Menurut laporan Utusan Melayu 28 Mei 1961, Tunku menyatakan: “Sebagai suatu bangsa, Malaya hari ini sedar bahawa dia tidak dapat berdiri sendiri dan hidup bersendirian. Di luar bidang politik antarabangsa, maka politik kebangsaan kita hendaklah didasarkan pada konsep yang luas. Lambat laun Malaya akan dapat mencari persefahaman dengan British dan dengan rakyat-rakyat di Wilayah Singapura, Borneo Utara, Brunei dan Sarawak...”.

AKHBAR Utusan Melayu bertarikh 18 September 1963 merakamkan detikdetik Pengisytiharan Malaysia yang
AKHBAR Utusan Melayu bertarikh 18 September 1963 merakamkan detikdetik Pengisytiharan Malaysia yang bergema dengan pekikan “Merdeka” oleh 35,000 orang yang telah memecahkan suasana di Stadium Merdeka.

Bayangan Tunku di Kelab Wartawan Singapura itu merupakan cetusan awal gagasan ‘Grand Design’ untuk menggabungkan Tanah Melayu, Si­ngapura, Borneo Utara, Brunei dan Sarawak menjadi sebuah kesatuan yang menjurus kepada konsep ‘Melayu Raya’.

Beberapa hari selepas membuat ucapan bersejarah itu, Tunku telah mengadakan perbincangan dengan Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu, Geofroy Tory.

Melalui perbincangan empat mata itu Tunku menekankan, sekiranya gagasan ‘Grand Design’ itu ingin dilaksanakan, Wilayah Sarawak dan Borneo Utara hendaklah dicantumkan bersama.

Mengenai Brunei, Tunku memaklumkan bahawa Sultan Brunei berminat untuk me­-
n­yertai gagasan itu kerana bergabung sebagai sebuah negeri Tanah Melayu akan memberi perlindungan politik yang diperlukan. Faktor lain yang menarik Sultan Brunei ialah prospek untuk menjadi Yang di-Pertuan Agong.

Mengenai Singapura pula, Tunku berpendapat bahawa masalah Singapura dapat di­selesaikan dengan menggunakan model ‘Ulster’. Di bawah model tersebut, Singapura akan menghantar wakilnya ke Parlimen pusat di Kuala Lumpur.

Nik Anuar Nik Mahmud dalam buku Konfrantasi Malaysia-Indonesia (2000) terbitan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), menjelaskan idea gagasan Malaysia atau Melayu Raya bukanlah sesuatu yang baharu.

Idea itu yang bertujuan menyatukan tanah jajahan atau naungan British di Asia Tenggara sebagai satu koloni telah disuarakan sejak tahun 1894 lagi.

Sebelum Perang Dunia Kedua, pemimpin-pemimpin nasionalis Melayu seperti Ibrahim Haji Yaacob, Dr. Burhanuddin Al-Helmi dan Ahmad Boestamam pernah menyuarakan hasrat mereka untuk menggabungkan nege­ri-negeri Melayu di Semenanjung, Borneo dan Hindia Timur Belanda dalam sebuah gagasan yang diberi nama ‘Melayu Raya’ ataupun ‘Malaysia’.

Namun begitu, kegawatan politik semasa dan masalah-masalah selepas perang telah menghalang idea itu daripada menjadi suatu kenyataan.

Barbara Watson Andaya dan Leornard Y. Andaya dalam buku Sejarah Malaysia (1983) merumuskan, idea penubuhan Malaysia oleh Tunku Abdul Rahman pada tahun 1961 merupakan sesuatu yang amat luar biasa dan menakjubkan.

“Sesungguhnya adalah se­suatu yang menakjubkan semua apabila Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman me­ngumumkan di Singapura pada tahun 1961 mengenai idea sebuah Tanah Melayu yang lebih luas, yang akan termasuk Singapura, Borneo Utara, Brunei dan Sarawak” (Andaya dan Andaya 1983: 515).

Masalah Singapura

Menurut Andaya, idea itu sebenarnya bukanlah baru kerana telah pun disarankan oleh pihak Inggeris beberapa kali sebelum ini dan oleh ber­bagai kumpulan setempat yang berusaha untuk mencipta ‘Indonesia Raya’ atau ‘Malaysia Raya’.

“Apa jua puncanya, ranca­ngan itu, apa yang menghairankan semua pemerhati politik ialah kesediaan kerajaan Perikatan pimpinan Tunku untuk menggabungkan Singapura ke dalam kesatuan yang dica­dangkan itu.” (Andaya dan Andaya 1983).

Menurut Andaya, Tanah Melayu telah menolak secara tegas cadangan-cadangan awal yang sama maksudnya disebabkan kebimbangan bahawa penduduk Cina di Singapura yang begitu besar pengaruhnya akan merosakkan imbangan etnik yang sedia ada dan kepentingan ekonomi Singapura akan bertelagah dengan kepentingan ekonomi Tanah Melayu.

Namun begitu, akhirnya Tunku dengan persetujuan kerajaan Singapura, Sarawak, Sabah dan British telah mengeluarkan perisytiharan pada 29 Ogos 1963 bahawa Malaysia akan ditubuhkan pada 16 September 1963.

Pengumuman Tunku itu te­lah menimbulkan kemarahan pihak Indonesia dan Filipina. Pada 3 September Indonesia telah membantah dengan lantang dan menuduh Tunku telah melanggar Perjanjian Manila.

Pada 14 September 1963, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, U Thant menerbitkan laporan kajian oleh Kumpulan PBB yang mengesahkan bahawa majoriti daripada penduduk Borneo Utara dan Sarawak bersetuju untuk menyertai Persekutuan Malaysia.

Utusan Melayu melaporkan, tanpa menghiraukan bantahan Indonesia dan Filipina, pada 16 September 1963, Tunku Abdul Rahman mengisytiharkan penubuhan Malaysia yang mengandungi Tanah Melayu, Singapura, Sarawak dan Sabah (Borneo Utara).

Namun begitu, Brunei atas sebab-sebab tertentu, memilih untuk berada di luar Malaysia dan dengan itu terus kekal sebagai sebuah negeri di bawah naungan British.

ESOK: Tunku singkir Singapura.