1 Oktober 2014
6 Zulhijjah 1435

Lukisan dinding

Siti Nafisah Adnan (tengah) dan pekerjanya sedang berbincang dengan pelanggannya, Nur Nadia Farahida Mohd Sabri (duduk) yang memilih teknik stensil bagi dinding bilik rumah beliau.

Ramai orang yang takut atau begitu berhati-hati apabila hendak menghias dinding kediaman.

Lazimnya untuk selamat mereka hanya mengecat dinding dan menghiasnya dengan lukisan atau gambar.

Mereka tidak mahu menanggung risiko jika mencuba hiasan dinding yang lain seperti kertas dinding, melukis corak dan sebagainya.

Ini kerana jika hasil tidak memuaskan, mereka perlu mengeluarkan perbelanjaan lagi bagi membuangnya.

Namun apa kata jika anda mencuba teknik stensil untuk menghias dinding rumah. Harga berpatutan, cantik, mengambil masa yang singkat untuk disiapkan dan tahan lama, antara ciri menarik bagi sesiapa yang memilih teknik stensil untuk menghias dinding.

Siti Nafisah Adnan, 28, yang telah tiga tahun memulakan perniagaan menghias dinding menggunakan teknik stensil berkata, sambutan yang diterima amat menggalakkan.

"Setakat ini saya telah menghias hampir 1,000 dinding dan 90 peratus pelanggan saya adalah wanita," kata Siti Nafisah yang ditemui di rumah salah seorang pelanggannya, Nur Nadia Farahida Mohd Sabri.

Menceritakan detik permulaan beliau menceburkan diri dalam perniagaan ini, ibu kepada tiga orang cahayamata itu berkata, semuanya bermula semasa beliau mendiami rumah sewanya.

Dinding rumah dilihat kosong dan tidak menarik membuatkan mood penghuni turut kurang bersemangat.

Hendak dihias dengan kertas dinding, bimbang tuan rumah marah, justeru beliau pun mula memikirkan cara lain.

Siti Nafisah yang dari kecil mempunyai bakat melukis, membuat kajian mengenai kertas dinding dari seluruh dunia sehingga terjumpa dengan teknik stensil.

"Sebagai langkah pertama, saya membuat teknik stensil di dinding rumah sewa dan memilih corak bunga ros. Kemudian saya ambil gambar dan masukkan dalam facebook saya.

"Kawan-kawan yang melihat berkenan dan bertanya jika saya boleh buat di rumah mereka pula.

"Selain kawan-kawan, tempahan pertama daripada premis perniagaan ialah sebuah spa yang memilih corak daun-daun berguguran. Sejak itu saya menerima banyak tempahan bagi menghias dinding pejabat, rumah, spa, kedai, restoran, kelab malam dan restoran fine dining.

"Saya mempunyai banyak corak yang boleh dipilih oleh pelanggan namun jika pelanggan mempunyai corak sendiri, amat digalakkan.

"Bayaran yang dikenakan amat berpatutan sekali. Paling rendah bagi dinding yang berukuran 10x10 kaki ialah RM200,'' ujar Siti Nafisah yang setakat ini hanya mampu menerima pelanggan dari sekitar Lembah Klang, Selangor dan Seremban walaupun mendapat permintaan yang tinggi daripada Johor dan Sabah.

Menurut beliau lagi, selain menghias dinding dengan teknik stensil, pelanggan juga boleh memaklumkan jika mereka hendak menambah dengan perhiasan lain seperti kristal, manik, siput, kerang-kerangan dan sebagainya.

Tambahnya, selain boleh dibuat di dinding konkrit, teknik ini turut boleh digunakan pada dinding kayu dan siling.

Selain boleh mengupah Siti Nafisah yang dibantu oleh dua orang pekerjanya, pelanggan juga boleh membeli corak stensil daripada beliau dan membuat sendiri di rumah.

Bagi sekeping stensil, pelanggan boleh membuat pelbagai corak mengikut kreativiti tersendiri.

Setiap tiga bulan beliau akan menganjurkan bengkel teknik membuat stensil dengan bayaran sebanyak RM299 untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan dengan orang ramai.

Kepada mereka yang berminat, boleh menghubunginya di 010-2576445 atau layari laman sesawang wall make over by Na.com - MERAN ABU BAKAR