Status kualiti udara yang mengundang jerebu boleh diketahui dengan melihat kepada tahap Indeks Pencemaran Udara atau IPU.

Jika tahap IPU melebihi 300, ini memberi petanda bahawa kualiti udara berada di tahap risiko yang membimbangkan.

Semakin tinggi tahap IPU, semakin tinggi kesan terhadap kesihatan diri manusia yang menyebabkan kesukaran untuk bernafas, jangkitan pada bahagian atas saluran pernafasan, serangan jantung, kegatalan pada tekak, mata serta kulit.

Menurut Ketua Unit dan Pakar Perunding Kanan Pediatrik Respiratori, Institut Pediatrik, Hospital Kuala Lumpur, Dr. Norzila Mohamed Zainudin dalam rencana bertajuk ‘Jere­bu tingkatkan serangan asma’ yang disiarkan dalam Mingguan Malaysia bertarikh 23 November 2012, jerebu adalah fenomena yang sering melanda Asia Tenggara dan negara ini disebabkan oleh pencemaran zarah-zarah atau habuk-habuk halus terapung di atmosfera dalam kepekatan tinggi dan tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Fenomena jerebu adalah masalah bagi semua orang, bukan hanya untuk mereka yang mempunyai penyakit respiratori.

Kesan jerebu terhadap kesihatan manusia umum biasa­nya ringan dan boleh dirawati dengan mudah.

Paling teruk, ia boleh menyebabkan gejala-gejala seperti keradangan mata, hidung atau ruam.

AKHBAR Mingguan Malaysia dalam ruangan Kesihatan memuatkan berita bertajuk Jerebu tingkatkan seranga
AKHBAR Mingguan Malaysia dalam ruangan Kesihatan memuatkan berita bertajuk Jerebu tingkatkan serangan asma pada 23 Disember 2012. 

Namun, jika pesakit mempunyai sejarah masalah respiratori, sinusitis dan alergi kulit, keadaan kesihatan mungkin lebih terancam semasa musim jerebu dan jika mempunyai penyakit asma, maka pesakit itu mudah mengalami gejala yang lebih teruk.

Serangan asma berlaku apabila seseorang itu mengalami sesak nafas berulang-ulang dan bunyi nafas berdehit disebabkan oleh bengkangkan pada tiub bronkus seterusnya menyempitkan saluran pernafasan dan mengurangkan aliran udara yang masuk dan keluar daripada paru-paru.

Laporan itu memetik, dalam kes-kes yang teruk, saluran pernafasan menjadi begitu sempit sehingga menyebabkan anda tidak dapat bernafas dengan secukupnya dan ini boleh mengakibatkan keadaan yang boleh membawa maut.

Gejala-gejala ini disebabkan oleh penyempitan saluran udara sehingga mengurangkan aliran udara yang masuk dan keluar daripada paru-paru.

Kajian menunjukkan terdapat hubung kait yang konsisten antara kualiti udara dan gejala asma yang teruk. Semasa musim jerebu, ia telah terbukti bahawa peningkatan dalam bahan-bahan pencemar udara akan mengurangkan fungsi paru-paru disebabkan oleh keradangan pada lapisan paru-paru.

Saluran pernafasan akan bertindak balas secara keterlaluan untuk mencetuskan dan merangsangkan banyak perubahan yang dikaitkan dengan keradangan.

Ini menjelaskan mengapa kekerapan kejadian asma dan jangkitan bahagian atas sistem pernafasan meningkat semasa musim jerebu.

Oleh sebab asma adalah satu keadaan yang kronik, ia tidak boleh diubati dan memerlukan rawatan dengan gabungan satu alat sedut untuk kelegaan segera dan satu ubat pencegah untuk kawalan jangka masa panjang.

Ubat penenang adalah satu alat sedut yang melegakan saluran pernafasan dan diguna kan apabila berlakunya serangan asma.

Ubat pencegah adalah satu alat sedut yang diguna setiap hari (walaupun tiada serangan asma) untuk mengurangkan keradangan dalam saluran pernafasan dan membantu untuk mengelakkan serangan yang sela­njutnya.

Oleh itu, ia adalah sangat penting orang ramai sedar tentang risiko yang boleh dihadapi kepada pesakit asma asma semasa musim je­rebu.

Jika tahap pen­­cemaran udara adalah tinggi, aktiviti di luar bangunan tidak digalakkan.

Beberapa petua berguna ketika jerebu, disarankan orang ramai kerap membasuh muka dan ta­ngan selepas me­lakukan aktiviti luar,jangan merokok, gunakan penutup mulut dan hidung apabila tahap kualiti udara semakin teruk, pastikan persekitaran dalam rumah sentiasa bersih.

Selain itu, minum air sekurang-kurangnya dua liter sehari, segera berjumpa doktor jika keadaan kesihatan semakin teruk dan mempunyai bekalan ubat-ubatan yang mencukupi bagi pesakit asma dan akhir sekali patuhi arahan dan nasihat daripada doktor.