29 Ogos 2014
3 Zulkaedah 1435

Shuib tanpa Sepahtu?

PASANGAN suami isteri, Shuib dan Siti Sarah pertama kali berlakon bersama dalam filem Man Sewel Datang KL.

SHUIB mencipta nama melalui kumpulan lawak, Sepah yang asalnya dianggotai bersama dengan Mamat dan Jeff. Selepas itu, dia meneruskan kerjayanya sebagai pelakon dalam kumpulan duo Sepahtu bersama Jeff apabila Mamat keluar dan bergerak sendirian dalam bidang tersebut.

Dalam filem Man Sewel Datang KL yang diarahkan oleh Rahman Adam pula, Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhammad muncul tanpa bergandingan dengan Jeff. Kemunculan Shuib itu mencetuskan tanda tanya sama ada Sepahtu sudah berkubur ataupun sebaliknya.

Menurut suami kepada penyanyi Siti Sarah Raisuddin itu, meskipun menganggotai Sepahtu tetapi tidak bermakna dia terikat dengan Jeff. Sebaliknya, dia bebas muncul sendirian dan tidak kisah digandingkan dengan sesiapa juga dalam filem-filem yang dilakonkannya.

"Saya tidak kisah berlakon dengan sesiapa juga dalam filem termasuklah isteri saya dalam filem Man Sewel Datang KL. Walaupun tanpa Jeff tetapi saya akan cuba bawa diri sendirian. Apa yang penting saya akan cuba capai piawaian saya dalam apa juga watak yang diberikan kepada saya.

"Saya tidak memilih apa juga tawaran tetapi apa yang saya pentingkan ialah kualiti. Saya juga tidak kisah walaupun terpaksa berlakon tanpa Sepahtu. Setakat ini, tawaran berlakon terus saya terima sama ada secara solo ataupun bersama Sepahtu," katanya sewaktu ditemui baru-baru ini.

Pada pertemuan selepas pratonton Man Sewel Datang KL terbitan Work More Production arahan Rahman Adam itu, Shuib menjelaskan dia telah membintangi lima buah filem sama ada secara solo atau bersama Sepahtu biarpun ia belum ditayangkan di pawagam.

Lima filem lakonan Shuib itu ialah Sepah The Movie, Amir Dan Lokman Pergi Ke Laut, Oh Mak Kau, Mail Lambung The Movie dan Tycoon yang kebanyakannya genre komedi. Pada masa sama dia juga baru habis menjalani penggambaran drama bertajuk Betul Ke Bohong.

Sementara itu, Shuib berasa terkejut apabila dia diberitahu Johan daripada kumpulan duo, Jozan akan bergabung dengannya dan Jeff dalam kumpulan Sepahtu bagi menggantikan tempat Mamat baru-baru ini.

Jelasnya, berita itu bukan sahaja tidak betul malah dia juga bimbang ia mungkin disebarkan oleh pihak-pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab yang mahu melihat kumpulan Jozan yang turut dianggotai oleh Zizan itu berpecah.

"Saya memang tidak tahu apa-apa tentang berita itu dan ini adalah kali pertama saya mendengarnya. Setakat ini tidak ada perbincangan yang Johan akan menyertai Sepahtu. Saya tidak tahu daripada mana datangnya berita itu kerana Johan masih bersama Zizan dalam Jozan.

"Malah setakat ini cuma saya dan Jeff sahaja yang ada dalam Sepahtu selepas Mamat tidak bersama kami lagi. Mungkin ada pihak yang sengaja menimbulkan cerita itu bagi memecah-belahkan lagi Jozan mahupun Sepahtu," jelasnya.

Pada pertemuan dengan para wartawan itu, Shuib dan Siti Sarah turut hadir pada pratonton filem pertama yang menggandingkan mereka dalam Man Sewel Datang KL yang akan ditayangkan seluruh negara mulai 31 Mei ini.

Jelas Shuib dia kini lebih senang bergerak dalam bidang lakonan bersama Jeff biarpun adakalanya rakan duonya itu tidak digandingkan bersama, contohnya dalam Man Sewel Datang KL kerana atas pilihan penerbit dan ia tidak bererti dia kini menjadi pelakon atau pelawak solo.

"Saya tidak kisah digandingkan dengan sesiapa juga dalam filem termasuklah apabila penerbit mahukan saya dan Siti Sarah berlakon dalam filem ini. Ketika itu kami baru berkahwin tidak sampai seminggu kerana ini adalah sumber pendapatan saya dan saya mahu serius," ujarnya.

Man Sewel Datang KL yang antaranya dilakonkan oleh Rafidah Ibrahim, Rosnah Mat Aris, Zaibo dan Julia Ziegler itu mengisahkan tentang Man Sewel lakonan Shuib yang merupakan anak tunggal seorang peladang kelapa sawit yang mahu mencuba nasib di Kuala Lumpur.

Sewaktu berada di ibu kota itu, Man Sewel melalui pelbagai pengalaman yang lebih ke arah kejutan budaya sehingga dia leka seketika dengan keseronokan dan melupakan ibunya di kampung sebelum tersedar dengan kesilapannya serta kembali semula kepada kehidupan asalnya di kampung.