Tun Abdul Razak terlibat dengan hampir semua peristiwa penting negara sepanjang bergelar Timbalan Perdana Menteri. Sebelum merdeka, Tun Abdul Razak berperanan menyiapkan laporan Penyata Razak 1956 yang menjadi asas pembentukan dasar pendidikan negara sejak merdeka.

Beliau turut bersama dengan Tunku Abdul Rahman ke London untuk rundingan kemerdekaan yang membuahkan nikmat merdeka buat seluruh rakyat Persekutuan Tanah Melayu ketika itu.

Tun Abdul Razak juga terkenal dengan peranannya membangunkan kawasan luar bandar melalui Rancangan Buku Merah yang dilancarkan pada 1960 selain mengilhamkan penubuhan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) sehingga digelar sebagai Bapa Pembangunan Malaysia.

Selain itu, Tun Abdul Razak juga terkenal dengan jolokan Bapa Perdamaian apabila sebagai Menteri Pertahanan ketika itu, beliau berjaya menguruskan hubungan dingin Malaysia dengan Indonesia ketika peristiwa Konfrontasi pada 1963 dengan cemerlang.

Malah, beliau juga berperanan besar menyusun semula pembangunan negara yang rosak akibat peristiwa 13 Mei dengan memimpin Majlis Gerakan Negara (Mageran) sehingga terciptanya Rukun Negara yang menjadi pegangan rakyat Malaysia sehingga kini.

Dua hari sebelum pelantikannya sebagai Perdana Menteri, Mingguan Malaysia menyiarkan berita mengenai Tun Abdul Razak pada muka hadapannya. Dengan gambar beliau memimpin tangan anak bongsunya, Datuk Seri Nazir Razak, berita tersebut melaporkan ikrar Tun Abdul Razak untuk berusaha sedaya upaya berkhidmat kepada negara dan bangsa selama memegang jawatan sebagai Perdana Menteri.

Berita itu turut melaporkan, Tun Abdul Razak yang baru pulang dari menghadiri Sidang Negara-negara Berkecuali (NAM) di Lusaka, Zambia dan melawat Yugoslavia serta Romania sebagai Menteri Luar Negeri tidak mahu memutuskan apa-apa tentang khabar angin rombakan Kabinet yang akan berlaku setelah beliau menjadi Perdana Menteri. Kata Tun Abdul Razak, beliau perlu membuat rundingan terlebih dahulu sebelum apa-apa perkara diputuskan.

Pelantikan Tun Abdul Razak sebagai Perdana Menteri mengubah haluan politik Malaysia secara luaran mahupun dalaman. Dr. Mahathir dalam memoirnya, ‘Doktor Umum’ ada menyatakan keterujaannya untuk kembali ke pangkuan UMNO ketika Tun Abdul Razak menjadi Presiden, setelah beliau disingkirkan oleh UMNO kerana mengkritik Tunku Abdul Rahman.

Dr. Mahathir yakin Tun Abdul Razak akan membuka lembaran baharu untuk UMNO dan kerajaan dengan tumpuan akan diberikan kepada usaha melibatkan orang Melayu dalam perniagaan dan perdagangan. Ini terbukti apabila Tun Abdul Razak segera menyusun rancangan untuk merombak dasar ekonomi Malaysia setelah beliau menjadi Perdana Menteri dan selepas itu melahirkan Dasar Ekonomi Baharu (DEB).

Dr. Mahathir juga yakin haluan politik luar Malaysia akan berubah daripada dasar yang pro-Barat dan pro-Komanwel pada zaman Tunku kepada dasar berkecuali yang lebih seimbang dan stabil. Sekali lagi, ia terbukti apabila Tun Abdul Razak memperkasakan kedudukan Malaysia dalam NAM dan menjalin hubungan dengan China.

Tun Abdul Razak turut memberi peluang untuk Dr. Mahathir kembali kepada UMNO dan membantu Dr. Mahathir melangsungkan karier politiknya sehingga bergelar Perdana Menteri paling lama berkhidmat untuk Malaysia. Dalam memoirnya itu, Dr. Mahathir menggelarkan Tun Abdul Razak sebagai mentornya.

Pemerintahan Tun Abdul Razak hanya bertahan selama kira-kira lima tahun empat bulan apabila beliau meninggal dunia dalam perkhidmatan ketika me­nerima rawatan di London. Utusan Malaysia melaporkan peristiwa sedih itu secara eksklusif melalui korespondennya di London, Tan Sri Zainuddin Maidin (Zam).

Zam mencatat dalam bukunya, Saya Bukan Menteri bahawa laporan kematian Tun Abdul Razak adalah antara laporan terpentingnya selama bertugas di London.