3 September 2014
8 Zulkaedah 1435

Guru perlu komited didik anak bangsa

TOKOH Guru Kebangsaan 2013 dari kiri) Rabiah Johari, Wan Hamzah Wan Daud, Noor Rezan Bapoo Hashim, Jacob Mathews dan Freida Mohd. Pilus gembira menerima anugerah yang disampaikan oleh Muhyiddin Yassin dalam Majlis Pelancaran Sambutan Hari Guru Ke-42 di Stadium Tertutup Nilai, Negeri Sembilan, malam tadi. - UTUSAN/ABD. RAZAK AID

SEREMBAN 16 Mei - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan anugerah tertinggi pendidikan negara sempena perayaan Hari Guru peringkat kebangsaan Ke-42 di Stadium Tertutup Nilai dekat sini malam ini.

Penerima anugerah tersebut ialah Datuk Noor Rezan Bapoo Hashim (Anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan); Rabiah Johari, Wan Hamzah Wan Daud, Jacob Mathews (Tokoh Guru Kebangsaan) dan Datuk Freida Mohd. Pilus (Tokoh Guru Sekolah Swasta Kebangsaan).

Kesemua mereka menerima medal, sijil dan hadiah penghargaan yang disampaikan oleh Muhyiddin dalam acara penuh gilang-gemilang.

Noor Rezan yang ditemui wartawan selepas majlis berkenaan berkata, anugerah itu adalah penghargaan buat semua guru dan pendidik yang tidak pernah kenal erti penat mahupun mengalah.

‘‘Saya berterima kasih kepada kerajaan ke atas pengiktirafan yang diberikan ini. Bagi saya, guru adalah pendidik sepanjang hayat.

‘‘Jika seorang guru melakukan kesilapan dalam mendidik, mereka akan merosakkan generasi bangsa negara ini," katanya dekat sini hari ini.

Noor Rezan merupakan bekas Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran dan telah dilantik sebagai Penasihat Pendidikan bagi Khazanah Nasional Berhad pada 2011, selain memegang pelbagai jawatan memperkasa pendidikan negara.

Beliau pernah dianugerahkan Tokoh Guru Wilayah Persekutuan pada tahun lalu.

Sementara itu Wan Hamzah berkata, guru kini lebih mencabar berbanding dahulu yang mana menuntut pendidik menguasai pelbagai bidang untuk melonjakkan kemampuan pelajar dalam persaingan yang semakin membesar.

‘‘Anugerah ini satu tanggungjawab yang perlu diteruskan. Saya akan terus memberikan segala idea dan bantuan untuk merangsangkan profesion perguruan ke tahap lebih tinggi," ujarnya.

Wan Hamzah merupakan bekas Pengetua Cemerlang Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra, Kota Bahru, Kelantan.

Bagi Jacob yang turut menerima anugerah yang sama memberitahu, profesion perguruan ini memerlukan kesabaran dan dedikasi yang tinggi, apatah lagi dunia pendidikan kini jauh berbeza berbanding dahulu.

‘‘Apa yang manis adalah melihat semua anak didik saya berjaya dalam pelbagai bidang dan itu adalah hadiah terbaik buat saya sebagai warga pendidik," katanya yang pernah menjawat jawatan sebagai Guru Penolong Kanan Kurikulum Sekolah Kebangsaan Methodist, Telok Datok, Selangor.

Manakala Rabiah pula memberitahu, pendidik harus terus berdedikasi dan mampu mendidik anak bangsa dengan lebih cemerlang pada masa depan.

‘‘Ini adalah tugas hakiki kita bagi memastikan anak muda berjaya dalam mencapai cita-cita mereka. Tugas guru adalah pencetus kepada kejayaan anak-anak bangsa," kata bekas Pengarah Pelajaran Negeri Sarawak.

Dalam pada itu, Freida berkata, semua guru perlu sentiasa berdedikasi dan meletakkan setiap anak didik itu sebagai aset berharga untuk negara.

‘‘Saya juga berazam untuk menubuhkan pusat pendidikan guru bagi melatih dan memberikan ilmu kepada mereka supaya ada dalam kalangan pendidik ini menjadi tenaga pengajar khususnya di sekolah swasta," katanya yang juga pengasas Sekolah Sri Cempaka, Kuala Lumpur.