Bagi merealisasikan agenda perpaduan nasional itu, kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri ketika itu, Tun. Dr. Mahathir Mohamad memperuntukkan sebanyak RM20.7 juta untuk diagihkan mengikut keperluan, enrolmen dan saiz sekolah baharu berlainan bahasa pengantar untuk dile­takkan di bawah satu bumbung atau kompleks menjelang 2000.

Idea kerajaan itu direa­lisasikan dengan penubuhan Sekolah Wawasan pertama, Kompleks Sekolah Telok Se­ngat (KSTS), Kota Tinggi, Johor yang telah dilancarkan pada 16 Jun 1997 dengan hasrat untuk menyuburkan perpaduan nasional.

Penubuhan KSTS menjadi contoh dan model kepada tujuh buah Sekolah Wawasan yang dikenal pasti menjelang 2000. KTSS terletak di kawasan pedalaman lebih kurang 30 ki­lometer dari bandar Kota Tinggi dan merupakan sebuah kompleks unik menggabungkan tiga buah sekolah berlainan aliran bahasa dan kaum di bawah satu bumbung.

KTSS pernah dikenali sebagai Sekolah Integrasi ketika penubuhannya pada 1985, kini merupakan Sekolah Wawasan pertama daripada tujuh lagi yang dirancang.

Sekolah Wawasan lain yang dalam perancangan menjelang 2000 ialah tiga di Perak dan masing-masing sebuah di Kedah, Johor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 23 September 1997 memuatkan berita bertajuk Sekolah Wawasan: Kompleks Sekolah Telok Sengat model berjaya melaporkan, Sekolah Wawasan, Sekolah Telok Sengat merupakan model sekolah perpaduan nasional apabila berjaya menghimpunkan 280 murid daripada tiga aliran berlainan iaitu Sekolah Kebangsaan Telok Se­ngat, 193 murid, Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Nan Ya, 58 murid dan Sekolah Kebangsaan (Tamil) Ladang Telok Sengat, 29 murid diletakkan di bawah satu bumbung blok ba­ngunan tiga tingkat dan satu blok dua tingkat itu.

Kompleks seluas 4.03 ekar yang diluluskan kerajaan pada Mei 1980 dengan peruntukan RM524,000 itu dibina secara pasang siap pada 1983 turut mengandungi enam pintu rumah guru yang juga dikongsi tiga aliran sekolah.

DONG JIAO ZONG TOLAK SEKOLAH WAWASAN

Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 3 November 2000 menyi­arkan berita bertajuk Konsep Sekolah Wawasan ditolak tanpa alasan melaporkan, Menteri Pendidikan ketika itu, Tan Sri Musa Moha­mad berkata, Persatuan Dong Jiao Zhong yang menolak konsep Sekolah Wawasan yang ingin diperkenalkan oleh kerajaan, tidak memberikan sebarang alasan mengapa mereka mengambil keputusan demikian.

Menurutnya, kementerian telah cuba mengaturkan dua pertemuan dengan persatuan itu sebelum ini untuk membincangkan tentang garis panduan Sekolah Wawasan tetapi ber­akhir dengan kegagalan.

“Kali pertama pertemuan, persatuan itu mahu le­bih masa untuk mengkaji perkara ini (garis panduan), tetapi semasa pertemuan kali kedua sebulan selepas itu, mereka kata mereka menentang konsep (Sekolah Wawasan).

“Mereka langsung tidak memberitahu saya mengapa menentang konsep tersebut. Mereka cuma berkata: “Kami menentang konsep (Sekolah Wawasan) tersebut, noktah”. katanya.

Sebuah akhbar berbahasa Inggeris pada 2 November 2000 turut melaporkan pemangku pengerusi persatuan itu, Dr. Yap Sin Tian berkata, persatuan itu menolak Sekolah Wawasan ke­rana khuatir garis panduannya yang samar akan mengancam pembangunan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina.

Musa memberitahu, se­kira­nya persatuan tersebut men­dakwa terdapat kesamaran dalam konsep Sekolah Wawasan, mereka sepatutnya meminta penjelasan mengenainya.

Laporan itu memetik, kementerian tidak lagi berminat mengenai perbincangan konsep Sekolah Wawasan tetapi lebih menjurus kepada garis panduan pelaksanaan sekolah ini.

“Kita tidak lagi membincangkan konsep sekolah ini kerana setakat yang saya tahu, komponen-komponen parti Barisan Nasional (BN) mahupun persatuan tersebut telah mempersetujui konsep tersebut sebelum ini,” katanya.

Musa menyatakan, tidak ada gunanya perbincangan diadakan lagi dengan persatuan itu sebaliknya perbincangan perlu diadakan dengan wakil parti MCA, Gerakan dan persatuan-persatuan Cina yang bersetuju de­ngan konsep sekolah itu.

“Sekarang ini perbincangan diadakan dengan ketiga-tiga pihak berkenaan dan bukannya dengan Persatuan Dong Jiao Zong kerana persatuan tersebut telah menolak Sekolah Wawasan,” ujar­nya.