1 Ogos 2014
5 Syawal 1435

Run Run Shaw tolak budaya Melayu?

Run Run Shaw meninggal dunia pada usia 106 tahun

SYARIKAT penerbitan Shaw Brothers merupakan antara pelopor filem terawal di Malaya yang bukan sahaja berjaya menghasilkan filem-filem hebat ketika era penubuhannya pada 1930-an malah juga dikatakan telah menghidupkan industri perfileman tempatan sehingga hari ini.

Pada asalnya dikenali sebagai Shaw Organisation pada 1924 yang mengedar filem di Asia Tenggara, Run Run Shaw dan adik lelaki ketiganya, Run Me Shaw telah menubuhkan South Sea Film pada 1930.

Syarikat itu kemudian dinamakan semula sebagai Shaw Brothers Studio. Bukan hanya terkenal melalui penerbitan filem semata-mata, Shaw Brother turut mempunyai beberapa lagi perniagaan antaranya kelab malam dan hotel di Singapura.

Run Run Shaw yang meninggal dunia pada 7 Januari lalu merupakan salah seorang tokoh yang bertanggungjawab besar dalam memperkenalkan filem Melayu dan telah berjaya membuka mata industri filem luar terhadap kemampuan filem-filem Malaya ketika itu.

Malah jika dibandingkan dengan filem-filem terbitan syarikat lain seperti Cathay Keris, filem terbitan Shaw Brothers dilihat lebih ke depan dan berjaya.

Shaw Brothers merupakan studio filem yang menggunakan sistem mirip studio Hollywood dengan beratus-ratus pelakon menandatangani kontrak eksklusif selain menempatkan kumpulan pelakon tertentu untuk berlakon dengan pengarah tertentu sedangkan studio lain menggunakan sistem bergilir-gilir kepada pelakon mereka.

Kemasukan beberapa pengarah terkenal yang rata-ratanya berasal dari India antaranya L Krishnan, S Ramanathan, K M Basker, B N Rao, V Girimaji,K R S Shastry, Phani Majumdar, Kidar Sharma dan Dhiresh Ghosh telah menjadikan jalan cerita serta plot penceritaan filem Melayu ketika itu mirip filem dari India.

Walaupun berjaya memperkenalkan filem Melayu ke tahap yang lebih tinggi ketika itu, kebanyakan filem yang diterbitkan oleh Shaw Brothers lebih kepada nilai komersial semata-mata jika ingin dibandingkan kepada budaya Melayu yang sepatutnya ditekankan.

Ini kerana filem pertama Malaya terbitan K.R.S. Chisty, Laila Majnum (1933) mendapat sambutan menggalakkan oleh peminat filem tempatan.

Melihat kepada penerimaan itu Shaw Brothers terus menerbitkan lapan filem Melayu iaitu Mutiara, Bermadu, Hanchor Hati, Topeng Shaitan, Ibu Tiri, Terang Bulan Di Malaya, Tiga Kekasih dan Mata Hantu dan telah mengaut keuntungan di luar jangkaan.

Namun perkembangan perfileman tempatan terhenti seketika akibat Perang Dunia Kedua. Selepas perang berakhir, Run Run Shaw mengeluarkan modal sebanyak $1 juta (ketika itu) untuk membina satu studio yang dikenali Malay Film Productions yang terletak di No. 8 Jalan Ampas, Off Balestier Road, Singapura.

Malay Film Productions menerbitkan filem pasca perang berjudul Singapura Di Waktu Malam (1947) namun sekali lagi kebudayaan Melayu masih tidak ditekankan dalam filem lakonan Siput Sarawak itu.

Kebudayaan Melayu tidak dijadikan pegangan utama dalam keseluruhan filem-filem terbitan Shaw Brothers sehinggalah filem berjudul Permata Di Perlimbahan (1952), arahan Haji Mahdi. Walaupun filem ini tidak mendapat sambutan namun bermula dari situ realiti kehidupan Melayu sebenar dipersembahkan.

Selepas itu barulah timbul nama P. Ramlee yang mengarahkan filem Penarik Becha (1955) dan S. Roomai Noor yang mengarahkan filem Adam pada tahun berikutnya. Difahamkan kedua-dua filem ini telah berjaya mengatasi filem-filem arahan pengarah India sebelumnya.

Walaupun dilihat sedikit menolak budaya Melayu dalam setiap filemnya, Run Run Shaw telah berjaya membawa dimensi baru dalam penerbitan filem-filem tempatan sehingga ada di antara filemnya mendapat anugerah tertinggi pada anugerah perfileman antarabangsa misalnya filem Pendekar Bujang Lapok yang memenangi anugerah Filem Komedi Terbaik pada Festival Filem Asia ke-6.

Bagi aktor Mustapha Maarof peluangnya bekerja dengan syarikat penerbitan Shaw ini hadir ketika sama-sama menjayakan filem Hang Tuah arahan Phani Majumdar pada tahun 1956. Pengalaman bekerja di syarikat tersebut ternyata menjadi pengalaman manis baginya.

“Sebenarnya syarikat ini tiada perbezaan yang ketara jika dibandingkan dengan syarikat-syarikat penerbitan lain ketika itu namun filem dan para pelakon di bawahnya sedikit terkenal berbanding para pelakon dan filem di bawah naungan syarikat lain.

“Sebagai contoh, pelakon-pelakon naungannya seperti P. Ramlee, Rosnani, Sarimah, Aziz Sattar dan ramai lagi dilihat lebih dikenali berbanding pelakon di bawah naungan syarikat Cathay Keris dan syarikat lain.

“Seperti juga Anugerah Filem Asia Pasifik, sekiranya filem daripada Shaw Brothers tiada maka anugerah tersebut tidak akan ada serinya. Begitulah kehebatan mereka ketika itu,” jelas Mustapha.

Tambahnya, ketika era tersebut banyak syarikat penerbitan lain yang berlumba-lumba untuk mengatasi Shaw Brothers. Persaingan ketika itu jelasnya, merupakan antara persaingan yang cukup sihat dalam sejarah perkembangan industri filem tempatan.

Walaupun dilihat sedikit mengejar keuntungan dalam penerbitan setiap filemnya, Run Run Shaw melalui syarikat Shaw Brothers miliknya telah banyak memberi impak yang berguna kepada industri perfileman tempatan.

Dengan kejayaannya menubuhkan syarikat Shaw Brothers di Singapura, barulah beliau melebarkan sayap perniagaannya ke Hong Kong sehingga berjaya mengubah industri penerbitan filem di sana sehingga ke hari ini.