24 April 2014
24 Jamadil Akhir 1435

Rayu kaedah asal ke Al-Azhar

KUALA TERENGGANU 17 Ogos - Kerajaan khususnya Kementerian Pengajian Tinggi didesak agar kembali kepada kaedah asal dalam urusan penghantaran pelajar Malaysia bagi menyambung pengajian ke Universiti Al-Azhar di Mesir.

Ini kerana pada tahun ini, kaedah penghantaran itu yang biasanya dinilai berdasarkan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) telah dihentikan dan segala urusan itu diserahkan kepada Yayasan Sofa yang beroperasi di Negeri Sembilan.

Pengerusi Lajnah Pendidikan Pas, Datuk Abu Bakar Chik berkata, Kementerian Pengajian Tinggi diminta memulihkan semula hak pelajar untuk ke Al-Azhar seperti mana penghantaran para pelajar ke universiti lain di luar negara.

Beliau memberitahu, proses penghantaran pelajar bagi mengikuti bidang pengajian Islam di Universiti Al-Azhar perlu diteruskan dengan berpandukan STAM yang melayakkan para pelajar meneruskan pengajian ke sana.

"Kenapa hantar pelajar kita ke Universiti Al-Azhar melalui Yayasan Sofa. Bermula tahun 2012, tiada lagi program penghantaran pelajar ke Al-Azhar oleh Kementerian Pengajian Tinggi, sedangkan untuk pelajar bidang perubatan ke Jordan, Mesir dan Maghribi, masih ada.

"Pada tahun 2010, kerajaan benarkan pelajar ke Al-Azhar melalui Yayasan Sofa. Setahun kemudian, wakil pejabat-pejabat agama dipanggil untuk diberi taklimat tentang urusan pelajar ke Al-Azhar.

"Pada 2012, tiada langsung pelajar ke sana dan tiba-tiba keluar kenyataan daripada Yayasan Sofa bahawa mereka yang uruskan kemasukan pelajar ke sana," katanya pada sidang akhbar di Maahad Tahfiz Wal Tarbiyah Darul Iman di Kampung Tok Jiring di sini semalam.

Abu Bakar yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat menyatakan perkara itu berdasarkan pendedahan melalui surat terbuka oleh bekas Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sofa yang dipecat, Dr. Yusri Mohammad yang juga bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Surat yang mengandungi 10 muka surat itu mula dikeluarkan pada 18 Mei lalu. Pejabat Urusan Yayasan Sofa kini beroperasi di Negeri Sembilan tetapi menggunakan alamat di Taman Dato' Ahmad Razali di Ampang, Kuala Lumpur.

Abu Bakar seterusnya berkata, beliau pelik bagaimana ada sesetengah Pejabat Agama Islam negeri tidak tahu menahu mengenai perkara itu sehingga menimbulkan persoalan.

"Ini perkara yang tak betul dan apa sebenarnya tujuan urusan penghantaran pelajar kita ke Al-Azhar diserahkan kepada Yayasan Sofa ini," ujarnya.

Beliau menjelaskan, Yayasan Sofa itu mula ditubuhkan pada Februari 2004 di Negeri Sembilan dengan Datuk Sheikh Mohd. Fuad Al-Musnid Kamaruddin Al-Maliki, 39, sebagai Pengerusi sehingga sekarang.

Abu Bakar turut mendakwa, Sheikh Mohd. Fuad menganggap dirinya sebagai khalifah atau wakil tarekat Al-Maliki manakala Al-Munsid pula membawa maksud ahli hadis selain dianggap sebagai Sheikh Tarekat Ahmadiah Muhammadiah yang memiliki ijazah untuk memimpin semua tarekat di Malaysia.

Beliau mendakwa, Yayasan Sofa juga menguruskan peperiksaan bagi 623 pelajar sebelum ke Al-Azhar dan daripada jumlah itu hanya 101 orang yang lulus dengan keputusan paling teruk.

Katanya, manakala sejumlah 522 pelajar yang gagal dikehendaki belajar selama 10 bulan untuk mengulangi peperiksaan dengan kesemua mereka terpaksa menanggung kos mencecah RM3.3 juta.

Justeru, beliau menggesa polis dan Suruhanjaya Pencegahan rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan ke atas yayasan berkenaan.