23 April 2014
23 Jamadil Akhir 1435

Tiket AirAsia, Malindo Air laris

KUALA LUMPUR 18 April - Sempena Pilihan Raya Umum Ke-13, syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia Bhd. dan Malindo Air menerima tempahan tiket menggalakkan daripada orang ramai.

Pengurus Perhubungan Awam dan Komunikasi Malindo Air, Suresh Vanan berkata, sejak pengumuman tarikh pilihan raya diumumkan pada 10 April lepas, hampir 95 peratus tiket telah ditempah terutamanya menjelang hari penamaan calon.

"Tawaran masih lagi dibuka namun bergantung kepada konsep siapa cepat dia dapat," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambah beliau, orang ramai boleh melayari laman rasmi Malindo Air di http://www.malindoair.com/ untuk keterangan lanjut pakej penerbangan serta tempahan tiket secara online.

Syarikat hasil usahasama antara National Aerospace and Defence Industries Sdn Bhd (Nadi) dan PT Lion Group itu menawarkan tambang istimewa ke Kuching daripada RM78 dan daripada RM108 ke Kota Kinabalu itu boleh ditempah segera bagi perjalanan antara sekarang dan 31 Julai.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Bhd., Aireen Omar berkata, pihaknya menerima sambutan yang baik sejak kempen Fly Home to Vote dilancarkan pada minggu lalu, bagi penerbangan domestik dan antarabangsa.

"Bagaimanapun, jumlah tiket yang telah ditempah belum dapat dimaklumkan kerana AirAsia masih lagi menerima tempahan tiket daripada orang ramai yang ingin kembali ke kawasan pengundian bagi melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi," katanya.

Tambahnya, orang ramai masih boleh membuat tempahan di laman web AirAsia, www.airasia.com untuk tempoh perjalanan segera, serta menerusi platform tempahan mudah alihnya menerusi telefon berkeupayaan WAP di mobile.airasia.com dan AirAsia apps di peranti iPhone dan Android.

Sebelum ini, AirAsia Bhd. pernah mengeluarkan kenyataan menawarkan bagi penerbangan domestik seluruh Malaysia, tambang bermula daripada RM29 sehala bagi laluan seperti Kuala Lumpur ke Johor Baharu, Pulau Pinang, Alor Setar, Terengganu, Langkawi dan lain-lain.

Tambang istimewa itu termasuk penerbangan yang beroperasi dari hab lain AirAsia di seluruh negara. - BERNAMA