Majalah Mastika edisi September 1990 menyi­arkan laporan khas sebanyak lima halaman memfokuskan peristiwa bersejarah itu dengan artikel bertajuk ‘Samad Said Akhiri Mogok Untuk Mencari Yang Jernih.’

Pada mulanya Pak Samad berikrar untuk melancarkan mogok seninya selama lima tahun yang sepatutnya berakhir pada 23 Julai 1993 tetapi selepas mengalami beberapa perkembangan positif dalam tempoh mogok itu, akhirnya beliau mengambil keputusan meng­akhirinya.

“Saya ingin mencari yang jernih dan melupakan segala-galanya yang lalu,” tegas Pak Samad.

Kata Pak Samad, mogok seni yang dilancarkannya itu merupakan suatu tindakan yang simbolik untuk menghantarkan isyarat kepada pihak-pihak yang berkenaan untuk membetulkan masalah birokasi yang selama ini yang ‘kurang rasa, kurang reti dan kurang visi.’

Selepas isyarat diterima dan telah nampak usaha-usaha untuk membetulkan sistem birokrasi itu supaya lebih bersifat kemanusiaan, maka Pak Samad merasakan adalah perlu beliau menamatkan mogok seninya itu lebih awal dari yang dijadualkan.

MASTIKA menyiarkan rencana bertajuk ‘Samad Said Akhiri Mogok Seni Untuk Mencari Jernih” pada Septemb
MASTIKA menyiarkan rencana bertajuk ‘Samad Said Akhiri Mogok Seni Untuk Mencari Jernih” pada September 1990.

Pak Samad mengakui mogok seni yang dilancarkannya pada 23 Julai 1989 itu dianggap berjaya kerana pihak-pihak berkenaan telah mulai sedar peranan penting yang harus dimainkan mereka.

“Mogok seni satu tahun dan tidak menulis adalah lebih bererti dari tidak mogok dan tidak menulis setahun,” kata Pak Samad (Mastika September 1990: 6).

Semasa mogok seni selama setahun itu, Pak Samad menga­kui “tiada siapa menang dan tiada siapa kalah!.”

“Kalau Dewan (Bahasa dan Pustaka) undur selangkah, saya undur empat langkah,” tegas­nya. “Tapi kalau Dewan maju selangkah, saya akan maju dua langkah. Langkah saya kecil, langkah Dewan besar. Jadi se­langkah Dewan bersamaan tiga empat langkah kita,” tambah Pak Samad (Mastika September 1990: 6).

Mingguan Malaysia pada 7 Mei 2000 pernah menyiarkan wawancara khas dengan Pak Samad bertajuk ‘Keruntuhan A. Samad Said’ yang mengimbau saat-saat menyedihkan lagi memilukan dalam hidup Saste­rawan Negara itu sehingga be­liau bertindak melakukan mogok seni fasa kedua selepas melakukan kali pertama pada 23 Julai 1989.

“Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said baru-baru ini mengambil keputusan untuk memutuskan terus hubungannya dengan kesusasteraan.

“Dia tidak akan menulis. Dia tidak mahu ambil tahu me­ngenai sastera. Dia akan kekal dengan minatnya berjalan-jalan ke sana sini dengan beg sandangnya dan selipar, naik bas, jalan kaki, mendengar muzik, menonton filem, bertemu segala macam orang tetapi dia tidak akan menulis lagi kisah manusia. Saya sekarang akan bermalas-malasan,” kata Pak Samad (Mingguan Malaysia 7 Mei 2000: 7).

“Masa menyedihkan hanya dua yang besar. Biarlah sekarang saya ceritakan. Pertama apabila menghantar surat kepada DBP untuk mengharapkan duit saya. Saya faham bahawa DBP ada jentera dan landasan yang harus dipatuhi tetapi ia adalah contoh terkuat yang menyebabkan saya mogok seni. Saya bukan me­minta minggu ini, minggu depan, saya sudah membayangkan siang-siang.

“Pernah apabila wang itu tidak datang saya tidak dapat hantar duit kepada anak saya yang pada masa itu belajar di Universiti Utara Malaysia. Saya bertanya pada dia sama ada dia ada duit atau tidak. Dia yang menyedari keadaan saya berkata; “Bapak jangan susah.” Sehinggalah suatu hari rakannya menelefon memberitahu bahawa dia menangis melihat anak saya duduk di balik pintu makan nasi dengan garam. Saya langsung tidak dapat lupa peristiwa itu.” (Mingguan Malaysia 7 Mei 2000)

Semasa mula-mula melan­carkan mogok seni, Mastika edisi Januari 1990 turut me­­­n­yiar­­kan bagaimana idea mogok seni Sasterawan Negara yang menggemparkan seluruh negara itu muncul.

Pak Samad sambil ketawa berkata: “Niat hendak lakukan sesuatu telah timbul hampir dua tahun lalu selepas saya merasa kecewa dengan sikap golongan-golongan tertentu terhadap saya.

“Tetapi idea ‘mogok seni’ ini bukan idea original dari saya. Ia (mogok) mula muncul ketika saya di Indonesia. Semasa berada di sana jumpa Rendra (Pe­nyair W.S. Rendra). Kami berbual-bual mengenai perkembangan sastera Indonesia/Malaysia dan juga mengenai masalah diri masing-masing.

“Rendra ada tanya saya berapa royalti yang saya dapat, saya beritahu 15 peratus. Dan Rendra beritahu saya dia dapat 20 peratus. Semasa berbincang masalah-masalah yang saya hadapi secara spontan Renda kata; “kalau tak puas hati mengapa tak lancarkan ‘mogok seni’ sahaja.

“Kalau semua seniman mogok seni tentu akan sunyi sepi dunia ini. Dan dari situ saya dapat idea untuk melancarkan mogok seni. Ia lebih berupa protes hati nurani saya. Sebenarnya sebelum itu saya sudah terfikir hal yang sama” (Mastika Januari 1990: 16).

Mogok seni yang dilancarkan oleh Pak Samad kira-kira 30 tahun lalu bagi memperjuangkan kebajikan penulis dan sasterawan di negara ini berbaloi apabila kerajaan bersetuju memberikan elaun bulanan RM5,000 kepada tujuh Sasterawan Negara, termasuk beliau pada 24 Jun 2019.