AKHBAR Utusan Malaysia pada 31 Disember 1969 menyiarkan berita mengenai kesahihan identiti pahlawan
AKHBAR Utusan Malaysia pada 31 Disember 1969 menyiarkan berita mengenai kesahihan identiti pahlawan Mat Kilau bertajuk: “Semakin pasti dialah Mat Kilau”.

Laporan Jawatankuasa Khas Menyiasat Mat Kilau itu yang dipengerusikan oleh Datuk Abdul Aziz Ahmad serta ahli jawatan kuasanya, Ibrahim Arshad, Abdul Razak Hitam, Kapten Mohd. Ali Muhammad, Zakaria Hitam dan Asaari Yaacob menyatakan:

“Siasatan yang telah dijalankan meyakinkan kami Mat Siam itu Mat Kilau. Ke­terangan utama ialah keterangan yang telah diberi oleh Tok Pawang Nong, Mustafa bin Awang Mat, Mek Munah dan Pak Him. Mereka ini kenal akan Mat Kilau tetapi tidak kenal akan Mat Siam.

“Keterangan-keterangan ini disokong oleh keterangan-ke­terangan yang diberi Idris bin Lambak dan Haji Abdul Hamid bin Lela, orang-orang istana Sultan Abdullah. Idris bersama-sama dengan rakan-rakannya yang lain telah diberitahu oleh Sultan Abdullah bahawa yang ada datang menghadap Tunku itu ialah Mat Kilau” (Petikan buku Jejak Pahlawan Mat Kilau 2007).

Laporan oleh Jawatankuasa Khas Menyiasat Mat Kilau turut menyatakan bahawa ke­terangan-keterangan itu me­yakinkan pihaknya bahawa Mat Kilau tidak mati di Lebir, Ulu Kelantan dan tidak dikebumikan di Bunut Payung, Kota Bharu, Kelantan seperti mana didakwa sesetengah pihak sebelum ini.

“Oleh yang demikian berdasarkan keterangan-kete­rangan dan hujah-hujah yang didapati dari penyiasatan yang telah dijalankan kami berpendapat: bahawa Mohamed bin Ibrahim, kad pengenalan nombor 2044778, yang tinggal di Batu 5, JalanGambang Kuantan yang lebih dikenali sebagai Mat Siam itu dipercayai Mat Kilau bin Imam Rasul”.

Menurut jawatankuasa tersebut akhbar Utusan Melayu dan Utusan Malaysia merupakan media pertama di negara ini yang berjaya mewawancara Mat Kilau secara eksklusif bertajuk : ‘Sah: Pahlawan Mat Kilau Masih Hidup’ yang telah disiarkan di muka hadapan akhbar tersebut pada 29 Di­sember 1969, turut menjadi asas siasatan.

Melalui wawancara eksklusif oleh wartawan Nordin Mohamed dan Haji Alang Ahmad, pahlawan Pahang itu yang membahasakan dirinya sebagai ‘Aki’ memberitahu Utusan Melayu bahawa, Almarhum Sultan Abdullah pernah menitahkan supaya Mat Kilau mengadapnya di istana sekitar 1920-an. Semasa pertemuan itu ba­ginda menitahkan Mat Kilau supaya me­nukarkan namanya kepada Mat Siam bagi mengelakkan British yang masih berkuasa ketika itu menangkapnya.

Menurut Utusan Melayu lagi, Mat Kilau memberitahu bahawa ba­ginda turut menitahkan beliau berpindah dari Kampung Tanjung Medang, Pekan ke Kampung Batu Lima, Jalan Maran-Kuantan sekitar 1927 kerana bimbangkan orang-orang Inggeris yang masih berkuasa di Pahang ketika itu dapat menghidu pergerakannya.

Laporan eksklusif Utusan Melayu itu turut menarik perhatian Pengarah Majlis Gerakan Negara (Mageran), Tun Abdul Razak seperti yang di­siarkan oleh Utusan Malaysia pada 30 Disember 1969 bertajuk: “Tun akan temui Pahlawan Mat Kilau”.

Tun Abdul Razak yang juga Timbalan Perdana Menteri percaya Mat Kilau sengaja menyembunyikan dirinya sekian lama dengan me­nyamar dirinya menggunakan pelbagai gelaran seperti Mat Siam dan Mat Dahan kerana bimbang Inggeris menangkapnya sekiranya mengetahui beliau masih hidup.

Utusan Melayu me­lalui rencana pengarang pada 30 Disember 1969 menyatakan, Mat Kilau sebagai seorang tokoh pejuang kebangsaan dan perjuangannya membebaskan tanah air daripada penjajah sewajarnya menjadi contoh kepada generasi sekarang berjuang untuk bangsa dan negara.

“Barangkali tidak banyak antara kita yang tidak mengenal sejarah perjuangan Mat Kilau di masa mudanya dahulu, bagaimana pahlawan yang ulung itu mempertahankan maruah serta kehormatan bangsa dan ne­gerinya,” tulis rencana Pengarang Utusan Melayu lagi.

Wartawan Utusan Melayu, Ishak Haji Muhamad atau Pak Sako yang menulis sebanyak tujuh siri laporan mengenai Mat Kilau dalam akhbar Utusan Melayu dan Utusan Zaman turut mengulas mengapa pahlawan itu memakai samaran Din bin Ibrahim atau Mat Siam.

“Mudah saja jawabnya. Dalam masyarakat Melayu Pantai Timur maka orang-orang yang memakai tambahan Siam pada namanya iaitu seperti Ali Siam, Dollah Siam dan yang ringkas sekali Mat Siam, akan segera memberi gambaran atau reaksi psikologi bahawa orang-orang itu tentulah banyak ilmu, pandai bersilat, berani dan juga jahat yang lebih baik, untuk keselamatan, jangan didekati, jangan dibuat kawan”. (Ishak Haji Muhamad 1970)

Sumber: Pusat Maklumat Utusan