangunan usahawan.

Sistem ini bertujuan meningkatkan kejayaan usahawan dalam pengeluaran produk makanan melalui penggunaan teknologi terkini dan mengikut cita rasa pasaran.

Test Bed merupakan makmal teknologi pemprosesan makanan yang dilengkapi dengan mesin dan peralatan moden untuk kemudahan pengeluaran berskala kecil bagi jenis produk makanan terpilih.

Melaluinya, usahawan akan mendapat khidmat bimbingan teknikal dan latihan terus dalam pengeluaran pelbagai produk makanan yang disasarkan termasuk produk-produk baru.

Sehingga kini, seramai 1,600 usahawan di seluruh negara mendapat faedah dan berharap mereka memanfaatkan kemudahan yang disediakan.

Setiap usahawan akan menjalani latihan dan bimbingan daripada awal pemprosesan sehingga kepada pelabelan antara 30 hari dan tiga bulan bergantung kepada jenis produk yang dihasilkan.

MARDI mempunyai sembilan lokasi teknologi Test Bed yang dibangunkan di beberapa stesen penyelidikan dan pembangunan di seluruh negara.

Pengarah Pusat Promosi dan Pembangunan Teknologi MARDI, Datuk Dr. Masri Muhamad berkata, sistem tersebut merupakan premis atau makmal pemprosesan pengeluaran skala kecil bagi industri makanan terpilih.

"Bermula pada 2006 semasa Rancangan Malaysia Ke-9, sistem dibina dalam bangunan atau premis yang baru atau diubah suai sebelum dilengkapkan dengan mesin, diuji lari dan diberikan prosedur operasi standard (SOP) dan barulah boleh menerima usahawan," katanya.

Ketika bercakap kepada pemberita pada majlis pelancaran teknologi sistem Test Bed MARDI Stesen Kuala Terengganu di Kubang Jela, dekat sini katanya, sistem terarah kepada pemprosesan makanan negara berasaskan 13 kluster produk.

"Stesen di sini menyokong usaha pembangunan produk berasaskan ikan dan makanan laut serta pengkomersialan teknologi berkaitan produk makanan itu.

"Ia mampu memberi pengalaman kepada usahawan dalam teknologi pemprosesan, pembungkusan, peningkatan mutu, kos pengeluaran dan juga ujian pasaran.

"Latihan pengoperasian mesin dan peralatan secara sistematik diajar, kaedah penyimpanan, pembangunan produk baru, keselamatan serta analisis makanan," jelas beliau.

Selain menjadi pusat penyelidikan teknologi makanan, stesen itu turut mengeluarkan pelbagai produk termasuklah ikan keli salai, filet ikan, nuget ikan, tempura siakap, ikan berempah sejuk beku dan kebab ikan keli.

Tambah beliau, kemudahan makmal Test Bed bernilai RM1.27 juta itu mengendalikan 35 kursus disertai 350 usahawan sejak Julai lalu.

Usahawan boleh menggunakan fasiliti stesen itu untuk tujuan latihan yang memakan masa antara satu hingga tiga bulan bagi setiap pengusaha dan hanya seorang pengusaha boleh menggunakan teknologi itu dalam satu-satu masa.

Pemilihan usahawan IKS bagi menggunakan khidmat teknologi Test Bed MARDI ditentukan melalui sesi 'runding cara' bersama program pembangunan usahawan MARDI bagi menentukan tujuan dan keperluan.

Tempoh penempatan usahawan terpilih di sistem Test Bed adalah secara jangka pendek mengikut tujuan dan keperluan yang ditentukan.

Stesen itu kata Masri, turut menyediakan perkhidmatan nasihat untuk pemasaran dan pembiayaan perniagaan khususnya soal pinjaman bagi pembelian rantaian mesin dengan institusi pinjaman tertentu.

Kata beliau, setiap mesin bergantung kepada kapasiti pengeluaran, kaedah proses dan rantaian nilai sesuatu operasi.

"Contohnya, sebuah mesin berharga RM300,000 untuk memproses 300 kilogram (kg) keropok lekor sehari dan RM650,000 diperlukan untuk kapasiti memproses 600 kg nuget sehari.

"Selain itu, usahawan juga didedahkan dengan Akta Makanan bagi memudahkan mereka membawa produk lebih jauh seperti pasar raya dan global," jelasnya.

Usahawan yang terlibat dengan MARDI katanya, boleh membina perniagaan berasaskan teknologi yang memerlukan teknologi tinggi di samping perlu menguasai teknologi supaya boleh berkembang dan berdaya saing.

Di sini katanya, usahawan akan menggunakan rumusan sendiri, menguruskan mesin yang ada serta memasarkannya sendiri.

"Ini bagi memberikan keyakinan kepada usahawan untuk melabur membeli peralatan dengan bantuan dan tunjuk ajar MARDI," kata beliau.

Test Bed ini akan dapat memastikan supaya usahawan akan bersedia dari aspek pengalaman praktikal dalam teknologi pengeluaran, pembungkusan, jaminan mutu, kos pengeluaran dan juga pemasaran sesuatu produk makanan sebelum mempelbagaikan pengeluaran atau membangunkan kilang sendiri.

Malah, ia juga tentunya dapat menggalakkan pegawai penyelidik untuk menguji produk-produk baru bagi tujuan peningkatan skala.

Kini Test Bed MARDI dalam proses mendapatkan pengiktirafan ISO 9001 (2008) dari SIRIM.