23 Julai 2014
25 Ramadan 1435

Pengarah? Mampukah Soffi?

Para pelakon yang terlibat dalam Gangsterock antaranya Serina Ridzuan (dua dari kanan barisan belakang) , Khir Rahman, Aqasha, Sofi Jikan, Wan Hanafi Su, pada sidang akhbar di Kuala Lumpur baru-baru ini.

SEBELUM ini, beria-ia benar pelakon Soffi Jikan membuat kenyataan, mahu berhenti daripada berlakon. Katanya, dia sudah 'muak' dengan dunia lakonan. Ini gara-gara sering diberi watak yang balik-balik, begitu sahaja. Watak jahat, perogol, gangster, hisap dadah, itu memang ‘makanan’ buat Soffi Jikan di layar. Stereotype pun ada juga.

Sebab itu kata Soffi, dia mahu berhenti daripada dunia lakonan dan mahu menumpukan perhatian kepada kerja-kerja di belakang tabir pula.

Untunglah badan dia apabila hasratnya itu telah tercapai apabila syarikat produksi YKS Film Maker Sdn. Bhd. memberi peluang kepadanya. Syarikat yang menampilkan kerjasama antara Yusof Kelana dan Serina Redzuawan itu telah menaikkan status Soffi sebagai pengarah.

Persoalannya, mampukah dia jadi pengarah? Layakkah dia? Berlakon dia memang ‘ ahli’, tetapi tiba-tiba naik taraf ke pengarah. Adakah dia sudah benar-benar layak?

Soffi yang ditemui semasa sidang akhbar filem tersebut di Seri Kembangan berkata, karyanya yang sudah lama diperam itu mampu diuruskan dengan baik, atas kepercayaan yang diberi penerbit.

"Sebenarnya, skrip Gangsterock sudah siap sejak tahun 2010 lagi dan ada juga yang mahu menjadikan karya saya dalam bentuk filem. Tetapi, ketika itu saya sibuk dan memberi fokus sepenuhnya kepada lakonan dalam filem dan itu membantutkan karya saya untuk difilemkan," ujarnya.

Jika diselak kembali watak-watak yang dibawakan oleh Soffi sebelum ini, kebanyakannya adalah watak hitam, jahat dengan peribadi seorang gangster.

Melihat kepada judul arahan pertama Soffi ini, masih terselit perkataan gangster. Hmmm, memang nampak sangat Soffi dan dunia ‘hitam’ dalam karya memang tak boleh dipisahkan. Jadi, mana pembaharuan yang mahu ditonjolkan?

Bagi Soffi, dia tidak melihat ia sebegitu. Baginya, filem pertama arahannya ini adalah untuk membersihkan semula dirinya daripada dibelenggu watak-watak yang sama sahaja. Dia juga cukup bersyukur kerana Yusof dan Serina memberi kepercayaan kepada naskhahnya untuk difilemkan, walaupun sedar dalam bidang pengarahan, namanya belum dipandang hebat.

"Saya membuat persiapan yang rapi sebelum membuat pembentangan di hadapan mereka untuk mendapat kepercayaan kepada mereka. Malah, saya sendiri tahu ramai yang tidak yakin dengan semua ini. Tetapi, cakap-cakap orang tidak akan menghalang saya untuk memberikan yang terbaik dalam kerja-kerja saya," ujarnya

Sofi ada jiwa seni - Serina

Sementara itu, bagi Serina pula, dia melihat Soffi sebagai seorang yang mempunyai jiwa berseni dan tidak mudah patah semangat dalam apa jua yang dilakukan. Jiwa seni seperti ini memudahkan seseorang individu untuk beralih ke bidang yang lebih serius seperti pengarahan.

"Saya tahu ada memandang rendah kepada kebolehan Soffi untuk mengarah filem ini. Memang ada yang bertanya, kenapa dia? Kenapa bukan pengarah lain yang sudah ada nama sebagai pengarah?

"Akan tetapi saya tidak mengambil kata-kata itu sebagai tanda aras kepada kebolehannya. Saya melihat kepada profilnya sebelum ini," kata Serina.

Malah, Serina begitu yakin dengan pendidikan yang dimiliki Soffi mampu memberi kesan yang baik kepada filem tersebut.

"Selain pengalaman, dia punya pendidikan. Melihat rekod pengarahannya dalam beberapa buah telefilem sebelum ini, saya sangat yakin dia mampu menghasilkan sesuatu yang bakal memberi kejutan," ujarnya.

Filem Gangsterock yang dijangka menelan belanja RM 1.5 juta mula menjalani penggambaran di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor sejak 11 Januari lalu.

Antara barisan pelakon yang menerajui filem ini ialah Saiful Apek, Izara Aishah, Sharifah Amani, Khir Rahman, Aqasha, Syafie Naswip dan Harun Salim Bachik.