23 September 2014
28 Zulkaedah 1435

Menjaga kebajikan veteran ATM

Pengorbanan anggota tentera untuk mempertahankan maruah, keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa dihargai oleh kerajaan dan rakyat.

Sehubungan itu kerajaan sentiasa menyediakan kemudahan kepada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan ahli keluarganya semasa bertugas dan selepas tamat perkhidmatan secara berterusan dan berkekalan.

Melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV), Kementerian Pertahanan, kerajaan menyediakan peruntukan jutaan ringgit setahun untuk menanggung sebahagian besar kos perubatan anggota dan ahli keluarga ATM serta bantuan pendidikan anak-anak mereka selepas menamatkan perkhidmatan.

Ketua Pengarah JHEV, Mejar Jeneral Datuk Zulkiflee Mazlan, berkata JHEV ditubuhkan bertujuan menguruskan pengagihan manfaat persaraan termasuk pencen dan program kebajikan bagi veteran ATM dan tanggungan mereka yang layak.

Menurutnya, pada masa ini bilangan anggota veteran ATM dianggarkan 301,200 orang yang sebahagian besarnya merupakan bekas tentera tidak berpencen. Secara purata dianggarkan seramai 3,000 anggota ATM menamatkan perkhidmatan setiap tahun.

Veteran ATM adalah berbeza dengan pesara-pesara perkhidmatan awam yang lain dari segi terma perkhidmatan. Ada antara mereka yang berpencen (berkhidmat melebihi 21 tahun) dan ada pula yang tidak berpencen (berkhidmat kurang daripada 21 tahun).

Antara keistimewaan veteran ATM berbanding perkhidmatan awam yang lain ialah mempunyai kemudahan rawatan perubatan percuma kepada semua veteran ATM tidak kira yang berpencen dan tidak berpencen.

"Secara purata, pembayaran kemudahan rawatan perubatan kepada veteran ATM berpencen dan tidak berpencen adalah sebanyak RM38.1 juta setahun kepada 10,500 penerima.

"Bagi golongan veteran yang miskin, tidak kira yang berpencen atau tidak berpencen, jabatan menyediakan skim bantuan kebajikan dan pendidikan seperti bantuan sara hidup, bantuan persekolahan anak-anak, bantuan kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi anak-anak veteran ATM, bantuan peralatan pesakit dan bantuan bencana alam," kata Zulkifli.

Semua veteran ATM yang tidak berpencen, berpencen tetapi kurang dari paras garis kemiskinan atau yang tidak berupaya bekerja (lumpuh), JHEV menyediakan beberapa skim bantuan kebajikan dan pendidikan seperti bantuan sara hidup iaitu bantuan kewangan untuk meringankan beban veteran atau tanggungannya yang kurang mampu pada kadar maksimum RM300 sebulan.

Menurut Zulkifli, bantuan persekolahan anak-anak veteran turut diberikan bagi meringankan beban perbelanjaan persekolahan iaitu jumlah bantuan kewangan tahunan bagi sekolah rendah RM500 manakala bagi sekolah menengah RM700 dan ia hanya diberikan kepada seorang anak bagi satu keluarga.

JHEV turut menyediakan bantuan kemasukan ke IPTA bernilai RM1,000 di peringkat diploma RM1,500 peringkat ijazah pertama.

Bantuan peralatan pesakit turut disediakan yang bertujuan memberi bantuan kewangan sekali gus kepada veteran, isteri/suami dan tanggungan yang layak untuk membeli peralatan bantuan sokongan seperti kerusi roda, tongkat, katil, tilam dan sebagainya - dengan bantuan maksimum sebanyak RM5,000. Struktur rumah veteran yang mengalami kerosakan akibat kebakaran, ribut taufan dan banjir turut mendapat bantuan maksimum sebanyak RM5,000.

Secara purata, JHEV mengeluarkan perbelanjaan skim bantuan kebajikan dan pendidikan sebanyak RM10.5 juta setahun kepada 9,500 penerima.

Zulkifli berkata, kerajaan turut memberi kemudahan dan kebajikan kepada bakal-bakal pesara dan bekas pesara termasuk untuk veteran ATM yang ingin dan mampu bekerja.

Menurutnya, sebelum menjalani latihan di Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat), bakal pesara akan mengambil ujian profiling untuk membantu mereka memilih dan menentukan jenis kemahiran dan kecenderungan supaya memilih kursus yang sesuai.

"Forum khidmat nasihat diberikan kepada bakal pesara yang menjalani latihan peralihan untuk memberi pengetahuan serta pengenalan kepada mereka. Usaha mencari dan mencadangkan pekerjaan yang sesuai dengan pesara melalui sesi suai kenal dengan bakal-bakal majikan juga diadakan," katanya.

Pesara akan didedahkan dengan peluang-peluang kerjaya yang bersesuaian dengan kemahiran dan kepakaran masing-masing.

Kementerian menerusi JHEV juga melaksanakan program bagi membangunkan usahawan melalui khidmat perunding dan pemantauan berkala. Pemantauan dibuat supaya sebarang isu dan masalah dapat dibantu demi memantapkan usahawan yang terlibat.

Dalam masa terdekat, Perhebat akan melancarkan program melahirkan usahawan dan kerjaya kedua untuk veteran ATM yang tidak berpencen melalui peruntukan RM50 juta di bawah bajet 2012.

Katanya, sejak 15 Oktober 2010 veteran ATM berpencen dan tidak berpencen serta tanggungannya layak memohon bantuan mengurus jenazah daripada JHEV. Bantuan ini bertujuan meringankan beban perbelanjaan pengurusan jenazah bagi veteran dan tanggungan mereka.

Jumlah bantuan yang diberikan adalah RM3,000 bagi veteran dan RM1,500.00 bagi tanggungannya (pasangan dan anak).

Zulkifli berkata, dari tempoh awal Januari sehingga akhir bulan Mei 2012, bayaran mengurus jenazah yang dibayar JHEV adalah berjumlah RM2,458,500 yang melibatkan 944 kes kematian.

Selain dari JHEV, Kementerian Pertahanan juga menubuhkan Yayasan Veteran ATM (YVATM) untuk melaksanakan program kebajikan tambahan dalam membantu meringankan beban veteran ATM dan tanggungannya seperti melaksanakan sumbangan perayaan kepada penerima bantuan sara hidup veteran berumur 70 tahun ke atas, balu, anak yatim veteran ATM, veteran yang cedera semasa operasi dan veteran penerima peralatan pesakit terlantar/OKU. Setiap penerima akan mendapat sumbangan RM500.

Kemudahan dan bantuan yang disediakan kepada veteran ATM bukan sedikit. Kerajaan mampu berbuat demikian kerana kecekapan pengurusan kewangan dan menstabilkan program ekonomi sepanjang memerintah negara ini.

Menteri Pertahanan yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, veteran ATM hendaklah terus menyokong dan berdiri teguh di belakang kerajaan sedia ada demi menjamin masa depan diri dan ahli keluarga masing-masing terutamanya balu-balu ATM yang memerlukan bantuan.

"Kerajaan tidak pernah mungkir janji di samping memberi keutamaan bantuan dan kemudahan mengikut kepentingan terdahulu," katanya.