Pertama, baginda merupakan Yang di-Pertuan Agong Pertama selaras dengan peruntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu.

Kedua, wajah baginda yang kacak itu terus menerus di­cetak pada mata wang kertas negara kita sejak 1967 menyebabkan baginda dikenali ramai sehingga ke hari tanpa mengira usia, agama, fahaman politik dan warna kulit.

Portal Warisan Raja dan Permaisuri Melayu menyatakan, baginda yang memiliki Ijazah Undang-Undang dari United Kingdom pada tahun 1928 me­rupakan seorang raja yang bijaksana lagi disayangi rakyat jelata.

“Sebagai seorang yang berkelulusan undang-undang, maka baginda dilihat sebagai orang yang paling sesuai membawa negara ke peringkat lebih tinggi berganding bahu bersama Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj” (Portal Warisan Raja dan Permaisuri Melayu).

Perlembagaan Persekutan Bahagian IV - Bab 1 - Ketua Utama Negara menyatakan: “Perkara 32. (1) Maka hendaklah ada seorang Ketua Utama Negara bagi Persekutuan, digelar Yang di-Pertuan Agong, yang hendaklah diberi keutamaan daripada segala orang di dalam Persekutuan dan yang tidak boleh dikenakan apa-apa jua pun prosiding di dalam mana-mana mahkamah kecuali di dalam Mahkamah Khas yang ditubuhkan di bawah Bahagian XV” - Perlembagaan Persekutuan: Perkembangannya: 1957-1977).

Menerusi peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan inilah baginda secara rasmi mencatat sejarah sebagai ‘Ketua Negara’ bergelar Yang di-Pertuan Agong Pertama Tanah Me­layu.

“Maka, Majlis Raja-Raja se­bulat suara memilih Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Abdul Rahman untuk ditabalkan menjadi Yang di-Pertuan Agong Pertama Persekutuan Tanah Melayu. Baginda ditabalkan pada 2 September 1957 di samping isteri baginda Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Kurshiah” (Portal Warisan Raja dan Permaisuri Melayu).

Menurut Portal Warisan Raja dan Permaisuri Melayu lagi, baginda pernah menyatakan bahawa biarpun baginda bertaraf seorang raja dan menjadi Yang di-Pertuan Agong namun begitu, baginda tidak boleh memecat Ketua Menteri (sekarang jawatan Perdana Menteri) sebagai ketua eksekutif negara sebaliknya Ketua Menteri berkuasa penuh untuk memecat baginda.

Baginda sebenar­nya mempunyai ku­asa melantik Perdana Men­teri seperti perun­tukan Perlembagaan mengikut Perkara 40 (2), Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak me­nurut budi bicaranya pada melaksanakan fungsi yang berikut, iaitu: (a) Melantik seorang Perdana Menteri;

(b) Tidak memperkenankan permintaan bagi pembubaran Parlimen;

(c) Meminta diadakan mesyuarat Majlis Raja-Raja yang semata-mata berkenaan dengan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Duli-Duli Yang Maha Mulia

Raja-Raja, dan apa-apa tindakan pada mesyuarat itu.

“Sebagai anak raja yang berpendidikan tinggi, ba­ginda amat mendukung tinggi fahaman demokrasi. Antara kata-kata baginda yang diingati adalah apabila perwakilan dari Timur Tengah pada tahun 1959 mengadu ketidaksena­ngan mereka terhadap Ketua Menteri Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan mendesak ba­ginda untuk memecat Tunku.

“Baginda membalas: Saya tidak boleh memecat beliau (Tunku Abdul Rahman), beliau dipilih oleh rakyat, dan sebagai Ketua Menteri, beliau boleh pecat saya” (Portal Warisan Raja dan Permaisuri Melayu).

Menurut buku Takhta Kerajaan Negeri Sembilan oleh Tan Sri Abdul Samad Idris (1987), perhubungan erat baginda dengan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang secara kebe­tulan mempunyai nama yang sama bermula ketika baginda melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang di Inner Temple, England.

Semasa di England baginda telah dilantik menjadi Presiden Kesatuan Pelajar-Pelajar Great Britain, manakala Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj adalah setiausahanya selain ahli jawatankuasa yang terdiri daripada Datuk Panglima Bukit Gantang (Abdul Wahab Abdul Aziz) dan Datuk Nik Ahmad Kamil.

“Menurut ceritanya semasa baginda memimpin persatuan tersebut timbul juga kekeliruan yang menggelikan hati rakan-rakannya kerana nama Pre­siden dan Setiausahanya sama.

“Apabila Persekutuan Ta­nah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, sekali lagi peristiwa kepimpinan mereka berulang di mana baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong manakala Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj menjadi Perdana Menteri” (Abdul Samad Idris 1987: 175).

Semasa baginda menjadi Yang Dipertuan Besar, baginda berpeluang berangkat ke United Kingdom pada tahun 1937 bagi menghadiri upacara pertabalan King George VI dan pada tahun 1952, baginda menghadiri pertabalan Queen Elizabeth II di London. Menariknya putera baginda, Tunku Ja’afar turut dilantik sebagai Yang Dipertuan Agong ke-10 dan mengangkat sumpah di Istana Negara pada 26 April 1994.

MOMEN 
& MEMORI