Menurut Profesor Madya Dr. Talib Samat dalam buku Jejak Pahlawan Mat Kilau (2007), kemunculan semula Mat Kilau pada 26 Disember 1969 di Masjid Kampung Pulau Tawar setelah menyembunyikan diri sejak sekian lama sebagai orang biasa mencetuskan ke­gemparan, kegoncangan dan keterharuan dalam kalangan masyarakat Melayu seluruh negara.

“Mat Kilau adalah seorang pahlawan bangsa yang berani, tegas, tidak mudah diperdayakan, yakin terhadap apa yang diperjuangkannya dan cekal hatinya. Jasanya wajar dikenang dan diteladani

KISAH kemunculan Mat Kilau diterbitkan di muka depan akhbar Utusan Malaysia pada 27 Disember 1969.
KISAH kemunculan Mat Kilau diterbitkan di muka depan akhbar Utusan Malaysia pada 27 Disember 1969. 

oleh generasi masa kini agar bersedia berjuang mempertahankan maruah dan tanah air tercinta daripada sebarang gugatan musuh.

“Mat Kilau terpaksa bersembunyi apabila diburu oleh Inggeris dan tidak memper­kenalkan dirinya yang sebenar kepada umum sehinggalah negara ini merdeka. Sejarah dan urutan hidupnya sejak diburu oleh penjajah Inggeris penuh dengan detik-detik perjuangan, pengorbanan yang bukan sedikit untuk melihat negara ini bebas daripada cengkaman penjajah” (Talib Samat 2007: 60).

Menurut laporan Dewan Masyarakat terbitan Januari 1970, kemunculan semula Mat Kilau selepas 13 tahun negara merdeka sungguh mengagumkan, malah memeranjatkan bukan sahaja ahli-ahli sejarah tempatan tapi juga rakyat negara ini.

“Beliau (Mat Kilau) seorang pahlawan yang tidak mendapat pengiktirafan pada zaman kegemilangannya telah disangka mati (di Terengganu) oleh beberapa orang ahli sejarah seperti Linehan dan Buyung Adil. Justeru itu berlaku dua pertelingkahan pendapat, yang mempercayai bahawa yang muncul sekarang ini sebenarnya Mat Kilau dan yang (bukan tidak mempercayai) me­nyangsikannya mungkin kerana sesuatu sebab” (Editor Dewan Masyarakat Januari 1970).

Ishak Haji Muha­mad (Pak Sako) dalam tulisannya yang tersiar dalam Utusan Zaman pada 4 Januari 1970 menceritakan kemunculan semula Mat Kilau setelah negara merdeka membawa petanda dan rahsia makna tertentu yang wajar direnungi oleh masyarakat Malaysia yang bijaksana.

“Alhamdulillah berbanyak-banyak syukur saya kepada Tuhan Yang Maha Kuasa Yang Pemurah, Pengasih dan Penyayang, maka dengan izin, dengan rahmat dan limpah kemurahannya, pada kira-kira waktu zuhur, lebih kurang satu setengah, saya dan rakan-rakan yang bersama saya dapat bersalam dengan mencium tangan pahlawan ulung, tokoh luar biasa dan orang tua ganjil ini, pada hari Selasa 30 Disember penghujung tahun ganjil 1969...”

“Saya sendiri percaya, melihat kepada perawakannya, roman dan anggotanya, tingkah laku dan tutur katanya serta tanda-tanda pada tubuh badannya, bahawa orang tua yang saya jumpai hari ini, dengan izin dan nikmat Allah­ Yang Maha Kuasa, ialah Mat Kilau, anak sulung Imam Rasu yang lebih terkenal dengan gelaran Tok Gajah dan juga Imam Perang Pahlawan. Wallahuaklam (Ishak Haji Muhamad 1970).

Profesor Madya Dr. Mohd. Rosli Saludin dalam tulisannya Ringkasan Kitab-Kitab Mat Kilau dalam buku Menelusuri Perjuangan Tiga Tokoh Pahlawan (Rawa ) Pahang, Tok Shahrom, Tok Gajah dan Mat Kilau (2013) menyatakan kehebatan pahlawan Pahang itu tidak perlu dipertikaikan lagi kerana beliau mengamalkan banyak ilmu yang diambil daripada al-Quran.

Menurutnya berdasarkan kajiannya terhadap Kitab-Kitab Mat Kilau ini yang dicetak oleh Utusan Melayu pada Ogos 1970 yang berharga RM4.50 sen senaskah, bukan semua kitab tersebut menggunakan mantera. Cuma 40 peratus amalan secara mantera dan 60 peratus lagi adalah amalan menggunakan ayat suci al-Quran.

“Tidak hairanlah, Mat Kilau seorang pahlawan yang begitu cekal dan hebat ketika menentang penjajah Inggeris. Perjuangannya mendaulatkan maruah bangsa tiada tolok bandingnya.

“Pahlawan yang mempu­nyai ilmu yang lengkap di dada dan penuh dengan amalan-amalan. Ilmu yang dibawanya meliputi segala pergerakan kehidupan seha­rian terutama sebagai seorang pahlawan yang sedang menentang penjajah.

“Selain daripada ilmu kepahlawanan seperti kebal, penggerun, pelemah, doa sekelian ilmu, selok belok bedil, isim pengadang, ilmu yang ada kaitan dengan besi dan lain-lain terdapat juga ilmu penting dari aspek untuk menjadi seorang lelaki yang sejati dan jika tidak lelaki sejati, bagaimana hendak menentang musuh.

“Amalan-amalan Mat Kilau adalah berupa ayat al-Quran dan mantera serta azimat dan telah diperakui oleh Imam Besar Masjid Negara, iaitu Haji Salleh Hassan Farid sebagai boleh diamalkan” (Mohd. Rosli Saludin 2013: 31).

ESOK: Sah! Mat Siam itu Mat Kilau