2 Oktober 2014
7 Zulhijjah 1435

Penjualan rokok elektronik salah

KUCHING 7 Jan - Menjual, mengedar atau menyimpan rokok elektronik, e-Cigarette adalah satu kesalahan di bawah Akta Racun 1952 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Zulkifli Jantan berkata, hal itu demikian kerana pihaknya telah mengesan kehadiran nikotin di dalam cecair e-Cigarette dalam pelbagai kepekatan tertentu.

Beliau berkata, nikotin merupakan bahan yang dikawal di bawah Akta Racun 1952 dan hanya dikecualikan dalam produk tembakau.

Katanya, penjualan dan pembekalannya hanya boleh dibuat melalui ahli farmasi berlesen dan pengamal perubatan berdaftar.

"Pelanggaran keperluan ini adalah satu kesalahan dan boleh dihukum dengan denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-dua sekali di bawah akta sama.

"Peruntukan tersebut juga tertakluk untuk bahan kimia lain yang dikesan dalam cecair e-Cigarette jika ia merupakan bahan yang dikawal di bawah Akta Racun 1952," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Amaran itu dibuat Jabatan Kesihatan negeri kerana e-Cigarette yang didakwa sebagai alat bantuan berhenti merokok dijual secara berleluasa dan mendapat sambutan hangat di negeri ini.

Ia dipasarkan dalam bentuk set yang menggunakan cecair e-Cigarette untuk menghasilkan wap dalam rokok elektronik tersebut.

Sementara itu, Zulkifli berkata nikotin adalah keluaran yang perlu didaftarkan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Katanya, pelanggaran peraturan tersebut merupakan satu kesalahan dengan denda dikenakan tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Katanya, untuk pertubuhan perbadanan pula, hukuman yang boleh dikenakan di bawah Seksyen 12 (2) adalah denda tidak melebihi RM50,000.

"Oleh itu, semua peniaga yang mempunyai kaitan dengan e-Cigarette diingatkan bahawa menjadi satu kesalahan jika menyimpan, mengedar atau menjual sebarang bahan atau cairan yang mengandungi nikotin selain rokok asli atau tembakau," katanya.