Johan Jaaffar dalam bukunya Jejak Seni (2017) dalam bab 22 “Saya Menggilai Latifah Omar” menyatakan, Latifah adalah antara bintang ge-milang di persada dunia seni filem Melayu era itu.

“Latifah menjadi heroin dalam banyak filem yang hebat sewaktu Cathay-Keris Film. Beliau ialah seniwati, bintang filem, artis glamor dan jelitawan yang banyak menghiasi muka depan akhbar, majalah hiburan pada zamannya” (Johan Jaaffar 2017: 85).

Utusan Melayu dan majalah terbitannya Utusan Film dan Sport, Mastika, Utusan Filem dan Fesyen meletakkan Latifah Omar sebagai ‘ratu filem Melayu’ mengalahkan primadona sezamannya seperti Kasma Booty, Maria Menado, Siput Sarawak, Saadiah, Sarimah dan Zaiton.

Bagaimanapun, Johan melihat kejelitaan yang dimiliki Latifah Omar dan Rohani B, primadona atau seri panggung bangsawan Bintang Timur Opera ketika itu ‘tidak seindah alam fantasi’ di zaman kanak-kanak dan remajanya.

“Saya banyak belajar daripada kehidupan kedua-dua seniwati ini. Kedua-duanya tidak hidup seindah fantasi yang mereka bawakan di pentas atau dalam filem.

“Latifah berkahwin tiga kali dan hidup sukar di peng-hujung hayatnya. Latifah digilai oleh P. Ramlee dan ba-nyak orang bangsawan, juga seorang sultan. Tetapi nasib tidak menyebelahi beliau” (Johan Jaaffar 2017).

Latifah pertama kali berlakon di samping P. Ramlee dalam filem Panggilan Pulau (1954) arahan S. Ramanathan ketika baru berusia 16 tahun.

Selepas berlakon empat lagi filem di Malay Film Produ­c‑­ ­tions (MFP), Latifah berhijrah ke Cathay-Keris Film.

Di sana, Latifah menemui pasangan skrinnya, Nordin Ahmad, salah seorang pelakon lelaki terbaik dalam sejarah sinema Melayu. Nordin juga berasal dari MFP dan pernah berlakon dengan P. Ramlee dalam filem kedua arahan P. Ramlee Semerah Padi (Johan Jaaffar 2017: 86).

Kali pertama Latifah digandingkan dengan Nordin Ahmad adalah dalam filem Serangan Orang Minyak arahan L. Krishnan pada tahun 1958.

Menurut Johan lagi, daripada 22 buah filem yang dilakonkannya di Cathay-Keris Film, Latifah digandingkan sebanyak 12 kali dengan Nordin Ahmad.

“Terasa benar chemistry antara dua pelakon ini dalam filem-filem seperti Laila Majnun, Chucu Datuk Merah, Gul Bakawali, Patung Cendana, Ikan Emas dan Gurindam Jiwa. Filem Latifah terakhir di Cathay-Keris Film ialah Naga Tasik Chini yang diarahkan Nordin Ahmad pada tahun 1966.

“Pada tahun 1971, Latifah berlakon di bawah arahan P. Ramlee di Merdeka Film Studio dengan filem ‘Putus Sudah Kasih Sayang’. Selepas itu beliau hilang dari radar dunia seni tanah air (Johan Jaaffar 2017).

Hidir Ali Razali (2017) dalam tulisannya bertajuk Di Sebalik Keserasian Nordin Ahmad dan Latifah Omar yang tersiar dalam portal The Patriots menyatakan, gandingan Nordin Ahmad-Latifah Omar mencetuskan fenomena baru dalam filem-filem terbitan Cathay-Keris Film. Kemuncak gandingan Nordin Ahmad dan Latifah Omar hadir pada tahun 1961 apabila Hussain Haniff dilantik menjadi pengarah dengan mengarahkan filem pertama beliau iaitu Hang Jebat.

Setelah gandingan mereka berjaya di dalam filem Hang Jebat, mereka sekali lagi disa­tukan di dalam filem Lanchang Kuning arahan M. Amin pada tahun 1962. Latifah mengakui kenangan berlakon bersama Nordin Ahmad merupakan kenangan paling manis dalam hidupnya yang tidak dapat dilupakan sampai bila-bila.

“Semasa me‑­nerima berita kematian Nordin Ahmad melalui berita radio, Latifah Omar ketika itu berada di Kuala Lumpur dan baru selesai menjalani penggambaran filem Putus Sudah Kasih Sa­yang (1971).

“Be­liau seolah-olah tidak percaya dengan be­rita kematian itu lalu menangis.

“Setelah pemergian Nordin Ahmad, Latifah Omar tidak lagi menonton filem-filem lakonan mereka berdua. Menurut Latifah Omar, beliau akan rasa sedih apabila mengenangkan kenangannya semasa berlakon bersama Nordin Ahmad sehingga pada tahun 1990-an barulah beliau ada keberanian untuk menontonnya semula tetapi tetap diiringi dengan air mata” (Hidir Ali Razali 2017).

Selepas membintangi filem terakhirnya, Putus Sudah Kasih Sayang karya Timbalan Ketua Pengarang Utusan Melayu Osman Abadi yang memegang watak Lisda seorang wanita terlibat cinta dua segi, Latifah Omar terus menyepikan diri daripada dunia lakonan tanah air.