28 Julai 2014
1 Syawal 1435

Lima pegawai kanan terlibat pertukaran jawatan PDRM

KUALA LUMPUR 20 Mei - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan pertukaran lima pegawai kanannya yang diketuai Pegawai Khas PDRM kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd. yang dilantik sebagai Setiausaha PDRM.

Wan Ahmad Najmuddin menggantikan Datuk Ghazali Md. Amin yang bersara wajib baru-baru ini.

Penolong Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat) PDRM, Asisten Komisioner Ramli Mohamed Yoosuf berkata, turut terlibat dalam pertukaran itu ialah Komander Unit Tindakan Khas, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDN/KA) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Jaafar Mohd. Yusof.

Beliau berkata, Jaafar ditukarkan ke jawatan Timbalan Pengarah KDN/KA (Pasukan Gerak Khas), Jabatan KDN/KA Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

"Ketua Penolong Pengarah Risikan, Operasi dan Rekod (D4), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner (SAC) Chee Cheng Wan pula dilantik sebagai SAC Modal Latihan dan Korporat, Urus Setia Ketua Polis Negara (Penyelidikan dan Pembangunan) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ramli berkata, seorang lagi pegawai kanan yang ditukarkan ialah Ketua Penolong Pengarah Operasi Khas, JSJ Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, SAC Manaf Abd. Razak yang dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah D4 Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Katanya, SAC Modal Insan dan Korporat, Urus Setia Ketua Polis Negara (Penyelidikan dan Pembangunan), SAC Dev Kumar M M Sree Shunmugam pula ditukarkan jawatan sebagai Ketua Penolong Pengarah D8, JSJ Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.