Menurut Nik Anuar Nik Mahmud dalam buku Tok Janggut Pejuang atau Penderhaka (1999), selama tiga hari berada di bandar Pasir Puteh mereka mengambil kesempatan membakar fail-fail dan membebaskan tahanan.

“Di samping itu dalam satu upacara yang diadakan mereka melantik Ungku Besar Jeram sebagai Pemerintah Pasir Puteh, Tok Janggut sebagai Perdana Menteri dan dibantu oleh Haji Said dan Che Ishak sebagai Ketua Jajahan” (Nik Anuar Nik Mahmud 1999: 30).

Penasihat British, W. Langham-Carter mendapat khabar buruk bahawa kira-kira 2,000 hingga 3,000 orang Melayu sedang merancang untuk me­nyerang Kota Bharu.

Pada 30 April 1915, beliau menasihatkan Sultan Muhamad IV mengumpulkan kekuatan di Kota Bharu bagi menghadapi tentangan pasukan Tok Janggut.

Pada 5 Mei 1915 bantuan da­ripada Singapura terdiri daripada 239 askar pimpinan Kolonel C. W. Brownlow tiba di Tumpat dengan “S. S. Kapal” serta pasukan di bawah Kapten Marryat dengan “H. M. S Cadmus”.

Pada 9 Mei 1915, pasukan di bawah Kolonel C. W. Brownlow tiba di Pasir Puteh tetapi gagal menahan pemimpin yang terlibat. Tidak lama kemudian pasukan tambahan “Malay States Guides” di hantar ke Kelantan dengan kapal “S. S. Calypso” dan tiba pada 12 Mei 1915.

“Tawaran hadiah sebanyak $500 dikeluarkan kepada barang siapa berjaya menangkap Tok Janggut dan Ungku Besar Jeram Tuan Ahmad. Tempoh tiga hari diberikan kepada Tok Janggut, Ungku Besar Jeram Tuan Ahmad, Che Sahak dan Penghulu Adam untuk me­nyerah diri.

“Sekiranya tidak mematuhi arahan ini rumah mereka akan dibakar. Dalam tempoh ini hanya Penghulu Adam me­nyerah diri.

Dengan itu pasukan British membakar rumah Tok Janggut, Che Ishak dan Haji Said.

“Tindakan British itu menyebabkan Tok Janggut me­lancarkan serangan sekali lagi ke atas Pasir Puteh pada 23 Mei 1915. Pada waktu subuh angkatan Tok Janggut berundur” (Nik Anuar Nik Mahmud 1999: 56).

Pada 24 Mei 1915, pasukan British yang terdiri daripada 50 orang Sikh dan tujuh Eropah di bawah arahan Mejar Borton dihantar ke Jeram untuk mengesan kedudukan Tok Janggut dan pengikutnya.

Tok Janggut dan pengikutnya yang terdiri daripada penduduk Kampung Jeram, Kampung Nering, Kampung Gong Garu, Kampung Saring, Kampung Gaal dan teratak Batu berkubu di Kampung Dalam Pupuh.

“Di sinilah berlaku pertempuran hebat antara pasukan Tok Janggut dengan angkatan British. Beberapa orang termasuk Tok Janggut terbunuh. Ungku Besar Jeram Tuan Ahmad yang mengalami kece­deraan telah diselamatkan oleh Awang Deraman ke Reman, Siam.

“Mayat Tok Janggut dibawa ke Kota Bharu dan diarak kemudian digantungkan kepala ke bawah di Padang Bank atau Padang Merdeka, Kota Bharu selama empat jam. Mayat Tok Janggut ditanam di Pasir Pekan” (Nik Anuar Nik Mahmud 1999: 56).