29 Julai 2014
2 Syawal 1435

ATM, Puncak Niaga hasilkan Jernih

LANGKAWI 28 Mac - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Puncak Niaga Holdings Berhad (PNHB) akan mempatenkan reka bentuk dan ciri-ciri khusus alat penulenan air dikenali sebagai Jernih yang dibangunkan hasil konsep penjodohan industri antara kedua-dua pihak.

Memorandum Persetujuan (MoA) antara kedua-dua belah pihak bagi kerjasama itu ditandatangani dalam Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2013 di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), di sini hari ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sistem penulenan air itu mampu merawat air dengan kekeruhan tinggi khususnya bagi kegunaan misi bantuan kemanusiaan dan kecemasan.

Menurut beliau, Jernih sesuai digunakan untuk membantu masyarakat di kawasan yang mempunyai masalah bekalan air minuman selamat, sukar didapati atau di kawasan yang berdepan kegawatan ekoran peperangan, gempa bumi, rusuhan serta bencana.

"Ini merupakan inovasi antara kedua-dua pihak dan digunakan di 40 lokasi di kawasan Parlimen Jeli bagi membantu mengatasi masalah air di situ sebagai projek perintis," katanya kepada pemberita selepas melihat prototaip dan mendengar taklimat mengenai sistem berkenaan dalam pameran itu.

Dalam majlis itu, beliau turut melancarkan buku The Valley of Hope yang dihasilkan oleh Markas Angkatan Bersama ATM.

Buku setebal 215 muka surat itu menceritakan pelbagai pengalaman menarik ATM ketika berkhidmat di Bamyan, Afghanistan bagi membantu membangunkan semula aspek kesihatan di wilayah berkenaan yang musnah akibat peperangan.

Yang hadir sama, Panglima ATM, Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin dan Pengurus Besar Jabatan Teknologi Maklumat PNHB, Azlan Shah Rozali.

Menurut Zahid, idea memperkenalkan alat penulenan air itu tercetus daripada operasi ATM di Bamyan pada 2011.

Sementara itu, Pengarah Hal Ehwal Awam Markas Angkatan Bersama Kementerian Pertahanan, Leftenan Kolonel Salawati Yahaya memberitahu, sistem prototaip Jernih lebih senang dibawa, dipasang, lebih praktikal, cekap dan berinovasi tinggi.

Katanya, sistem itu mampu mengeluarkan air minuman bersih sebanyak 3,000 liter sehari dan boleh diminum kira-kira 500 orang dalam tempoh tersebut iaitu sebanyak enam liter seorang.