Utusan Malaysia mempunyai hubung kait nasionalisme yang kuat dan penubuhan objektif utamanya ialah sebagai penyebar maklumat dan korpus ilmu di samping medan penting penjanaan misi dan visi kerajaan kepada rakyat.

Hari ini Utusan merupakan agen utama perubahan ke arah pembentukan masyarakat yang maju serta teras kepada kekuatan politik dan demokrasi di negara ini.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika berucap sempena Majlis Makan Malam Keluarga Utusan Melayu pada 19 Jun 1983 berkata, Kumpulan Utusan Melayu menjadi organisasi media terbesar negara dalam menyalurkan kesahihan fakta maklumat dan keadilan dalam laporannya di Malaysia.

Berikut petikan ucapan penuh Dr. Mahathir pada majlis tersebut.

“Kumpulan Utusan Melayu bukan sahaja mengeluarkan akhbar tetapi juga majalah dan buku dan bagi menyesuaikan dengan keadaan masa keluaran Kumpulan Utusan Melayu tidak lagi terhad kepada penerbitan yang bertulisan jawi malah yang bertulisan rumi. Demikian juga bagi memenuhi selera pembaca yang semakin meningkat dan meluas ilmu pengetahuannya, ruangan-ruangan tertentu telah diubah suai”.

“Pengeluaran sesebuah akhbar memerlukan tenaga yang ramai yang kebanyakannya pula memerlukan pengalaman dan kemakmuran. Sesebuah akhbar yang berjaya, bergantung kepada tenaga pekerja yang bertanggungjawab dan mempunyai sifat profesionalisme yang tinggi. Bagi kita di Malaysia, penubuhan Utusan Melayu merupakan akhbar yang begitu panjang sejarahnya. Utusan Melayu adalah salah satu saluran utama menggembleng semangat nasionalisme Melayu dan telah bersama-sama memainkan peranan di dalam memperjuang kemerdekaan negara dan membela nasib masyarakat Melayu”.

“Sesebuah akhbar mempunyai peranan yang penting di dalam sesebuah negara. Sesuatu keadaan boleh menjadi keroh hanya dengan tindak-tanduk sesebuah akhbar. Turun naik seseorang juga banyak bergantung kepada akhbar. Itulah sebabnya kadang-kala seseorang begitu takut untuk mendekatkan diri kepada masyarakat wartawan. Ini bukanlah bermakna bahawa wartawan tidak bertanggungjawab. Tetapi, sebagaimana juga di dalam apa-apa kumpulan tentu terdapat seorang-dua yang sama ada oleh sebab sifat cuai ataupun kerana motif-motif tertentu boleh menjejas imej profesionalisme sesebuah penerbitan”.

“Sedikit sebanyak wartawan di negara kita terpengaruh dengan dunia luar, khususnya pengaruh Barat. Di Barat sememangnya terdapat tokoh-tokoh wartawan yang berkaliber tetapi tidak kurang pula terdapat mereka yang hanya bermati-matian membuat kecaman terhadap sesiapa juga kecuali dirinya sendiri. Saudara-saudari tentu tahu tentang cerita-cerita mengenai wartawan-wartawan yang setiap masa mengintip hinggakan sanggup membongkar hal-hal peribadi seseorang sehinggakan hidup orang lain tidak lagi bebas dari intipan mereka. Sebenarnya gambaran seperti ini menunjukkan tingkah-laku orang gila dan bukan dari keluarga wartawan profesionalisme”.

“Kita masih bernasib baik kerana masyarakat kita masih mempunyai nilai-nilai timur yang mementingkan kehormatan orang lain. Apa-apa juga konsep profesionalis­me kita mestilah berteraskan kepada nilai-nilai mulia ini. Masyarakat kita adalah masyarakat yang mementingkan kebaikan dan profesiona­lisme kita juga dalam apa jua bidang aktiviti kita mestilah juga berpandukan kepada usaha memupuk kebaikan. Saya yakin perkara ini telah diterima sebagai asas panduan wartawan-wartawan kita. Kita tidak harus hanyut dengan pengaruh wartawan-wartawan liar, asing yang mungkin berpendapat bahawa menggunakan alat media massa untuk kebaikan umum sebagai propa­ganda. Kita harus bertanyakan diri kita apakah hanya mencari-mencari keburukan itu bukan propaganda”.

“Malam ini anggota keluar­ga Utusan Melayu dalam satu suasana meriah beramah-mesra sesama sendiri. Orang ramai biasanya tidak tahu bahawa usaha mengeluarkan sesebuah akhbar memerlukan begitu ramai tenaga pekerja yang perlu mengendalikan berbagai-bagai aspek tugas. Biasanya seseorang tidak memikirkan selain daripada apa yang dapat dibacanya apabila dia mendapat naskhah akhbarnya pada setiap pagi,” kata Dr. Mahathir.