18 April 2014
18 Jamadil Akhir 1435

Bundle pilihan hari raya

SUASANA dalam kedai bundle sama seperti pusat membeli belah.

KATA orang tua, lain padang lain lalang, lain orang lain pula ragamnya. Ada yang memilih untuk membeli pakaian baru sempena hari raya di pusat membeli belah terkemuka, ada yang lebih cenderung ke bazar larut malam, pasar raya dan mungkin juga pasar malam sahaja.

Tapi ada juga yang memilih untuk membeli pakaian di kedai pakaian terpakai.

Golongan ini mempunyai alasan mereka sendiri. Rata-rata mengatakan bukan kerana tidak mampu atau tidak sukakan sesuatu yang baru, tapi kerana nilai yang mereka dapat itu lebih dari apa yang mereka bayar.

Tinjauan ke sebuah gedung pakaian, kasut dan beg terpakai di Port Dickson, Negeri Sembilan baru-baru ini mendapati begitu ramai pengunjung ke sana terutama selepas waktu berbuka puasa.

Seorang petugas yang ditemui pula berkata, premis tersebut memang akan sunyi pada waktu siang di bulan puasa. Tetapi selepas berbuka ia memang meriah dan dikunjungi seisi keluarga.

"Gedung bundle ini bukan sahaja menjual pakaian dewasa lelaki dan wanita, malah ada juga untuk kanak-kanak.

"Selain itu kasut yang dijual juga masih dalam keadaan baik dan banyak pula pilihan boleh didapati," jelasnya.

Salah seorang pengunjung, Muhammad Suhaimi Abu Bakar, 25 berkata, dia memilih untuk membeli pakaian terpakai sempena Hari Raya ini kerana kualitinya tidak jauh dengan pakaian baru.

"Sebenarnya kalau saya beli yang baru, saya tidak akan dapat jenis yang ada ditawarkan di kedai bundle ini. Ini kerana semua baju bundle ini diimport dari Amerika Syarikat, United Kingdom dan Jepun.

"Kualiti pakaian mereka tidak sama dengan yang ada di pasaran sini. Walaupun terpakai, ia masih kelihatan baru dan yang paling menggembirakan saya boleh mendapat pakaian yang berjenama hebat dalam harga yang boleh dikatakan hanya lima peratus saja daripada harga asal," kata Muhammad Suhaimi sambil memilih baju-T mana yang berkenan di hati.

Muhammad Suhaimi juga berpendapat, tiada apa yang hendak dimalukan apabila memilih membeli pakaian terpakai kerana dia masih membelinya dan bukan dapat secara sedekah atau percuma.

"Pada saya ia atas diri masing-masing, mungkin ada yang tidak suka pakai bekas orang, tapi saya pun bukanlah pakai bekas orang semata-mata. Pakaian bundle yang saya beli ini saya basuh terlebih dahulu dan kemudian baru saya menggunakannya.

"Lagipun kalau kita begitu prihatin tentang berkongsi bekas atau sebagainya, kita tengok restoran yang kita gunakan pinggan mangkuk, sudu garpu, cawan yang juga telah digunakan individu lain, malah lebih ramai yang guna.

"Ini sekurang-kurangnya hanya baju dan saya sudah pastikan ia dibersihkan pula. Jadi, itu bukanlah satu isu atau masalah apabila kita memilih untuk membeli pakaian terpakai ini," jelasnya yang berasal dari Kelantan.

Pendapat Muhammad Suhaimi disokong oleh sahabatnya, Muhammad Shafiee Jaafar.

Baginya yang suka membeli seluar jean terpakai, bundle memang satu tempat yang amat sesuai untuk golongan muda sepertinya membeli belah.

"Saya jenis yang suka bertukar-tukar pakaian. Pakai sekejap sudah bosan dan mahukan yang baru pula. Kalau beli yang baru sudah tentu saya tak mampu nak membeli belah dengan kerap, tapi bila mengeluarkan hanya RM5 untuk sehelai baju-T atau kemeja dan RM10 saja untuk sehelai seluar jean yang berjenama jadi tidak rasa bersalah sangat.

"Untuk Hari Raya ini pun saya pilih untuk ke kedai bundle saja apabila tuan kedai bundle ini telah memberitahu saya banyak stok baru masuk," katanya.

Katanya, memang dia sengaja menambah stok baru dari negara-negara luar bersempena musim perayaan di negara ini.

"Itu yang membuatkan saya lebih teruja untuk membeli belah di sini," jelas Muhammad Shafiee yang mula minat membeli pakaian terpakai sejak berusia 21 tahun.

Muhammad Shafiee juga berkata, disebabkan minatnya membeli pakaian bundle dan suka bertukar pakaian baru dia juga mengumpul semula pakaian yang sudah bosan dipakai untuk dijual atau diberi saja kepada kawan-kawan.

"Satu lagi keistimewaan produk bundle adalah ia semulajadi lusuh. Bagi penggemar-penggemar tegar jean, mereka tidak suka membeli jean yang baru kerana ia memerlukan tempoh masa yang lama untuk ia menjadi lusuh.

" Jika membeli jean bundle, ia memang sudah semulajadi lusuh dan boleh terus digayakan," ujar Muhammad Shafiee lagi.