28 Ogos 2014
2 Zulkaedah 1435

MBSB mahu buka 10 cawangan tahun ini

GEORGE TOWN 11 Julai - Malaysia Building Society Bhd. (MBSB) merancang membuka sekurang-kurangnya 10 cawangan tahun ini seiring dengan peluasan perniagaan syarikat.

Naib Presiden Kanan Bahagian Perniagaan Runcit MBSB, Azman Aziz berkata, beberapa cawangan akan dibuka tidak lama lagi di Kelana Jaya dan Putrajaya serta di Sabah dan Sarawak.

"MBSB kini mempunyai 35 cawangan dan juga 10 pejabat wakil jualan. Kami merancang membuka sekurang-kurangnya 10 dalam tempoh enam bulan ini.

"Kami turut mengembangkan aktiviti ke Mukah, Sarawak dan Keningau di Sabah," kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Jualan dan Perkhidmatan MBSB Pulau Pinang oleh pengerusi MBSB, Tan Sri Abdul Halim Ali di sini hari ini.

Azman berkata, MBSB turut berhasrat membuka lebih banyak cawangan di Pulau Pinang, kemungkinan di Bayan Baru atau Kepala Batas.

Beliau berkata, MBSB pada masa ini sedang meningkatkan platform teknologinya menerusi sistem perbankan teras yang baru untuk menyediakan produk dan perkhidmatan terbaik kepada pengguna.

"Penambahbaikan sistem baru itu akan menyampaikan keupayaan teknologi yang dipertingkatkan serta lebih baik dan yang pastinya akan meningkatkan kecekapan operasi," kata beliau sambil menambah proses itu dijangka siap menjelang suku keempat tahun ini.

Azman berkata, syarikat mensasarkan 500,000 pengguna dalam lima tahun, meningkat daripada 150,000 pada masa ini.

MBSB menawarkan produk perbankan runcit untuk pembiayaan peribadi, pembiayaan rumah, bankasurans, pembiayaan auto dan produk deposit dan untuk perniagaan korporat, menawarkan pembiayaan kontrak, sambungan projek, pembiayaan terancang dan pembiayaan projek inisiatif kewangan persendirian. - BERNAMA