23 April 2014
23 Jamadil Akhir 1435

Melaka diserbu pelancong

TEMPAT-tempat bersejarah terutamanya di sekitar bangunan Stadhyus menjadi tumpuan kepada jurufoto sebagai lokasi merakam gambar perkahwinan.

MELAKA 4 Jun - Setiap kali musim cuti sekolah, Melaka sudah tentu menjadi pilihan utama kaum keluarga, sanak-saudara, ipar-duai termasuk pelancong luar negara berkunjung ke negeri ini.

Sudah menjadi satu kelaziman bukan sahaja pada musim cuti sekolah malah cuti hujung minggu atau kelepasan am, berpusu-pusu kereta dari luar masuk ke negeri ini sama ada dari Plaza Tol Simpang Ampat di Alor Gajah atau Plaza Tol Ayer Keroh.

Bukan sahaja kereta, malah bas pelancong turut berpusu-pusu masuk menuju ke pusat bandar raya.

Bagi mereka yang datang dari Johor dan Singapura pula, laluan dari Muar melalui Gerbang Selatan di Sungai Rambai menjadi laluan masuk bagi mengelak kesesakan di Plaza Tol Ayer Keroh.

Tidak kurang pula mereka yang menghadiri banyak majlis perkahwinan sempena musim cuti sekolah turut tidak melepaskan peluang berkunjung ke beberapa produk pelancongan di sini.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati musim cuti sekolah yang bermula Jumaat lalu selama dua minggu, kawasan tumpuan di Banda Hilir seperti lazim menerima kunjungan pelancong domestik dan luar negara di luar jangkaan.

Tidak hairanlah sejak minggu lalu hingga minggu terakhir musim cuti sekolah Ahad ini hampir kebanyakan hotel di sekitar bandar raya Melaka telah habis ditempah.

Bukan sahaja hotel berstatus lima atau empat bintang habis ditempah malah hotel bajet di sekitar Banda Hilir serta sekitarnya turut dipenuhi pelanggan.

Di setiap pintu masuk hotel akan terpampang ‘full’ atau penuh, hanya menjadi penyelamat ialah penginapan inap desa atau homestay yang begitu banyak di sekitar bandar raya ini.

Jika tidak ada penginapan, mereka yang datang untuk tujuan bercuti terpaksa membatalkan hasrat itu sebaliknya sekadar membuat lawatan sehari.

Ekoran kunjungan luar biasa pelancong sejak Jumaat hingga Ahad lalu, berlaku kesesakan teruk di dua pintu plaza tol masuk ke bandar raya ini.

Kesesakan turut berlaku di semua laluan masuk ke Banda Hilir bermula dari persimpangan lampu isyarat berhampiran Hospital Melaka hingga ke Dataran Pahlawan.

Situasi yang serupa turut berlaku di Klebang dan arah masuk ke bandar raya dari Alor Gajah melalui Cheng turut mengalami kesesakan jalan raya.

Sudah menjadi kelaziman mereka yang datang ke negeri ini mesti singgah di sekitar kawasan Banda Hilir yang menempatkan kesan peninggalan penjajahan Barat bermula dengan Portugis, Belanda dan Inggeris.

Sejak dulu hingga kini aset peninggalan penjajah itu menarik kedatangan pelancong tempatan dan asing.

Kota A’ Famosa, makam Hang Jebat, perigi Hang Tuah, bangunan Stadhuys, Bukit St. Paul, kapal Samudera, muzium, Jonker Walk, Dataran Pahlawan dan Menara Taming Sari adalah antara kawasan yang menjadi tumpuan sejak dari pagi hingga ke malam.

Bot Melaka River Cruise turut menggamit ramai pengunjung apabila sejak dari pukul 9 pagi hingga 12 tengah malam, bot berkenaan dipenuhi orang ramai.

Kenderaan amfibia, Duck Tours turut menjadi tumpuan selain kawasan luar Banda Hilir iaitu di Dataran 1Malaysia, Klebang tidak terkecuali menjadi tarikan kerana di situ terdapat Muzium Kapal Selam.

Di kawasan Ayer Keroh juga menjadi tumpuan kerana terdapat Planetarium, Pusat Boling Antarabangsa Melaka (MIBC) yang mempunyai 54 lorong, Taman Botanikal, Taman Tema Air Melaka Wonderland, Zoo Melaka, Taman Seribu Bunga

Tidak kurang menjadi tumpuan ialah restoran yang menghidangkan masakan asam pedas terutama di Taman Kota Laksamana.

Ikan bakar juga menjadi mercu tanda produk pelancongan terutama di Alai, Muara Sungai Duyung, Ikan Bakar Terapung Umbai, Medan Ikan Bakar Parameswara, Pernu dan Crystal Bay.

Ini kerana tempat-tempat tersebut telah sekian lama menjamu para pelancong yang datang ke negeri ini sehingga ia memberikan kesan jemu khususnya kepada mereka yang sering berkunjung ke sini.