SENU ABDUL RAHMAN
SENU ABDUL RAHMAN 

Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussien dalam per­utusannya pada 20 Novem­ber 1970, menyifatkan ri­salah dalam Revolusi Mental yang disusun oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Senu Abdul Rahman sebagai maha karya yang perlu dibaca oleh semua orang Melayu bertuju­an menyedarkan bangsa Melayu mengenai kedaifan dan ke­kurangan yang sedang mem­belenggu kehidupan mereka hari ini.

“Saya mengalu-alukan pe­ner­bitan buku Revolusi Mental ini yang boleh disifatkan sebagai ‘satu batu tanda’ yang penting dalam daya pemikiran cerdik pandai kita bagi menggalakkan pembangunan ma­sya­rakat Melayu.

“Ketibaan buku ini amat kena pada masanya meman­dangkan kepada keperluan-keperluan negara kita hari ini yang sangat bergantung kepada pemikiran yang ra­sional dan dinamis” (Revolusi Mental edisi kedua 2002).

Menurut Tun Razak, beliau sedar antara beberapa sebab orang Melayu tidak dapat menyertai dengan sepenuhnya usaha-usaha pembangunan ekonomi dan sosial ialah kemunduran daya pemikiran mereka yang berpunca daripada kekurangan pengetahuan dan dikongkong oleh hidup yang kolot. Akibatnya, masyarakat Melayu ketinggalan beberapa tapak di belakang masyarakat lain dalam usaha mengejar kemajuan bagi memajukan diri dan bangsa Melayu.

Tun Razak seterusnya memberi peringatan kepada orang Melayu, katanya: “Zaman moden ini ialah zaman perubahan. Kumpulan yang cergas fikiran dan tangkas tindakannya pasti akan berjaya. Sebaliknya, kumpulan yang statik kerana dikongkong oleh corak hidup dan cara pemikiran yang lama akan tewas dalam perlumbaan ini” (Revolusi Mental edisi kedua 2002).

Menurut Senu Abdul Rahman, Revolusi Mental merupakan satu gerakan perubahan yang bakal menggegarkan bangsa Melayu selain membuka mata masyarakat bukan Melayu yang selama ini menganggap orang Melayu hidup bergantung kepada ihsan bantuan kerajaan semata-mata.

Beliau merujuk pelajaran dan pengalaman yang dikutip daripada Peristiwa 13 Mei yang mengingatkan orang Melayu bahawa segala kemegahan dan kebanggaan yang lahir daripada kemerdekaan dan kemajuan berikutnya merupakan sebagai telur di hujung tanduk (Senu Abdul Rahman 2002: xi).

“Revolusi ini berlainan daripada revolusi politik atau sosial yang berlaku di sesetengah negara. Revolusi tidak berkehendakkan pengorbanan yang berupa pertumpahan darah atau pengorbanan harta benda.

“Revolusi ini tidak dilancarkan terhadap sesiapa atau sesuatu golongan atau sesebuah negara, melainkan terhadap diri orang Melayu sendiri, ‘introvert’ bukan ‘extrovert’. Pendeknya revolusi ini merupakan revolusi meneropong ke dalam fikiran orang Melayu sendiri” (Senu Abdul Rahman 2002).

Senu menghuraikan bebe­rapa faktor yang menyebabkan kemunduran bangsa Melayu supaya segala kelemahan dan kekurangan yang ada itu dapat diatasi dan diperbaiki melalui gerakan Revolusi Mental orang Melayu.

Beliau menyatakan, tidak dinafikan bahawa selama ini orang Melayu tertekan dan tertindas. Tekanan dan penindasan ini bukan sahaja berupa material dan fizikal dalam lapangan ekonomi, pelajaran dan lain-lain tetapi dari segi kekuatan mental yang menghalang kebolehan orang Melayu berfikir dengan tajam.

Senu turut memetik gambaran buruk yang diberikan oleh sarjana luar negara yang jahil mengenai masyarakat Melayu yang diterbitkan dalam jurnal dan buku-buku karya sastera, politik dan budaya.

“Umpamanya, Valentijin, seorang penulis Belanda mengatakan: Orang Melayu tak boleh dipercayai, kuat bersuka ria dan bercinta. Seorang penulis bangsa Portugis pula Godinho de Eredia menyifatkan orang Melayu sebagai angkuh, kuat bercinta, tidak boleh dipercayai, kuat bersuka ria, suka mencuri, tak senonoh, putar belit, kepandaian ada tetapi cuai dalam kerja, menggunakan masa untuk bersuka-suka dan suka menyanyi.

“Begitu juga menurut pendapat pentadbir-pentadbir Inggeris seperti Francis Light, William Maxwell, R. J. Willkinson, R. O Winstedt dan lain-lain yang mengatakan: Orang Melayu malas, tidak mahu mengumpulkan harta dan bersikap menerima sahaja, tidak berusaha, tidak ingin mencari kekayaan dan berpuas hati dengan cara-cara biasa sahaja” (Senu Abdul Rahman 2002: xviii).

Namun demikan menurut Senu lagi, ada juga sarjana Inggeris yang memuji orang Melayu mengenai sifat-sifat terpuji yang dimiliki orang Melayu seperti menjaga maruah diri selain mempunyai harga diri yang tinggi, sifat kebanggaan, sifat kejenakaan yang tajam, pantang dicemuh, baik hati, suka berkenalan, sukakan hidup aman damai, bersifat lemah lembut dan bersopan santun.

“Biarpun pendapat-pendapat orang asing seperti Valentijin dan Godinho de Eredia tadi adalah pendapat pada kurun ke-16 dan ke-17 pada masa pemerintahan Portugis dan Belanda di Melaka bermaharajalela dan melakukan berbagai-bagai kezaliman serta kekejaman terhadap orang Melayu, dan bairpun penulis-penulis itu telah menulis de­ngan perasaan ekstrem, sakit hati dan benci tetapi elok juga orang Melayu mengetahui gambaran-gambaran itu pada saat-saat yang akhir ini, gambaran yang mengatakan orang Melayu malas, tidak mahu berusaha sebagaimana orang lain, berpuas hati de­ngan keadaan yang ada dan bersifat ‘tidak apa’ terhadap satu-satu perkara, masih merupakan pendapat umum dalam kalangan sesetengah pihak baik di dalam mahu pun di luar negara ini” (Senu Abdul Rahman 2002).

Sumber: Pusat Maklumat Utusan