3 September 2014
8 Zulkaedah 1435

Pembangunan bioekonomi diperluas ke Sabah

KOTA MARUDU 3 Mei - Agenda bioteknologi dan pembangunan bioekonomi nasional telah diperluaskan ke Sabah di bawah Program Tranformasi Bioekonomi (BTP).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili, melancarkan projek-projek bioekonomi bagi Sabah di sini semalam, yang menyaksikan pertukaran tiga dokumen kerjasama.

Beliau juga mengumumkan projek-projek bioekonomi yang akan membantu dalam transformasi sektor pertanian dan membangunkan petani mahir di Kota Marudu yang kegiatan ekonomi utamanya ialah pertanian.

Cadangan kerjasama antara Perbadanan Bioteknologi Malaysia (BiotechCorp), sebuah agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), dan Koperasi Pembangunan Desa (KPD) adalah bagi pembangunan produk asli nilai tinggi yang didapati di Sabah seperti herba, rempah ratus dan tanaman beraroma termasuk pokok vanila, ilang-ilang dan bunga melur.

Projek itu akan melibatkan peladang desa yang akan mendapat faedah daripada peningkatan pendapatan melalui penanaman kontrak dan penggunaan optimum tanah pertanian.

Di bawah cadangan kerjasama kedua antara Borneo Scallops Sdn. Bhd. dan Inno Fisheries Sdn. Bhd., sebuah syarikat usahasama akan ditubuhkan bagi penternakan dan pengeluaran kerang melalui satu kemudahan akuakultur bersepadu dengan pelaburan yang dianggarkan berjumlah RM540 juta.

Pemindahan teknologi kepada syarikat dan nelayan di Sabah akan mendorong pewujudan lebih banyak kolam ternakan kerang di Sabah. Dokumen ketiga merupakan kerjasama antara Inno Integrasi Sdn. Bhd. dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) bagi baja bio-organik yang dibangunkan di bawah skim Inno-Works.

Usaha ini adalah sebahagian daripada pelaksanaan penting bagi Inno Integrasi di bawah projek pencetus BTP yang melibatkan penukaran sisa pertanian kepada baja bio, melalui penubuhan sebuah loji rawatan sisa buangan bersepadu.

Di bawah projek pencetus ini, dua daripada 50 kilang bersepadu Inno-Works kini beroperasi di Sabah.

Kilang bersepadu sepenuhnya itu dijangka mewujudkan 2,260 pekerjaan di seluruh negara dan menyumbang RM197 juta kepada pendapatan negara kasar (PNK) menjelang 2020. Ini melibatkan pelaburan berjumlah RM1 bilion.

Pada majlis hari ini, Ongkili juga mengumumkan dua projek bioekonomi yang akan dilaksanakan di Kota Marudu - projek perintis Petai Belalang oleh Sabah Green Development Sdn. Bhd. dan pengeluaran beras hibrid oleh RB Biotech Sdn. Bhd.

Produk beras hibrid ialah projek pencetus BTP dan Kota Marudu merupakan satu daripada daerah penanaman padi yang dipilih bagi penanaman padi jenis hibrid Japonica dan Indica.

Keseluruhannya, projek beras hibrid RB Biotech akan mewujudkan 496 pekerjaan di seluruh negara dan menyumbang RM450 juta kepada PNK menjelang 2020, dengan pelaburan sebanyak RM22 juta. - BERNAMA