30 Ogos 2014
4 Zulkaedah 1435

Cara menunaikan solat orang sakit

ASSALAMMUALAIKUM,

Saya Emran, 33 tahun, ingin bertanya tentang solat orang sakit (solat duduk). Saya mengalami sakit sendi lutut (knee o.a).

Soalan saya. Selama ini saya biasa solat di rumah menggunakan kerusi. Bolehkah saya solat cara duduk bersila? Jika tiada kerusi terutama ketika berada di luar. bukan seperti duduk antara dua sujud yang biasa saya lihat?

n Emran Md Said, Melaka

Waalaikumsalam,

Alhamdulillah, kita yang merupakan umat Islam, harus banyak bersyukur kepada Allah Taala yang telah memberikan kepada kita agama yang mudah. Mengapakah Allah Taala berbuat demikian? Pastinya kerana Allah Taala mengetahui kelemahan dan kekurangan manusia.

Dalil-dalil al-Quran menunjukkan bahawa ajaran agama Islam sesuai dengan kemampuan manusia. Allah Taala telah berfirman (Surah al-Taghabun ayat 16) "Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya upaya kamu." Allah Taala juga berfirman (Surah al-Baqarah ayat 286) "Allah tidak mempertanggungjawabkan seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya." Ayat-ayat seperti ini jelas menunjukkan bahawa manusia dipertanggungjawabkan dengan amalan yang sesuai dengan kemampuan manusia.

Seterusnya, berkenaan dengan solat secara duduk, dapatlah dibahagikan perbincangan kepada dua. Pertama, solat secara duduk untuk solat fardu dan kedua, solat secara duduk untuk solat sunat.

Bagi solat fardu, berdiri adalah wajib. Akan tetapi bagi yang tidak mampu, boleh sahaja duduk atau baring. Perkara ini dijelaskan oleh Rasulullah SAW, "Solatlah dengan berdiri. Jika tidak mampu maka dengan duduk. Jika tidak mampu maka dengan baring mengiring" (Hadis riwayat al-Imam al-Bukhari, no. 1057). Di dalam hadis ini Rasulullah SAW telah menjelaskan bahawa jika kita mampu, cara solat adalah dengan berdiri. Jika tidak mampu berdiri, lakukanlah solat dengan cara duduk. Dan jika duduk juga tidak mampu, maka lakukanlah solat dengan cara baring mengiring.

Hadis ini menunjukkan solat fardu itu tidak boleh sekali-kali diabaikan. Walau bagaimanapun keadaan kesihatan kita ataupun keadaan graviti kita, kita tetap kena solat. Maksud graviti di sini ialah jika kita naik kapal atau sebagainya, di mana kita tidak dapat seimbangkan badan kita untuk berdiri.

Bagi solat sunat pula, berdiri tidaklah wajib walaupun mampu. Namun ia tetap afdal dan terbaik. Rasulullah SAW telah bersabda, "Solat seseorang lelaki itu secara duduk adalah pahala setengah solat" (Hadis riwayat al-Imam Muslim, no. 1220). Al-Imam al-Nawawi rahimahullah dalam kitab Syarah Sahih Muslim telah menjelaskan bahawa maksud hadis ini ialah orang yang solat sunat secara duduk sedangkan dia mampu berdiri, dia akan mendapat setengah pahala berbanding orang yang solat secara berdiri. Namun jika dia solat secara duduk kerana tidak mampu berdiri, maka pahalanya tidak dikurangi.

Berkenaan dengan cara duduk yang menggantikan berdiri dalam solat pula, terdapat hadis bahawa Aisyah r.a. berkata, "Saya telah melihat Rasulullah SAW. solat secara duduk bersila" (Hadis riwayat al-Imam al-Nasai, no. 1651 dan dinilah sahih oleh al-Albani). Ini adalah bentuk duduk yang dilakukan oleh Rasulullah SAW. Ia lebih kepada keselesaan individu. Al-Shaikh Ibn al-Uthaimin telah menjelaskan bahawa duduk bersila adalah lebih utama kerana Rasulullah SAW solat begitu. Namun solat dengan cara bersila tidaklah merupakan suatu yang wajib. Boleh sahaja solat duduk dengan bentuk-bentuk yang lain, kerana Nabi SAW mengatakan dalam hadis di atas bahawa orang yang tidak mampu berdiri dibenarkan duduk secara umum.

- DR. FADLAN MOHD. OTHMAN merupakan Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia selain Pengerusi Sekretariat Ilmuwan Malaysia.

Sebarang persoalan bolehlah di e-melkan di alamat berikut, mingguanmail@gmail.com