Razali MHO atau Rizalman dalam rencana bertajuk ‘Utusan Melayu Kembangkan Kartun dan Komik Tanah Air’ yang disiarkan di dalam buku Di Sebalik Jendela Utusan sempena Ulang tahun Utusan Me­layu ke-50 (1939-1989) menyatakan, ruangan pojok, kartun dan komik bersiri setiap keluaran akhbar Utusan Melayu dan Utusan Zaman sentiasa menjadi tarikan utama pembaca era itu.

UTUSAN Zaman menyiarkan kartun Wak Ketuk watak ciptaan Abd Rahim Kajai yang dilukis oleh Ali Sanat p
UTUSAN Zaman menyiarkan kartun “Wak Ketuk” watak ciptaan Abd Rahim Kajai yang dilukis oleh Ali Sanat pada 1941.

Malah pelukis Ali Sanat berjaya mencetuskan fenomena dalam kalangan peminat kartun di era 1940-an apabila watak ‘Wak Ketuk’ yang penuh sindiran ciptaan Abdul Rahim Kajai disiarkan oleh akhbar Utusan Zaman.

Pada zaman permulaan akhbar Utusan Melayu diterbitkan pada 1939 di Singapura nama kartunis Ali Sanat telah menghiasi sudut-sudut akhbar Utusan Zaman menerusi kartunnya yang popular ketika itu ‘Wak Ketuk’. Ali Sanat banyak menyentuh tentang kehidupan masyarakat di zamannya dengan rentetan kisah-kisah lucu dan amat sinis sekali.

“Di samping itu Ali Sanat juga merupakan seorang kartunis yang telah menampakkan minatnya terhadap ‘karikator’ (kartun politik) di mana karektor Hitler pernah di­abadikannya dalam bentuk yang menarik”.

Muliyadi Mahamood dalam bukunya Kartun dan Kartunis di Malaysia (2017) turut me­nya­takan, menjelang akhir tahun 1930-an, kartun Ali Sanat muncul menghiasi ruangan pojok Abdul Rahim Kajai dalam Utusan Zaman menerusi watak Wak Ketuk yang menggarap isu-isu kebangsaan dan jati diri Melayu.

Antara tema penting yang digarap Wak Ketuk ialah tentang isu-isu sosial, ekonomi dan politik yang melibatkan bangsa Melayu seperti semangat kebangsaan dan sikap Me­layu itu sendiri.

“Umumnya banyak episod Wak Ketuk didominasi oleh persoalan ‘Takrif Melayu’ dan perbalahan antara orang Melayu dengan Melayu keturunan Arab dan India. Justeru Wak Ketuk menjadi senjata Kajai bagi memperjuangkan asas ‘Takrif Melayu’ yang berhubungan dengan dasar-dasar Utusan Melayu dan Pertubuhan Melayu ketika itu.

Menurut Razali MHO, pada 1958 tampil pula pelukis Raja Hamzah Al-Johari dengan karyanya yang paling popular “Dol Keropok dan Wak Tempeh’ yang menghiasi dada akhbar Utusan Melayu.

“Kartunnya ini disiarkan secara harian bersama sebuah siri komik seram berjudul ‘Sumpah Hantu Jerangkung’. Ketika ini nama Raja Hamzah begitu terkenal dan menjadi sebutan dalam kalangan para peminat seninya kerana lukisan-lukisan dan cerita yang dihidangkan amat menarik dan berkesan sekali.

“Bermula dari situ pelukis Raja Hamzah terus aktif berkarya dan beliau adalah merupakan salah seorang pelukis tanah air yang banyak menghasilkan karya-karya komik dalam bentuk buku de­ngan menonjolkan cerita-cerita Sejarah Melayu dan kisah-kisah masyarakat yang menjadi minat kepada pembaca di seluruh tanah air”.

Menurut Muliyadi pula, pada 1950-an, siri kartun lerang oleh Raja Hamzah berjudul ‘Dol Keropok dan Wak Tempeh’ dan karya M. Salehuddin bertajuk ‘Jenaka’ di­siarkan dalam akhbar Utusan Melayu dan Utusan Zaman dari Mac 1956 hingga Mei 1959.

Seorang lagi kartunis ulung yang berjaya ditonjolkan oleh Utusan dengan karya-karya lucu dan sinisnya ialah Mohd. Salehuddin yang banyak tersiar di dalam akhbar Utusan Zaman pada awal 1950-an.

Kebanyakan kartunnya tidak membawa sesuatu tajuk yang tetap tetapi karektornya adalah sama. Siri kartun ‘Jenaka’ yang dilukis oleh Mohd. Salehuddin dalam Utusan Zaman menampilkan kisah-kisah lucu sekitar watak-watak utamanya Pak Long, Mak Long dan Pak Ngah.

Di samping kisah lucu ringan seperti jenaka kulit pisang, beberapa siri awal turut mengimbau dan menimbulkan watak Wak Ketuk yang disiarkan oleh akhbar itu pada 1939.

“Dalam konteks ini Mohd. Salehuddin turut menggarap kisah perbezaan darjat dan status kehidupan antara golo­ngan bangsawan dan rakyat biasa, misalnya menerusi kisah ‘Hantu Wak Ketuk Kahwin Tuan Pu­teri’ yang di­siarkan oleh Utusan Zaman 14 Ogos 1949.

“Dari sudut gaya, ‘Jenaka’ memperlihatkan pertalian gaya dengan karya kartun kartunis Inggeris John Millar Watts ‘Pop’ khususnya daripada aspek pengolahan panel dan penampilan watak.

“Hal ini menunjukkan antara pengaruh kartun Barat dalam karya kartun lerang tempatan” (Muliyadi Maha­mood 2017: 7).