22 Ogos 2014
26 Syawal 1435

Kilang Bioplastik ICBP patut dibantu

Amir Abul Hasan Ashari (kiri) bersama rakannya Azhar Aziz menunjukkan bahan asas bio resin untuk membuat bioplastik di kilang CIBP di Zon Bebas Cukai Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Johor, baru-baru ini.

BANYAK gesaan supaya cawan dan mangkuk atau seumpamanya yang diperbuat daripada polisterin tidak digunakan lagi dalam sajian makanan kerana bimbang boleh berbahayakan kesihatan.

Penyelidikan menunjukkan sterin dan benzin dalam produk polisterin mendatangkan kesan rasa gementar pada individu dan mencemarkan alam sekitar. Begitu juga kesan penggunaan beg plastik pada masa kini untuk membungkus atau membalut makanan. Beg plastik bukan bahan mudah lupus dan menyebabkan masalah kepada alam sekitar.

Produk atau beg plastik terbiodegradasikan (mudah hancur) apabila dilupuskan akan bertindak balas cepat sebagai kesan aktiviti bakteria dan tanah dan bertukar bentuk menjadi unsur bahan karbon secara kitaran semula jadi. Beg plastik boleh mencemarkan alam sekitar termasuk saliran air, merosakkan tanaman dan kehidupan haiwan. Jika dilupuskan, produk plastik tidak mudah reput dan mengandungi bahan toksik (beracun). Jalan penyelesaian masalah ini ialah penggunaan produk plastik terbiodegradasikan yang mudah dilupuskan bersama sampah.

"Teknologi moden telah menemukan kita dengan resin (damar) plastik daripada kanji jagung, ubi kentang dan ubi gajah. Bahan-bahan asas ini mudah hancur di dalam tanah," kata Pengarah Urusan Indochine Bio Plastiques (ICBP) Sdn. Bhd. Amir Abul Hasan Ashari.

Beliau yang telah menubuhkan syarikat ini memberitahu, lebih 10 tahun lalu bio resin untuk pembuatan bioplastik adalah berasaskan daripada jagung dan ubi kentang. Kanji daripada jagung dan ubi kentang itu menimbulkan tanggapan 'makanan untuk plastik' dan perdebatan hebat turut ditimbulkan kerana kedua-dua tanaman itu daripada sumber tanaman yang telah diubah suai genetiknya, beracun, berbahaya kepada persekitaran dan bermusim.

Oleh kerana kesan kekurangan makanan dunia, Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat menguatkuasakan larangan penggunaan bioplastik daripada bahan-bahan berasaskan makanan alternatif ini seperti jagung, beras dan ubi kentang.

"Pada masa kini kebanyakan pengeluar bio resin untuk bioplastik di dunia menggunakan kanji daripada jagung dan ubi kentang. Keadaan ini memberi kelebihan kepada pengeluaran bio resin daripada kilang ICBP di Malaysia. ICBP perlu meningkatkan lagi keupayaan pengeluarannya dalam memenuhi permintaan tinggi dari Kesatuan Eropah, Amerika Syarikat, Asia Barat, Australia, Afrika, ASEAN, Jepun, Korea Selatan dan negara lain." jelas Amir.

Masalah yang dihadapi oleh sekarang ialah untuk mendapatkan bantuan dana daripada agensi kerajaan bagi merancakkan pengeluaran kilangnya di dalam kawasan enam ekar yang serba lengkap dengan kemudahan dan keselamatan di Zon Bebas Cukai Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Johor.

"Sistem pengeluaran yang ada tidak mampu memenuhi permintaan daripada pelanggan tempatan dan luar negara, maka kami perlukan bantuan dana daripada kerajaan untuk menambahnya," kata Amir.

Beliau menubuhkan ICBP pada 4 Oktober 2005 dengan modal sendiri. ICBP merupakan kilang mengeluarkan resin plastik sebagai bahan asas dalam pembuatan barangan plastik terbiodegradasikan daripada ubi gajah. ICBP juga ialah syarikat pertama di dunia yang disijilkan. Pada masa kini, ICBP ialah satu-satunya pemain industri bioteknologi di Iskandar Regional Development Authority (IRDA), Johor.

ICBP juga memegang lesen pembuatan daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI). Syarikat 100 peratus milik bumiputera ini juga dianugerah 'status perintis' pada 2007 daripada Lembaga Pembangunan Industri Malaysia (MIDA). ICBP ialah syarikat pertama di rantau ini menerima sijil berprestij AIB-Vincotte Certification (tanda pengesahan 'OK Biobased') yang mengesahkan ICBP memiliki keupayaan teknologi yang setaraf dengan pembuat resin berasaskan bio dari negara seperti Amerika Syarikat, Eropah, Jepun dan negara lain.

Persijilan OK Biobased yang diterima membuka masa depan ICBP untuk menjadi perintis pembuat resin bioplastik daripada ubi gajah. Pada masa kini resin terbiodegradasikan digunakan sebagai bahan tambahan pada produk plastik berasaskan petroleum. Bagaimanapun peningkatan kesedaran alam sekitar dan mengurangkan pergantungan bahan api fosil, maka resin plastik terbiodegradasikan telah memasuki prominence sebagai produk pengganti, bermodalkan 'Sijil Teknologi Hijau' dan faedah alam sekitar bagi menyelamatkan bumi tanpa menolak ciri-ciri plastik daripada kehidupan moden.

"Resin bio ICBP mesra alam sekitar. Faedah untuk alam sekitar dengan mengurangkan kesan karbon hasil penggunaan bioplastik mendorong kerajaan Malaysia," kata Amir.

Penerimaan sijil Halal daripada Jabatan Agama Islam Johor membuka peluang ICBP meneroka pasaran dunia Islam terutama berkaitan penyediaan makanan seperti peralatan sudu dan garpu untuk katering dan syarikat penerbangan dan sebagainya.

Bio resin daripada syarikat ICBP dihasilkan daripada sumber diperbaharui kanji ibu gajah dengan tambahan plasticizers dan compatibilizers. Bio resin ini berasal daripada alam semula jadi, kesan karbon yang sangat rendah dan mesra penjagaan alam sekitar.

ICBP mengeluarkan resin bioplastik terbioderadasikan berasaskan ubi gajah yang sesuai untuk penyuntikan gred, penggunaan membuat mold. Resin bio boleh digunakan untuk produk beracuan bagi bungkusan makanan, sudu garpu pakai buang, komponen casing elektronik, komponen automotif dan lain-lain.