Tragedi paling tidak dapat dilupakan berlaku pada 1990 apabila seramai 1,426 jemaah haji termasuk 153 orang dari Malaysia terkorban ketika mereka berasak-asak di dalam terowong Al-Muassim untuk melakukan ibadat melontar.

Langkah itu memastikan pengalaman menakutkan jemaah haji yang terpaksa melontar jamrah secara berasak-asak sehingga membahayakan diri mereka tidak lagi berulang.

Selain tragedi terowong Al-Muassim pada 1990, peristiwa hitam lain sebelum pembinaan jambatan baharu itu berlaku pada 1998 apabila seramai 118 jemaah haji terbunuh semasa melontar.

Kejadian sama berulang pada 2004 apabila seramai 244 jemaah haji terkorban semasa melontar dan pada 2006 pula seramai 363 jemaah terbunuh.

Bagaimanapun, peristiwa hitam di Mina yang terletak lapan kilometer dari Mekah itu tidak lagi berulang setelah banyak penambahbaikan yang dilakukan oleh kerajaan Arab Saudi yang membina infrastruktur baru dan memperkemaskan sistem pengurusan serta pengangkutan jemaah.

Projek pembesaran Jambatan Jamrah setinggi lima tingkat di Mina yang siap pada 2008 adalah antara projek utama yang telah dilaksanakan kerajaan negara itu.

Projek berharga lebih RM5 bilion itu dimulakan pembinaannya pada 2006 dengan proses meruntuhkan jambatan dua tingkat sedia ada yang dibina pada 1975.

Jambatan sepanjang 950 meter dan lebar 80 meter dan setiap tingkat setinggi 12 meter itu dibina bagi memudahkan pergerakan jemaah, jambatan baharu itu mempunyai 12 laluan masuk dan 12 laluan keluar.

Laluan secara sehala itu memastikan jemaah tidak lagi pergi ke tempat melontar dan berpatah balik melalui laluan sama sehingga berlaku pertembungan dengan jemaah yang mahu memasuki kawasan itu.

Jambatan yang mampu menampung kira-kira 300,000 jemaah dalam sejam turut dilengkapi 1,850 kamera litar tertutup (CCTV) bagi memantau pergerakan jemaah dan turut mempunyai dua tapak pendaratan helikopter ketika situasi kecemasan.

Insiden terbesar yang sering berlaku sepanjang musim haji ialah kejadian khemah terbakar. Pada 1989 misalnya, lima jemaah haji Pakistan terkorban dan 34 jemaah haji pelbagai negara cedera dan pada 1995, tiga jemaah haji maut dan 99 lagi cedera.

Penyediaan khemah kalis api itu melibatkan kawasan seluas 2.5 juta meter persegi yang dibahagikan mengikut kem-kem yang boleh menempatkan 2.6 juta jemaah.

Khemah berkenaan dibina menggunakan kaca gentian yang disalut oleh lapisan kalis api yang dikenali dengan nama Teflon.

Setiap kem yang menempatkan khemah berkenaan mempunyai kemudahan tandas, dapur untuk memasak, tempat pembuangan sampah, lampu dan penyaman udara. Setiap khemah dipisahkan antara satu sama lain dengan dinding besi.

Turut memperlihatkan perubahan adalah pembesaran laluan sepanjang 375 meter pada 2008 untuk jemaah haji melakukan sai di antara bukit Safa dan Marwah di Mekah.

Lebar laluan itu telah dibesarkan kepada 40 meter dan jumlah tingkat ditambah menjadi empat tingkat. Ia juga mempunyai kemudahan eskalator dan lif.

Dalam pada itu, pembinaan hotel dengan bantuan para jurutera dan arkitek antarabangsa berjaya memastikan kejadian jemaah terkorban kerana bangunan runtuh tidak berulang.

Pada 5 Januari 2006 misalnya, seramai 76 orang termasuk empat jemaah haji Malaysia maut dan 62 jemaah haji pelbagai negara cedera dalam kejadian hotel runtuh di Al-Gazzah dekat Masjidilharam.

Antara kemalangan melibatkan jemaah Malaysia berlaku pada 2006 yang mengorbankan lapan orang dan seorang cedera parah apabila van yang dinaiki mereka terbalik.

Sumber: Pusat Maklumat Utusan