30 Ogos 2014
4 Zulkaedah 1435

Vuvuzela diharamkan pada Piala Konfederasi

RIO DE JANEIRO - Selain vuvuzela, sejenis peralatan muzik genderang Brazil, caxirola akan diharamkan daripada di bawa masuk ke stadium pada Piala Konfederasi, bulan depan atas alasan keselamatan, kata penganjur, semalam.

"Para penyokong tidak dibenarkan masuk ke stadium dengan alat muzikal tersebut dan pengharaman itu termasuk caxirola.

"Kami akan melaksanakan larangan tersebut sewaktu perlawanan persahabatan dan selepas itu, pada Piala Konfederasi," kata pengawai Jawatankuasa Penganjur Piala Konfederasi yang bertanggungjawab mengendalikan bahagian keselamatan.

Pertandingan itu akan diadakan pada 15 hingga 30 Jun ini dan pengharaman tersebut pula berkuatkuasa Ahad iaitu sewaktu perlawanan persahabatan antara Brazil dan England di Stadium Maracana, Rio.

Keputusan itu dibuat berikutan insiden yang berlaku pada 28 April lalu apabila para penyokong yang berang bertindak melemparkan caxirola ke dalam padang sewaktu perlawanan antara Bahia dan Vitoria.

Caxirola diumumkan oleh Presiden Brazil, Dilma Rousseff, bulan lepas sebagai alat muzik rasmi Piala Dunia 2014.

Alat muzik tersebut diperbuat daripada plastik dan direka bentuk oleh komposer terkenal Brazil, Carlinhos Brown. Caxirola dikatakan mampu menghasilkan getaran bunyi harmoni apabila alat tersebut digoncang.

Sementara itu, vuvuzela pula merupakan sejenis alat muzik tradisional Afrika Selatan yang diperbuat daripada plastik dan menghasilkan bunyi hon yang membingitkan.

Vuvuzela menjadi simbol bola sepak Afrika Selatan selepas para penyokong menggunakan alat muzik itu sebagai aksesori penting sewaktu perlawanan.

Alat tersebut menjadi terkenal di seluruh dunia sewaktu Piala Konfederasi 2009 dan menjadi bahan bualan pada Piala Dunia tahun berkenaan. - AFP