19 September 2014
24 Zulkaedah 1435

Tenun Pahang Diraja mengagumkan

ADNAN Yaakob melihat proses tenunan selepas merasmikan Pusat Kecemerlangan Tenun Pahang Diraja di Kompleks Pengembangan Tenun Pahang Diraja Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan, baru-baru ini. - BERNAMA

KUANTAN 13 Jun - Biarpun Tenun Pahang Diraja semakin terkenal di seluruh negara, namun masih ramai dalam kalangan generasi muda yang tidak tahu mengenai asal-usul fabrik eksklusif itu.

Sedangkan fabrik Tenun Pahang Diraja yang halus itu sudah menjadi pilihan ramai untuk digayakan pada majlis rasmi dan keramaian lain.

Lebih menarik, Tenun Pahang Diraja masih dihasilkan mengikut kaedah tradisional dengan mengekalkan kehalusan fabriknya sesuai bagi mereka yang bersifat teliti.

Malah, penghasilannya yang dilakukan secara tradisional mendapat pujian serta perhatian para penggemar seni tekstil tradisi dari dalam atau luar negara.

Jika dahulu, kain tenun Pahang yang biasanya digunakan untuk kain sarung, samping dan selendang, kini ia diaplikasikan dalam rekaan fesyen moden selari dengan trend dan cita rasa terkini.

Kain tenun yang memiliki 27 reka corak itu turut digunakan oleh pereka fesyen tempatan dan luar negara, terutamanya untuk majlis rasmi kerajaan, perkahwinan dan adat istiadat diraja.

Antara reka corak yang dihasilkan adalah Anak Lebah, Biji Peria, Cindai, Limar, Tun Razak dan Bunting Padi.

Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob, kain tenun Pahang dipercayai berasal dari Riau atau Sulawesi, Indonesia dan dibawa ke negeri ini pada abad ke-16 Masihi.

Katanya, ketika itu ia diperkenalkan seorang pembesar Bugis yang dikenali sebagai Tuk Tuan atau Keraing Aji yang menetap di Kampung Mengkasar, Pekan.

"Beliau disifatkan sebagai pelopor reka corak baru dalam pemakaian kain sarung dan kain samping dan sering memakai Dagang Luar dan Dagang Dalam daripada bahan tenunan sutera permai yang dibawa dari Sulawesi, Aceh dan Riau.

"Pengetahuan dalam bidang tenunan menyebabkan ramai wanita khasnya suri rumah sekitar tempat tinggalnya mempelajari cara membuat kain tenun.

"Kewujudan dan ketokohan Tuk Tuan telah dicatatkan oleh penulis Inggeris , Dr. W. Linehendan T. J. Nerbold. Seni fabrik yang halus dan indah ini telah mendapat sokongan golongan istana, terutama Yang Mulia Tengku Ampuan Mariam," katanya.

Namun, pada penghujung tahun 1960-an, ia mula diperkenalkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak dengan tertubuhnya Pusat Tenun Pahang yang pertama di Pulau Keladi, Pekan.

Bermula dari tahun 1995, Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) telah mengambil inisiatif untuk memaju dan membangunkan semula penghasilan Tenun Pahang Diraja bagi memastikan ia menjadi 'Warisan Seni Negeri Pahang'.

Sehubungan itu, Kompleks Pengembangan Tenun Pahang Diraja Sultan Haji Ahmad Shah yang terletak di Kampung Soi, Kuantan telah dibina untuk meningkatkan lagi pengeluaran dan kualiti serta memartabatkan produk Tenun Pahang Diraja di persada busana antarabangsa.

"Menerusi Pusat Pengembangan Tenun Pahang Diraja Kampung Soi Kuantan yang dibina pada 2000, ia bukan sahaja dapat menyokong aktiviti pengeluaran malah, turut menjadi pusat kegiatan penyelidikan dan pembangunan (R&D)," katanya.

Adnan berkata demikian pada majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan PKNP bagi membolehkan universiti itu menyumbang kepakaran bagi merancakkan industri berkenaan.

Pada majlis itu, UMP diwakili Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Prof. Datuk Dr. Rosli Mohd. Yunus manakala PKNP diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Lias Mohd. Noor.

Ia diadakan sempena Majlis Perasmian Pusat Kecemerlangan Tenun Pahang Diraja Tunku Azizah di Kompleks Pengembangan Tenun Pahang Diraja Sultan Haji Ahmad Shah, Kampung Soi di sini baru-baru ini.

Sementara itu, Rosli ketika ditemui berkata, kerjasama itu melibatkan sumbangan kepakaran penyelidik UMP, Prof. Madya Dr. Mimi Sakinah Abdul Munaim bagi mengekalkan warna benang menggunakan bahan biojisim seperti kulit buah naga.

"Seorang lagi penyelidik dari Fakulti Kejuruteraan Awam & Sumber Alam (FKASA), iaitu Prof. Madya Dr. Zularisam Ab. Wahid turut terlibat bagi merawat hasil sisa industri tenun menggunakan mesin dikenali membran bio reaktor (MBR).

Ini bagi memastikan air sisa yang dilepaskan selamat dan tidak mencemarkan alam sekitar," katanya yang turut memaklumkan selain UMP, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Perbadanan Kraftangan Malaysia dan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) Bhd. turut sama menyokong dalam merancakkan industri ini.

Pada majlis sama, Mimi Sakinah yang juga pensyarah di FKKSA turut menerima watikah pelantikan sebagai ahli Majlis Eksekutif Kecemerlangan Tenun Pahang Diraja.