Menurut Nik Anuar Nik Mahmud dalam buku Tok Janggut Pejuang atau Penderhaka (1999), pada pandangan beliau tindakan kerajaan Kelantan itu bertentangan dengan fatwa yang dikeluarkan oleh Shaykh-al-Islam, Khayri Effendi yang mewajibkan umat Islam berjihad menentang British dan sekutunya yang merancang meruntuhkan institusi Khalifah Turki Uthmaniah yang menjadi penaung kepada umat Islam di seluruh dunia.

BUKU Tok Janggut Pejuang atau Penderhaka oleh Nik Anuar Nik Mahmud (1999).
BUKU Tok Janggut Pejuang atau Penderhaka oleh Nik Anuar Nik Mahmud (1999). 

Haji Mat Hassan yakin dan percaya bahawa Britain akan kalah di tangan Jerman dan Turki Uthmaniah dalam peperangan itu.

Haji Mat Hassan berpegang teguh dengan janji Allah: “Perangilah mereka, nescaya Allah akan menyeksakan mereka de­ngan (perantaraan) tangan kamu, dan Allah akan menghinakan mereka serta menolong kamu menewaskan mereka, dan Ia (Allah) akan memusnahkan hati orang-orang yang tidak beriman” (Surah At-Taubah: 14).

Apabila menyedari bahawa Sultan dan para pembesar Melayu di Kota Bharu tidak terdaya untuk melawan British, Haji Mat Hassan menawarkan diri kepada Ungku Besar Je­ram untuk menubuhkan barisan menentang British.

Haji Mat Hassan juga dikatakan mempunyai hubungan yang rapat dengan pejuang-pejuang Melayu Pahang seperti Tok Gajah, Mat Kilau, Datuk Bahaman dan Mat Seman (Mat Kelantan) yang telah bersembunyi di Jeram semasa menjadi buruan pihak British pada tahun-tahun 1890-an.

“Berpegang kepada pesa­nan gurunya Syekh Ahmad, Haji Mat Hassan bertekad untuk menentang British yang dianggap sebagai ‘kafir harbi’ sepertimana penjajah Siam.

“Beliau tidak dapat me­nerima ‘orang luar’, Encik Abdul Latiff (asal Singapura)sebagai District Officer (D.O) di Pasir Puteh memandangkan jajahan itu adalah hak keturunan Long Gapar.

“Encik Latiff dikatakan pernah menghina Haji Mat Hassan di depan khalayak ramai ketika beliau hendak membayar hasil cukai di Pejabat Ta­nah di Pasir Puteh” (Nik Anuar Nik Mahmud 1999: 24).

Sebenarnya, Haji Mat Hassan amat bersimpati dengan penderitaan rakyat Kelantan yang telah dibebani dengan pelbagai jenis kutipan hasil.

Sebagai langkah permulaan, Haji Mat Hassan dan Ung­ku Besar Jeram telah mengarahkan para pengikut mereka di Pasir Puteh supaya memboikot pembayaran hasil kepada kerajaan.

“Gerakan anti-hasil itu berjaya. Sebagaimana dilaporkan oleh Encik Latiff, District Officer bagi jajahan Pasir Mas, kutipan bagi daerah Bukit Abal dan Gaal untuk bulan April 1915 te­lah menurun secara mendadak daripada $3,000 kepada $89.32 sen sahaja” (Nik Anuar Nik Mahmud 1999).

MONOGRAF Peperangan Tok Janggut di Kelantan Oleh Hamdan Aziz.
MONOGRAF Peperangan Tok Janggut di Kelantan Oleh Hamdan Aziz. 

Kesempatan itu juga telah diambil oleh Haji Mat Hassan untuk menyusun barisan perjua­ngan bagi menentang British di Kelantan.

Pada 29 April 1915, Haji Mat Hassan telah bermesyuarat dengan pengikut-pengikutnya di rumah Tok Nik Bas di Kampung Tok Akib tentang strategi untuk menentang British. Keputusan telah diambil untuk mengambil alih pemerintahan di Pasir Puteh.

Apabila berita itu sampai ke pe­ngetahuan kerajaan, Encik Latiff (Pegawai Daerah) telah mengeluarkan waran kepada Sarjan Che Wan Sulaiman, Ke­tua Balai Polis Pasir Puteh untuk menangkap Haji Mat Hassan.

“Sarjan Che Wan dengan diiringi oleh dua orang mata-mata telah bertolak ke Kampung Tok Akib pada pagi 29 April 1915 bagi menjalankan tugas tersebut. Haji Mat Hassan enggan menyerah diri.

“Dalam pergelutan itu Haji Mat Hassan menikam Sarjan Che Wan. Sarjan Che Wan telah mati di tempat itu juga. Kedua-dua orang mata-mata yang mengiringi Sarjan Che Wan te­lah berjaya melarikan diri” (Nik Anuar Nik Mahmud 1999: 30).

Peristiwa itu telah diberitahu oleh mata-mata berkenaan kepada Encik Latiff. Dengan serta merta beliau telah me­ngarahkan lapan orang lagi mata-mata untuk menangkap Haji Mat Hassan.

Sebaik sampai sahaja di Kampung Kelubi mata-mata berkenaan teah diberitahu oleh orang-orang kampung bahawa Tok Janggut sedang bersiap sedia mengetuai sekumpulan lebih 100 pengikut berbangsa Melayu sedang mara untuk me­lancarkan serangan ke bandar Pasir Puteh. Petang itu juga Abdul Latiff melarikan diri ke Kota Bharu melalui Sungai Semerak.

Lanjutan daripada peristiwa berdarah di Kampung Tok Akib, Haji Mat Hassan dan pengikut-pengikutnya telah menyerbu bandar Pasir Puteh.

Sejurus sampai saja di di bandar itu pengikut-pengikut Haji Mat Hassan telah berteriak memanggil nama Pegawai Da­erah Pasir Puteh Encik Latiff dan kerani pejabat tanah supaya keluar tetapi tidak bersahut.

“Selepas berjaya menguasai bandar itu Haji Mat Hassan te­lah mengisytiharkan Ungku Besar Jeram sebagai peme­rintah Pasir Puteh dan beliau sendiri sebagai Perdana Menterinya. Pada masa yang sama, Haji Mat Hassan juga bersiap sedia untuk menghadapi serangan balas daripada pihak British di Kota Bharu” (Nik Anu­ar Nik Mahmud 1999: 30).

ESOK: Tok Janggut syahid di Pasir Puteh