31 Julai 2014
4 Syawal 1435

Lucut senjata selepas Bangsamoro dibentuk

JOHOR BAHRU 25 Dis. - Proses pelucutan senjata anggota pejuang Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) akan hanya dimulakan sebaik sahaja terbentuknya kerajaan Bangsamoro dan beroperasi di Mindanao, selatan Filipina.

Pengerusi MILF, Murad Ebrahim berkata, ketika ini isu mengenai pelucutan senjata para pejuang MILF masih lagi dalam perbincangan dengan kerajaan Filipina.

Beliau mengingatkan pihak-pihak terbabit perlu mewujudkan keadaan yang betul di peringkat bawahan terlebih dahulu sebelum memulakan proses pelucutan senjata oleh anggota-anggota pasukan pejuangnya.

Murad berkata, isu pelucutan senjata tidak seharusnya menjadi tumpuan perhatian pihak pejuang MILF sahaja tetapi perlu juga melibatkan militia kerajaan yang dikenali sebagai Sukarelawan Awam.

"Mereka sepatutnya juga tertakluk kepada pelucutan (senjata)," katanya ketika ditemui semasa menghadiri Forum Ekonomi Dunia Islam (WIEF) kelapan yang berakhir di sini baru-baru ini.

MILF dan kerajaan Filipina baru-baru ini berjaya memeterai rangka perjanjian bagi mengakhiri konflik berpanjangan di antara kedua-dua pihak yang telah mengakibatkan ribuan nyawa terkorban dan menyebabkan keadaan di wilayah Mindanao yang kaya dengan hasil bumi itu dalam keadaan mundur.

Rangka perjanjian itu yang dijayakan hasil rundingan menerusi pengantaraan Malaysia ditandatangani di Istana Malacanang, Manila, pada 15 Oktober lepas.

Upacara bersejarah itu disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Filipina, Benigno Aquino III.

Pemimpin pemberontak itu berpendapat, rakyat Mindanao tidak perlu memegang senjata sekiranya keadaan keamanan dan keselamatan wujud di bumi mereka. - BERNAMA