Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu, Mazlan Nordin dan Pengarang Rencana Utusan Malaysia, Subky Latiff yang mengikuti rombongan Malaysia ke Peking pada 28 Mei 1974 melaporkan, Tun Abdul Razak diberikan sambutan yang paling meriah yang lazimnya diberikan kepada tetamu sahabat lama.

Malah, Kerajaan China tidak pernah melupakan kemegahan hubungan diplomatik Melaka-China yang pernah terjalin erat ketika era kerajaan Kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-15.

Bahkan, kisah sejarah Raja Parameswara, Laksamana Hang Tuah dan Laksamana Cheng Ho yang pernah menjadi duta China ke seberang laut abad itu masih menjadi sebutan dan kebanggaan dalam kalangan rakyat republik itu.

Bendera Malaysia berkibar dengan megahnya di samping bendera China ketika lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan dan ketika Tun Abdul Razak memeriksa barisan kehormat para perajurit unit-unit angkatan darat, laut dan udara. Inilah saatnya Tun Abdul Razak merasa megah apabila lagu ‘Negaraku’ bergema secara rasmi buat pertama kali di benua Cina.

Utusan Malaysia melapor­kan Tun Abdul Razak kelihatan terharu bercampur gembira dengan sambutan meriah yang diikuti dengan pukulan gendang dan tarian-tarian yang sungguh bersemangat.

Mazlan Noordin menulis: Slogan-slogan juga terpampang di sana sini di lapangan terbang itu dan di tempat-tempat lain yang penting, antara lain berbunyi: “Selamat Datang Perdana Menteri Malaysia Tun Abdul Razak”, “Hidup Persahabatan antara rakyat Tiongkok dan Malaysia” dan “Sokong teguh perjuangan rakyat Malaysia dan kedaulatannya”.

Tun Razak menyatakan inisiatif yang diambil beliau untuk menjalin hubungan diplomatik dengan China merupakan langkah pen­ting bagi mewujudkan rantau Asia Tenggara sebagai Zone of Peace Freedom and Neutrality (ZOPFAN) atau dikenali sebagai kawasan aman, bebas dan berkecuali daripada sebarang pengaruh kuasa besar.

Menurut Rozeman Abu Hassan dalam buku Tun Abdul Razak bin Dato’ Hussein: Dasar Luar Malaysia 1970-1976 (2003), Tun Abdul Razak berminat untuk menjalinkan hubungan diplomatik antara Malaysia dengan China apabila republik itu bersetuju menyokong konsep ZOPFAN.

Menurut Rozeman lagi, semasa pentadbiran Tunku Abdul Rahman hubungan kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dengan China tidak terjalin kerana sikap Tunku sendiri yang anti-komunis.

Oleh itu hubungan diplomatik antara Tanah Melayu dan China tidak wujud sama sekali bahkan Tunku telah menyokong penolakan China dari menyertai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Walau bagaimanapun dasar politik ini berubah apabila Tunku Abdul Rahman meletakkan jawatan dan digantikan oleh Tun Abdul Razak. Pada 26 Julai 1971, Tun Abdul Razak telah mengumumkan di dalam persidangan Dewan Rakyat bahawa Malaysia ingin menjalin hubungan diplomatik dengan Republik Rakyat Cina” (Rozeman Abu Hassan 2003).

Tun Abdul Razak menjelaskan hasil diperoleh semasa lawatan beliau ke China itu:

“Lawatan saya ke Peking mempunyai erti yang besar kepada kita oleh kerana dengan adanya hubungan diplomatik itu kita telah menemui persetujuan dengan Republik Rakyat China atas beberapa perkara pokok soal dua kerakyatan atau ‘dual nationality’ yang telah pun ditolak oleh China, soal Parti Komunis Malaya dan soal-soal politik regional dan bilateral yang berkaitan dengan China.

“Dalam perbincangan saya dengan pemimpin-pemimpin China iaitu Pengerusi Mao Tse-tung, Perdana Menteri Chou Eng Lai, Naib Perdana Menteri Li Hsien-nien dan lain-lain, nyata dan jelas hasrat China hendak berbaik-baik dengan kita atas dasar-dasar yang dipersetujui itu.

“China dengan tegas menolak prinsip dua kerakyatan yang diamalkan selama ini dan secara tegas juga menyifatkan orang keturunan China yang telah memilih kerakyatan Malaysia terputus hubungan sama sekali dengan nenek moyang mereka itu,” jelas Tun Abdul Razak.

Mohd. Khalil Yaakob dan Syaimak Ismail dalam Jurnal Sains Sosial (Jilid 2 2017:130-143) menyatakan, mengikut rekod sejarah Melayu, China adalah negara yang menghulurkan perlindungan kepada kerajaan Melaka sewaktu diancam Siam kerana Melaka enggan membayar ufti.

Kemuncaknya, apabila maharaja China mengutus Laksamana Cheng Ho bagi mengiktiraf Parameswara sebagai raja yang sah di samping menolak kekuasaan serta serangan Siam dan Majapahit ke atas Melaka sekaligus memberi pengiktirafan terhadap kekuasaan Melaka.

Akhbar Utusan Malaysia pada 29 Mei 1974 bertajuk “Razak disambut hangat di Peking” memaparkan suasana meriah yang diberikan sempena kali pertama bendera Malaysia berkibar dan lagu Negaraku bergema di China.

Akhbar Utusan Malaysia pada
1 Jun 1974 bertajuk “Hubungan KL – Peking dirasmi“ menandakan 31 Mei 1974 merupakan tarikh kerajaan Malaysia dan Republik China menjalinkan hubungan diplomatik. Serentak dengan itu, kerajaan Malaysia telah memutuskan hubungan diplomatik dengan Taiwan.

Inilah saatnya Tun Abdul Razak merasa megah apabila lagu ‘Negaraku’ bergema secara rasmi buat pertama kali di benua Cina.