Pengurangan cahaya boleh nampak ini menyebabkan suasana kabur yang menyukarkan pandangan penglihatan daripada jarak tertentu.

Fenomena jerebu di rantau Asia Tenggara termasuk Malaysia sering dikaitkan dengan pengurangan jarak penglihatan disebabkan kepekatan zarahan terampai yang tinggi di atmosfera akibat pembakaran biojisim.

MUKA depan akhbar Utusan Malaysia memuatkan berita bertajuk Darurat di Sarawak yang telah diumumkan
MUKA depan akhbar Utusan Malaysia memuatkan berita bertajuk Darurat di Sarawak
yang telah diumumkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 20 September 1997.

Menurut Mohd Talib Latif, Murnira Othman dan Kamilah Hanani Kamin dalam rencana bertajuk Fenomena Jerebu di Asia Tenggara: Punca dan Penyelesaian yang disiarkan dalam Majalah Salam Bestari Edisi Julai 2017 fenomena itu sering berlaku pada musim kering di mana pembakaran biojisim oleh faktor semula jadi dan antropogenik sukar dikawal sete­rusnya menyebabkan kehadiran zarahan terampai yang tinggi di udara.

Laporan itu memetik, sejak beberapa dekad yang lalu, fenomena jerebu seolah-olah telah menjadi acara tahunan di Asia Tenggara, terma­suk Malaysia.

Pada musim panas arah angin bergerak dari barat daya, zarahan terampai hasil pembakaran biojisim itu menyebabkan suasana berje­rebu yang teruk di kawasan pantai barat Semenanjung Malaysia serta Sabah dan Sarawak.

Suasana itu disebabkan pergerakan angin panas yang merentas sempadan membawa zarahan daripada kawasan pembakaran di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia.

Cuaca yang panas berterusan itu menyebabkan pembakaran yang drastik berlaku di beberapa kawasan di Malaysia meningkatkan lagi jumlah zarahan terampai di udara kesan ketidakstabilan atmosfera yang menyebabkan keadaan kering melampau.

Keadaan kering itu akan menyebabkan fenomena El Ninõ Southern Oscillation (ENSO) iaitu suhu air permukaan yang sejuk di bahagian barat Pasifik termasuk di lautan sekitar Asia Tenggara dan permukaan air yang panas di bahagian timur lautan Pasifik.

ENSO menyebabkan pengurangan jumlah hujan yang amat ketara di rantau Asia Tenggara.

Selain itu, fenomena Indian Ocean Dipole (IOD) yang berlaku pula menyebabkan permukaan air yang panas meninggalkan perairan Sumatera ke bahagian Selatan Afrika menyebabkan keadaan yang kering di Asia Tenggara dan memuncak pada bulan Julai sehingga bulan Oktober.

Keadaan kering itu menyebabkan kejadian pembakaran di kawasan tanah gambut menjadi lebih ke­rap dan cepat merebak di Malaysia.

Fenomena jerebu yang me­landa rantau Asia Tenggara termasuk di negara ini pada tahun 1997 dan 2015 menyebabkan Malaysia mengisytiharkan darurat dan yang terburuk dalam sejarah negara.

Muka depan Utusan Malaysia bertarikh 19 September 1997 memuatkan berita bertajuk Jerebu melebihi paras berbahaya melaporkan, Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengisytiharkan darurat je­rebu di Sarawak apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 650, paras ‘berbahaya’ paling tinggi dalam sejarah.

Perdana Menteri yang juga Pengarah Gerakan Negara ketika itu, membuat perisytiharan darurat jerebu alam sekitar pertama dalam sejarah negara, setelah berbincang dengan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana Negara, Tan Sri Mohamed Rahmat.

Dalam surat bertajuk Per­isytiharan Darurat Jerebu yang ditandatangani oleh Dr. Mahathir beliau berkata:

“Memandangkan keadaan jerebu di negeri Sarawak pada masa ini telah mencapai tahap IPG 500 ke atas dan adalah dianggarkan tahap ini akan berterusan beberapa lama lagi, maka dengan ini saya mengisytiharkan keadaan darurat jerebu bagi seluruh negeri Sarawak mulai dari sekarang hingga ke suatu masa pengisytiharan ini ditarik balik.” katanya.

Dr. Mahathir bagaimanapun menjelaskan bahawa pengisytiharan darurat itu tidak melibatkan penguatkuasaan perintah berkurung dan juga tidak adaperubahan corak dan sistem pemerintahan kerajaan negeri Sarawak.

“Walau bagaimanapun, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hendaklah mengatur dan mengambil langkah-langkah yang perlu bagi menjamin keberkesanan keamanan dan ke­selamatan negeri Sarawak,” jelas Perdana Menteri.

Mohamed yang juga Menteri Penerangan berkata, darurat itu akan ditarik balik oleh Dr. Mahathir apabila keadaan indeks jerebu itu berkurangan atau kembali stabil

Utusan Malaysia bertarikh 25 Oktober 2015 memuatkan berita bertajuk Jerebu terburuk dalam sejarah melaporkan, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar ketika itu, Datuk Ir. Hamim Samuri berkata, feno­mena jerebu yang berlaku disifatkan sebagai yang terburuk dalam sejarah negara sehingga menyebabkan sekolah-sekolah terpaksa ditutup, manakala pener­bangan dan beberapa acara luar peringkat kebangsaan dibatalkan.

Katanya, sebelum ini Malaysia tidak pernah mengalami masalah kemerosotan kualiti udara yang berulang sebanyak tiga kali dalam masa kurang satu bulan sehingga menyebabkan aktiviti harian orang ramai terjejas.

“Seperti yang kita tahu, masalah ini berpunca daripada pembakaran hutan di Indonesia dan keadaan bertambah buruk apabila wujudnya dua ribut tropika di selatan Fili­pina yang menolak asap jerebu ke negara kita.

“Jika dilihat imej satelit, ia agak menakutkan kerana asap jerebu yang datang dari kiri dan kanan menyebabkan Semenanjung serta Sabah dan Sarawak diliputi asap jerebu itu,” katanya.