24 April 2014
24 Jamadil Akhir 1435

3 bekas pelajar MRSM maut nahas

Muhammad Hilal, Omar Hamzah

HULU SELANGOR 20 Mei - Kejutan sambutan Hari Guru yang dirancang sekumpulan bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Kubu Bharu tidak kesampaian apabila tiga daripada mereka maut dalam nahas jalan raya hari ini.

Difahamkan, lebih 30 bekas pelajar MRSM itu merancang untuk mengejutkan guru-guru di situ namun malangnya, tiga rakan mereka maut setelah kereta jenis Honda Civic yang dinaiki empat bekas pelajar itu terbabas lalu merempuh sebuah lori dari arah bertentangan di Kilometer 7.9, Jalan Hamzah, Kuala Kubu Bharu.

Nahas yang berlaku pukul 10.50 pagi itu meragut nyawa pemandu kereta, Muhammad Hilal Mohd. Isa, 19; dan penumpang hadapan, Omar Hamzah Zulkifli, 19, kedua-dua mereka meninggal dunia di tempat kejadian manakala Muhammad Addin Firdaus Rashidi, 19, pula meninggal empat jam kemudian.

Lebih memilukan, hari ini adalah hari jadi Muhammad Addin dan rakan-rakannya yang lain telah merancang untuk membuat sambutan kecil-kecilan dengan membeli sebiji kek untuk mangsa.

Seorang lagi rakan mereka, Mohamad Nazren Kamisan, 19, serta pemandu lori, N. Sivasalagaram, 34, cedera parah dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Kuala Kubu Bharu.

Dipercayai, kemalangan berlaku setelah pemandu kereta itu tidak sempat mengelak dan bertembung dengan sebuah lori muatan satu tan ketika melalui selekoh, keadaan jalan ketika itu dikatakan licin kerana hujan lebat.

Sementara itu, ibu kepada Omar Hamzah, Rohani Zaini, 50, berkata, anak ketiga dari empat beradik itu adalah rakan karib kepada Addin Firdaus setelah kedua-dua mereka belajar di MRSM sama malah menamatkan program asasi di Universiti Malaya (UM) bersama-sama.

“Pagi tadi Omar Hamzah ada berkata mahu ke MRSM untuk membuat kejutan pada guru-guru mereka dan akan menaiki komuter sebelum dijemput oleh Muhammad Hilal. Tetapi saya kemudian mendapat panggilan dari gurunya memberitahu dia ditimpa kemalangan," katanya yang masih terkejut dengan nahas itu.

Ibu kepada Muhammad Addin, Fauziah Ismail, 47, pula berkata, dia reda apabila anak kedua daripada enam beradik itu meninggal pada hari ulang tahun kelahirannya hari ini.

“Saya pun tidak ingat tentang hari jadinya hari ini kerana anak saya itu bukan seorang yang gemar menyambut hari jadi.

“Dia sebelum ini amat berharap untuk memasuki program farmasi di UM tetapi tidak kesampaian apabila tidak terpilih. Itu cita-citanya selama ini namun dia reda dan tidak pula merungut," katanya yang memberitahu mangsa sentiasa bersolat tahajud setiap malam beberapa hari kebelakangan ini.

Sementara itu, abang sulung Muhammad Hilal, Mohd. Suffian, 27, tidak menyangka perasaan berat hati untuk meminjam kereta Civic miliknya kepada mangsa ternyata petanda akan kehilangan adik paling rapatnya itu.

“Arwah adalah adik paling istimewa bagi saya kerana dia dijaga oleh saya dan isteri malah menjadi sumber semangat saya. Semalam dia merayu-rayu mahu meminjam kereta Civic untuk mengambil sijil berhenti sekolah di MRSM.

“Hati saya berat untuk membenarkannya walaupun saya tahu dia boleh memandu dengan baik. Namun satu panggilan dari guru mereka ternyata merubah hidup kami dan sangkaan buruk saya tepat belaka," katanya.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supritendan Norel Azmi Yahya Affandi mengesahkan kejadian itu dan memberitahu kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan Raya.