20 September 2014
25 Zulkaedah 1435

Pelajar tunggang motosikal tanpa lesen maut kemalangan ketika ke sekolah

MELAKA 29 Jun - Naluri seorang datuk cukup kuat mengatakan kemalangan yang berlaku tidak jauh dari rumahnya di Lebuh SPA, berhampiran Bertam Ulu pagi semalam melibatkan cucu saudaranya.

Sebaik sahaja dimaklumkan mengenai kemalangan itu oleh seorang rakan ketika berada di sebuah warung, hati Johari Yaakop, 54, tidak tenteram kerana dia yakin mangsa yang terlibat dalam nahas itu mungkin darah dagingnya sendiri.

Telahan Johari itu tepat setelah dia bergegas ke lokasi kemalangan dan mendapati pelajar sekolah yang maut dalam nahas itu adalah cucu saudaranya, Muhammad Hakimi Mohammad Tarmizi, 16, pelajar tingkatan empat di Sekolah Menengah Agama Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Al-Ahmadi, Sungai Udang di sini.

"Saya dimaklumkan oleh rakan di warung terdapat seorang pelajar sekolah maut dalam kemalangan berhampiran Bertam Ulu.

"Hati saya terus bimbang mungkin mangsa kemalangan ini cucu saya, kerana dia bersekolah di Al-Ahmadi dan sering menggunakan jalan ini untuk ke sekolah.

"Terbukti apa yang saya bimbangkan itu betul kerana sebaik menyelak kain yang menutup mayat pelajar itu saya dapati dia ialah cucu saudara saya," katanya sambil memberitahu sekolah itu hanya kira-kira empat kilometer dari rumah mangsa.

Muhammad Hakimi, anak sulung daripada tiga beradik meninggal dunia setelah motosikal ditungganginya ke sekolah terbabas dalam kejadian pukul 7.30 pagi.

Ketika kejadian, pelajar ini keluar dari rumahnya di Kampung Bertam Ulu dengan menunggang motosikal jenis Honda EX5.

Bapa mangsa, Mohammad Tarmizi Aziz, tiba di tempat kejadian tidak lama kemudian dan tidak dapat mengawal perasan sebaik sahaja melihat mayat anaknya.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd. Rahman berkata, motosikal mangsa dipercayai terbabas menyebabkan pelajar itu tercampak ke laluan bertentangan.

"Akibatnya, mangsa yang tidak memiliki lesen cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi semalam.

Kes ini disiasat mengikut Sesyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.