21 Ogos 2014
25 Syawal 1435

Beri rebat semua telefon pintar

KUALA LUMPUR 28 Dis. - Kerajaan diminta tidak meletakkan had pada harga telefon pintar 3G bagi membolehkan orang ramai mendapatkan rebat sebanyak RM200 seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada pembentangan Bajet 2013 September lalu.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, rebat RM200 itu sepatutnya diberikan kepada semua jenis telefon pintar.

"Setuju @nobisha, kalau nak bagi rebat RM200, bagi sahaja kepada semua smartphone (telefon pintar)," kata Khairy yang bersetuju dengan pendapat seorang rakan Twitternya hari ini.

Khairy memberi maklum balas tersebut berikutan kenyataan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) semalam bahawa golongan muda yang layak mendapat rebat tersebut boleh membeli telefon pintar 3G terpilih berharga sehingga RM500 dari penjual atau pengedar yang berdaftar.

Kenyataan SKMM itu juga menyebut, golongan muda yang terpilih membeli telefon pintar hanya perlu membayar tidak lebih dari RM300 sebagai tambahan kepada rebat yang diberikan.

Pada September lalu, Perdana Menteri mengumumkan pemberian rebat RM200 secara one-off bagi golongan belia membeli satu unit telefon mudah alih pintar 3G bertujuan membuka akses maklumat kepada mereka.

Khairy turut menegaskan, Bajet 2013 hanya menyebut mengenai pendapatan belia yang layak menerima rebat tersebut dan bukan harga telefon pintar yang tidak melebihi RM500.