25 Julai 2014
27 Ramadan 1435

Menjana pembangunan modal insan

Mohamad Shahrom Osman (dua dari kiri) menunjukkan cara memakai skaf kepada sekumpulan pengakap yang menyertai Jambori Pengakap peringkat daerah Lipis di Kem Kampung Chat, Kuala Lipis, baru-baru ini.

KUALA LIPIS 30 Mei - Sebut sahaja pengakap, ramai kalangan kita akan terbayang zaman kanak-kanak.

Bagi mereka yang tidak tahu sejarahnya, pengakap hanya dilihat sebagai sebuah persatuan beruniform untuk pelajar sekolah rendah dan menengah.

Fungsi persatuan itu tidak terbatas sekadar belajar cara memasang khemah, memasak, menyanyi, berlakon dan mempelajari kemahiran ikhtiar hidup yang lain.

Sehingga kini terdapat 12 juta pengakap berdaftar di Brunei, Filipina, Indonesia, Malaysia, Singapura, Thailand dan Kemboja yang yang dapat disamakan bilangan penduduk sebuah negara kecil di benua Eropah dan Asia.

Malah, usaha menghidupkan kembali pergerakan pengakap di negara ini diatur menerusi acara perkhemahan atau dipanggil 'jambori' yang sinonim dengan pelajar di sekolah rendah, menengah, kelana (Rovers) dan orang dewasa.

Baru-baru ini, Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) daerah Lipis menganjurkan Jambori Pengakap peringkat daerah iaitu antara misi menghayati transformasi kerajaan menerusi pasukan beruniform dalam kerangka menjana pembangunan modal insan.

Majlis perasmian itu disempurnakan oleh Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, Datuk Dr. Mohamad Shahrom Osman dan turut dihadiri Pegawai Pelajaran Lipis, Misnan Mohd. Damin.

Seramai 450 pengakap kanak-kanak, pengakap muda dan pengakap remaja dari 25 sekolah rendah dan menengah di daerah ini menyertai perkhemahan selama empat hari di Kem Kokurikulum Kampung Chat di sini.

Ketua perkhemahan, Aminullah Abd. Lateh berkata, kegiatan tahunan PPM Lipis bertujuan menguji kemahiran pelajar berasaskan skim latihan yang diterima oleh mereka setelah mendapat tunjuk ajar daripada jurulatih pengakap bertauliah.

"Kemahiran pengakap yang diperoleh semasa latihan di sekolah akan dinilai oleh guru atau anggota Pasukan Latihan Daerah di perkhemahan ini.

"Mereka yang melepasi ujian simulasi, fizikal dan pengetahuan akan dianugerahkan sijil dan Lencana Kepandaian dalam sesuatu bidang mengikut unit masing-masing," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Menurutnya, kemahiran yang dinilai iaitu perkhemahan, gajet, simpulan dan ikatan, kawad, pertolongan cemas dan pertandingan kebersihan khemah, pakaian seragam dan disiplin.

Penolong Pesuruhjaya Pengakap Lipis, Mohd. Kamaruddin Kassim pula berkata, perkhemahan itu merupakan kegiatan kokurikulum berasaskan Kemahiran Latihan Pengakap untuk membentuk sahsiah diri, kerjasama rakan sebaya dan perpaduan dalam kalangan pelajar semua kaum.

"Objektifnya menerapkan pendidikan kemahiran dan pengetahuan dalam kerangka aspirasi kegiatan kokurikulum di sekolah iaitu mengisi masa lapang dan membina intelektual dan jasmani pelajar," katanya.

PPM Lipis menurutnya, sentiasa melaksanakan perkhemahan untuk menguji Kemahiran Lencana Pengakap selain menyertai Jambori sama ada di peringkat negeri dan kebangsaan.

Dalam pada itu, seorang pengakap remaja Sekolah Menengah Merapoh, Zalilah Hamzah, 17, berkata, penyertaannya dalam kegiatan itu dapat membentuk disiplin dan keyakinan diri.

"Saya amat teruja mengikuti perkhemahan ini kerana kami dalam satu kumpulan perlu bersaing secara sihat untuk memperoleh kemenangan dalam pertandingan atau kegiatan tertentu," ujarnya.

Bagi pengakap kanak-kanak Sekolah Kebangsaan Telang, Mohd. Arif Ahmad, 12, dia seronok dan teruja apabila disuruh oleh guru memasak nasi, menyediakan juadah dan diajar membina khemah dalam program itu.

"Saya gembira dan puas apabila dianugerahkan Lencana Kepandaian dan Kemahiran yang dilekatkan pada lengan baju selepas perkhemahan tersebut," katanya.