3 Oktober 2014
8 Zulhijjah 1435

AC terkilan

AC Mizal tidak pernah mengabai rakan-rakan artis yang menyertai Bran.

MATLAMAT AC Mizal hanya satu, ingin membantu rakan artis menambah pendapatan di bulan Ramadan yang baru saja berlalu. Namun siapa sangka apa yang dirancang tidak menjadi seperti yang diingini.

Biarpun program Perkampungan Ramadan Bukit Jalil (PRBJ) yang melibatkan Barisan Artis Nasional (Bran) tidak berjalan lancar seperti yang diharapkan, namun pengerusi Bran, Datuk AC Mizal tidak mudah patah semangat.

Sebagai ahli perniagaan yang tahu risiko dalam bidang tersebut, AC sentiasa menganggap apa yang berlaku ke atas artis naungan Bran sebagai satu pengajaran.

“Meskipun kecewa dengan apa yang dilakukan oleh pihak penganjur namun saya perlu menyakinkan ahli-ahli Bran patah semangat gara-gara kejadian itu.

“Ini sebagai permulaan untuk mereka menimba pengalaman tapi tahun hadapan, biar saya sendiri yang uruskan projek Bran di bulan Ramadan tanpa melibatkan mana-mana pihak," katanya yang sentiasa memikirkan strategi untuk membantu para ahli.

AC yang popular dengan watak Inspektor Mazlan dalam drama bersiri Gerak Khas, sekarang ini lebih menyerlah sebagai pengacara.

Antara program yang pernah AC kendali adalah Akademi Fantasia, Raja Lawak, Maharaja Lawak, AC Di Sini dan terbaru program Betul Ke Bohong.

“Sekarang ini tumpuan saya pada perniagaan. Bukan tidak ada tawaran tapi terikat dengan kerja. Untuk program rakaman, boleh saya selit sikit-sikit. Macam program Betul Ke Bohong itu sudah pun buat rakaman untuk musim kedua.

“Entahlah nak kata rindu pada lakonan tak sempat nak fikir kerana sibuk. Lagipun sejak dulu saya bercita-cita nak jadi ahli perniagaan. Sekarang ini impian saya sudah terlaksana dan saya perlu kembangkan," cerita AC ramah.

Dalam pada sibuk mengurus perniagaan, AC bersama isteri, Emylia Rosnaida dan anak-anak telah pulang berhari raya di Ipoh, Perak, rumah mertuanya.

“Raya kali ini memang tidak boleh lama-lama sebab ada kerja yang perlu saya buat. Lagipun jadual kerja saya memang padat.

Itulah nak buat rumah terbuka pun tak berkesempatan. Cuma kalau ada kawan-kawan yang nak datang, jemputlah," katanya tersenyum.