Sememangnya Utusan penuh nostalgia dan panjang sejarahnya dalam menempuhi pelbagai cabaran sejak ia ditubuhkan pada 1939..

Tokoh Persuratan Dunia Numera 2013-Nusantara Mela­yu Raya, Dr. Shafie Abu Bakar di blog drshafie.blogspot.com menulis: ‘Nostalgik tentang Utusan di samping penerusan’ menyatakan, Utusan pada hari ini merayu: “Beli akhbar Utusan bantulah kami: halaman 11 menggambarkan kedaifan yang dialami Utusan akhbar Melayu tertua di negara ini yang diterbitkan sejak 1939 di Singapura sebelum berpindah ke Kuala Lumpur di Jalan Chow Sow Lin, Kuala Lumpur selepas merdeka.

“Utusan dilihat melalui imej-imej sejarah dilaluinya, Utusan disifatkan sebagai darah daging orang Melayu, Utusan adalah lidah yang melaporkan perjua­ngan kemerdekaan tanah air daripada zaman Datuk Onn Jaafar yang juga seorang wartawan bersama agamawan, Abu Bakar Al-Baqir hingga kepada bapa kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj dan Dr. Burhanuddin Al-Hilmi”.

Blog itu memetik, Utusan berkembang khususnya selepas kemerdekaan dan berpindah ke Kuala Lumpur kemudian menerbitkan Utusan Melayu, Utusan Zaman pada masa sama menerbitkan majalah Mastika.

Sejak dari awal penerbitan­nya hingga ke pertengahan tahun 1960-an, semua penerbitan di dalam tulisan Jawi terma­suklah majalah agama bulanan yang diberi judul Kiblat.

Pada awal 1960-an timbul polemik di dada akhbar tentang tulisan Jawi dan rumi antaranya didokong oleh Ang­katan Sasterawan 50 (Asas 50) yang dicetuskan Utusan Melayu memberi sumbangan besar kepada bidang keilmuan, cita-cita politik, kebahasaan dan kemurnian budaya Melayu berasaskan Islam.

Tokoh kepimpinan Asas 50, Asraf Abdul Wahab berpendapat, tulisan rumi lebih baik dan praktikal digunakan sebagai tulisan Melayu. Pendapat ini berpengaruh dan Berita Harian yang mula diterbit pada 1960-an menerbitkan akhbar berkenaan dalam tulisan rumi.

Dr. Shafie berkata, Utusan juga mengikut menerbitkan akhbar Utusan Malaysia dalam tulisan rumi tetapi masih mengekalkan penerbitan Utusan Melayu dalam tulisan Jawi, kemudian tinggal Utusan Zaman dalam tulisan jawi sebelum akhbar itu terkubur dan didokong oleh Mingguan Malaysia.

Selepas Utusan Kiblat - Majalah agama bertulisan jawi dihentikan, maka Utusan menerbitkan Al-Islam dalam tulisan rumi pada 1980-an. Majalah Mastika lebih awal menukarkan penerbitan daripada tulisan jawi kepada tulisan rumi.

Kekukuhan syarikat Utusan Melayu adalah kerana ia mendukung pemerintah semasa dan tiada tandingan oleh akhbar-akhbar lain.

Pernah Utusan Melayu dibawa ke kiri dan mogok terhadap pimpinan, Said Zahari dan pengikut-pengikut tetapi dapat ditumpaskan apabila Ibrahim Fikri bertindak me­madamkan gerakan kiri itu. Dapat dikatakan kekuatan Utusan Melayu kerana ia menjadi secara tidak rasmi sebagai lidah kerajaan.

KEPRIHATINAN SULTAN SELANGOR BELI SAHAM UTUSAN

Utusan Malaysia bertarikh 18 Mac 1982 memuatkan berita tentang Sultan Selangor, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah membeli lagi saham Utusan.

Laporan itu memetik, Sultan Selangor mencemar duli ke Ibu pejabat Utusan Me­layu di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur.

Sultan Salahuddin menghabiskan masa lebih dua jam mendengar taklimat, melawat bahagian pengurusan serta beramah mesra dengan kakita­ngan.

Yang turut mengiringi ba­ginda ialah Menteri Besar Sela­ngor ketika itu, Datuk Hormat Rafei; Timbalan Menteri Pe­ngangkutan, Datuk Abu Hassan Omar; Pengerusi Lembaga Pengarah Utusan Melayu, Ghafar Baba dan Pengarah Urusan Utusan Melayu, Senator Datuk Seri Hussein Noordin.

Sultan Selangor adalah pemegang saham syarikat Utusan Melayu. Ini merupakan lawatan kali kedua baginda selepas lawatan pertama pada tahun 1979.

Sempena kunjungan itu, ba­ginda menambah jumlah saham dalam Utusan Melayu sebanyak RM44,880 lagi.

Selepas melawat semua jabatan, baginda kemudian menyampaikan amanat baginda kepada seluruh kakitangan Utusan Melayu.

Baginda bertitah: “Hidup Utusan”.