29 Ogos 2014
3 Zulkaedah 1435

IPU Johor, Melaka, Selangor tidak sihat

KUALA LUMPUR 19 Jun - Kualiti udara di beberapa kawasan di Johor, Melaka dan Selangor berada pada tahap tidak sihat apabila indeks pencemaran udara (IPU) mencatatkan bacaan melebihi 100.

Berdasarkan bacaan IPU di laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS) sehingga pukul 5 petang ini, kualiti udara di empat bandar utama Johor merosot dengan bacaan IPU yang tinggi iaitu Kota Tinggi (166), Larkin Lama (152), Muar (172) dan Pasir Gudang (168).

Turut mencatatkan bacaan IPU tidak sihat ialah bandar raya Melaka iaitu 161 dan Bukit Rambai (118) serta di Banting, Selangor (114).

JAS dalam kenyataan di sini hari ini memberitahu, punca kemerosotan kualiti udara di kawasan-kawasan yang mencatatkan peningkatan bacaan IPU masih dipengaruhi pencemaran jerebu merentasi sempadan berikutan musim Monsun Barat Daya dan dijangka berterusan sehingga September ini.

"Laporan imej satelit NOAA-18 dikeluarkan oleh ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) semalam menunjukkan peningkatan mendadak bilangan titik panas di Sumatera, Indonesia iaitu 187 titik panas berbanding 113 kelmarin.

"Di Malaysia, sebanyak 26 titik panas dikesan melalui satelit NOAA-18 iaitu di negeri Johor (satu), Kelantan (dua), Pahang (lima) dan Sarawak (18)," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah JAS, Datuk Halimah Hassan berkata, JAS telah mengeluarkan Perintah Larangan Pembakaran Terbuka bagi kawasan di seluruh negeri Melaka, Selangor dan Johor berkuat kuasa serta-merta pada 19 Jun 2013 sehingga ke satu tarikh yang akan diberitahu kelak.

"Kawasan-kawasan di seluruh negeri Selangor, Melaka dan Johor adalah kawasan larangan bagi melakukan sebarang pembakaran terbuka kecuali bagi aktiviti tertentu iaitu pembakaran mayat, pembakaran bagi tujuan keagamaan, barbeku dan pembakaran gas mudah terbakar,'' ujarnya.

"Semua pihak digesa tidak melakukan pembakaran terbuka, membiarkan tanah atau premis kepunyaan mereka dimasuki oleh pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka untuk tujuan tertentu atau dengan tidak sengaja,'' ujarnya.

Mereka yang disabitkan kesalahan melakukan atau menyebabkan pembakaran terbuka boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali.

Kompaun maksimum sebanyak RM2,000 juga boleh dikenakan atas setiap kesalahan.

Sehubungan itu orang ramai dinasihatkan tidak melakukan pembakaran terbuka dan bekerjasama melaporkan kes sedemikian kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat di talian 999 serta Jabatan Alam Sekitar di talian 1-800-88-2727.

Sementara itu, di JOHOR, Pengarah Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Dr. Selahuddin Abd. Aziz berkata, daerah ini mula dilanda jerebu teruk hari ini berikutan wujudnya banyak habuk serta sedimen terlekat pada cermin kenderaan.

Bagaimanapun, jumlah pesakit yang mendapatkan rawatan masih berada dalam keadaan biasa kerana kesan daripada masalah itu hanya akan dapat dirasai dalam tempoh enam hingga lapan jam.

Di NEGERI SEMBILAN, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, walaupun bacaan IPU di tiga daerah tersebut berada pada tahap sederhana, orang ramai dinasihatkan menjaga kesihatan mereka.

Di SARAWAK, kualiti udara di seluruh negeri ini dilaporkan dalam keadaan sederhana dengan 10 kawasan mencatatkan bacaan IPU kurang daripada 100.