23 Julai 2014
25 Ramadan 1435

Warisi urutan tradisional

salah satu teknik urutan yang bakal diajar oleh Hasnah untuk rawatan gout.

Kemahiran mengurut yang diwarisi daripada arwah nenek tidak pernah disia-siakan oleh pemilik salun kecantikan Dhazz Beauty Salun, Hasnah Lazim untuk dipraktikkan sekali gus membantu orang ramai.

Wanita kelahiran Muar, Johor, itu sememangnya mempunyai minat yang sangat besar dalam bidang urutan tradisional Melayu sehingga sanggup berhenti kerja sebagai seorang perunding di sebuah syarikat di Petaling Jaya, Selangor.

"Saya dapati negara kita semakin 'layu' dalam bidang urutan. Golongan muda kurang berminat terhadap kemahiran turun-temurun ini," katanya.

Begitupun bagi Hasnah, generasi hari ini yang tiada pengetahuan langsung mengenai urutan juga boleh berjaya jika mahu mempelajari sedikit demi sedikit kaedah rawatan urutan bermula dari bawah.

Oleh kerana itu, atas inisiatif dan pengiktirafan daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) serta kelulusan dari Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Hasnah membuat kursus mengurut untuk sesiapa yang berminat.

Kursus urutan tersebut mendapat kerjasama Mara di peringkat daerah termasuklah di Selangor, Perak, Melaka, Johor, Sabah dan Pulau Pinang.

Graduan Diploma Lanjutan Urutan Melayu, Politeknik Shah Alam itu juga membuka akademi bagi membantu meringankan beban wanita khususnya suri rumah, ibu tunggal, penganggur, pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk menambah pendapatan sebagai pekerjaan sambilan.

Antara rawatan yang boleh dibuat di salunnya ialah urutan sendi, saraf, lemah anggota, urutan untuk melancarkan darah, senggugut, masalah payu dara, migrain, darah haid tidak teratur, terseliuh, darah tinggi, kencing manis dan sebagainya.

Selain daripada itu, Hasnah juga menawarkan urutan dalam pantang bagi wanita yang baru bersalin.

Ini termasuk pemakaian bengkung, bertungku, penjagaan makanan dan sebagainya.

Apa yang menariknya ialah ramai pelajar di bawah akademi Hasnah telah berjaya membuka salun sendiri dan menjalankan aktiviti mengurut dari rumah ke rumah.

"Saya juga ada menawarkan rawatan mandi bunga yang berkaitan dengan soal jodoh, zuriat dan rawatan muka bagi mereka yang mempunyai penyakit gout," katanya yang turut menawarkan pakej belajar sambil melancong seperti di China, Jakarta, Vietnam, Bali dan Bandung.

Justeru, sesiapa yang berminat menyertai kursus yang ditawarkan, boleh datang ke salunnya di Desa Tasik, Sungai Besi, Kuala Lumpur atau menelefon talian 012- 2626037.