Nama Botak Chin merujuk kepada gabungan tiga perkataan ‘Bo Tak Chin‘ dalam dialek Hok­kien yang membawa mak­sud ‘Cina tiada kerja’.

Botak Chin menjadi buruan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana dipercayai mendalangi beberapa kejadian rompakan ber­senjata di sekitar ibu negara dan cu­ba membunuh Timbalan Ke­tua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur ketika itu, De­pu­ti Superintendan (DSP), S. Kulasingam di lampu isyarat Jalan Davis-Jalan Pekeliling pada 22 November 1975.

Botak Chin dilahirkan dalam sebuah keluarga yang mempunyai 10 adik beradik di Kuala Lumpur pada 3 Mac 1951, berhenti sekolah pada usia 15 tahun dan bekerja sebagai pembantu di pasar borong Jalan Tun Ismail, Kuala Lumpur selama setahun.

Di sinilah, Botak Chin ter­pe­ngaruh dengan kegiatan jenayah dan menyertai kumpulan kongsi gelap atau Geng 360 yang menguasai kawasan tersebut dan merancang bersama tiga rakannya, dua daripadanya me­miliki pistol untuk melakukan rompakan pertama pada 19 April 1969.

Botak Chin kemudian me­mi­liki senjata pertamanya, re­vol­ver.22 lalu menubuhkan kum­pulannya sendiri dan melakukan lapan rompakan pada September 1969. Kegiatan itu berjaya di­tumpaskan PDRM. Botak Chin ditahan dan dihukum tujuh tahun pen­jara, tetapi dibebaskan pada No­vem­ber 1974.

Pada April 1975, Botak Chin kembali aktif dengan me­nu­buhkan kumpulan baharu yang dianggotai Ng Cheng Wong (Ah Wong), Beh Kok Chin (Pangkor Chin) dan Teh Bok Lay (Seh Chai).

Pada Mei 1975, Botak Chin memasuki Thailand dengan ban­tuan rakannya membeli senjata api. Tidak menunggu lama dan pada 2 Jun 1975 kumpulan itu merompak wang tunai RM5,800 di sebuah pusat perjudian haram di Sentul. Hasil rompakan itu, Botak Chin memasuki Thailand dan membeli lapan senjata serta 100 butir peluru.

Pada 20 Julai 1975, sebuah bank di Jalan Imbi menjadi sa­saran Botak Chin apabila wang tunai RM95,000 berjaya di­larikan. Sebuah kuil Cina di Jalan Kolam Ayer turut menjadi sa­saran. Beberapa pemain Mah­jong Cina turut dirompak melibatkan wang tunai RM10,000 dan barang kemas.

Pasukan polis terus mem­bu­runya dan pada September 1975, polis mengesan kereta Alfa Romeo curi yang dinaiki Botak Chin dan kumpulannya di Segambut Dalam. Selepas dikejar sejauh 3.2 kilometer dan dihujani tembakan polis, kereta itu berhenti dan Botak Chin menyelinap ke kawasan se­ting­gan berdekatan. Dalam keadaan kelam kabut, Botak Chin tertinggal sepucuk revolver .38, rakannya cedera ditembak dan berjaya memboloskan diri dengan merampas sebuah kereta Volvo milik seorang pegawai bank.

Botak Chin sekali lagi terlibat dalam rompakan terbesar pada 26 Oktober 1975. Dia melarikan wang tunai RM218,000 se­le­pas menembak pengawal kese­lamatan yang mem­bawa wang di Kelab Lumba Kuda Kuala Lumpur. Selepas beberapa bulan menjejak penjenayah kejam dan paling dikehendaki itu, akhirnya episod akhir pemburuan itu membawa polis ke sebuah ki­lang papan di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur. Botak Chin dan konco-konconya berjaya ditangkap polis.

Pada 12 Mei 1980, Botak Chin didakwa dengan tiga pertuduhan termasuk memiliki senjata api, peluru dan bom tangan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan kemudiannya dijatuhkan hukuman gantung sampai mati.

PERBICARAAN DAN KEMATIAN

Setahun selepas ditangkap, Botak Chin mencatat sejarah se­bagai orang pertama mengaku bersalah apabila didakwa me­ngi­kut Akta Keselamatan Da­lam Negeri (ISA) yang membawa ke­pada hukuman mati mandatori. Botak Chin di­bi­ca­rakan semula pada 1 April 1980.

Ketika menunggu hukuman mati dilaksanakan, Botak Chin bertindak menyerang dan men­cederakan warden penjara de­ngan senjata tajam sebanyak dua kali.

Botak Chin dihukum gantung sampai mati pada pukul 3 pagi, 11 Jun 1981 di Penjara Pudu, Kuala Lumpur.

Wartawan jenayah Syahril A. Kadir juga menyingkap rahsia mengenai kisah Botak Chin dalam bukunya The Untold Story.

Menurut Syahril, dia men­da­pat maklumat mengenai Botak Chin daripada pegawai polis yang paling dibenci Botak Chin, iaitu Kulasingam.

“Botak Chin pernah me­nga­rahkan konco-konconya menembak Kulasingam sehingga cedera parah. Aku pernah sehari suntuk bersama dengan Kulasingam masa dia pencen polis untuk mendapatkan kisah mengenai Botak Chin.

“Pernah ketika Botak Chin dimasukkan ke Penjara Pudu dulu, dia merancang untuk bom penjara berkenaan, untuk tujuan itu dia sedikit demi sedikit sediakan bahan letupan seperti paku dan karbaid yang dibawa masuk ke penjara secara beransur-ansur oleh mereka yang melawatnya.

“Bahan-bahan letupan ini disimpan di dalam tandas. Apa­bila wadar penjara dapat tahu, dia pukul dan tikam wadar penjara itu setengah mati!,”jelas Syahril.

Dalam pada itu, seorang Tim­balan Menteri Dalam Negeri ke­tika itu, diarah berjumpa dengan Botak Chin dekat penjara Pudu untuk menyelesaikan ma­salah keras kepala Botak Chin.

“Hendak tahu apa Botak Chin buat? Dia ‘offer’ pula timbalan menteri itu hasil duit rompakan yang dia simpan, janji dia dibe­bas­kan daripada penjara.

“Dan apabila timbalan men­teri itu enggan melayannya, dia maki hamun timbalan menteri itu, sebab kononnya me­lengahkan proses hukuman mati yang dikenakan ke atasnya.

“Pasal apa simpan gua (saya), kasi makan, buang duit kerajaan. Gantung gua, bakar gua punya ‘body’ dan buang semua habuk dalam parit, apa tunggu lagi? takutkah?, jerit Botak Chin pada timbalan menteri itu,” tulisnya lagi.

ESOK: KULASINGAM DIGERUNI BOTAK CHIN