Ini kerana, populariti P. Ramlee ketika itu sangat meluas menerusi filem-filem arahan dan lakonannya se­perti Penarik Beca, Antara Dua Darjat, Anakku Sazali dan Se­merah Padi.

Menurut Zainuddin Maidin dalam bukunya, Pertama dan Terakhir (1980), seorang menteri Kabinet Tunku, Mohd. Khir Johari yang berada di Jakarta pernah ditanya bertalu-talu oleh para wartawan mengenai kehebatan Tunku Abdul Rahman dan P.Ramlee apabila beliau menjejakkan kaki di Jakarta.

“Mohd. Khir Johari yang telah pun menjadi menteri Kabinet pada masa itu berkata, orang yang pa­ling popular di Malaya selepas Tunku ialah P. Ramlee,” kata Zainuddin dalam buku itu.

Tunku pula menjadi popular apabila beliau berjaya membawa kemenangan besar Perikatan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 1969 dengan memenangi 74 kerusi.

“Tunku memberitahu kami bahawa beliau menjangkakan kemenangan Perikatan lebih daripada 70 kerusi dan bukan hanya kira-kira 70 kerusi.

“Apabila semua keputusan pilihan raya selesai diumumkan, maka nyatalah ramalan Tunku tepat. Perikatan menang sejumlah lebih daripada 70 kerusi iaitu 74 kerusi, Pas (13), Front Sosialis (8), Bebas (3), Malayan Parti (1) dan Parti Negara (1)” (Zainuddin Maidin 1980)

Nyatalah, Utusan Melayu berjaya meletakkan dua tokoh penting itu di mercu kejayaan melalui rencana-rencana yang membina dan menyokong karier Tunku dan P. Ramlee sejak awal mereka bertapak dalam bidang masing-masing.

Walaupun Tunku Abdul Rahman mendapat tentangan sengit parti-parti pembangkang tetapi beliau benar-benar berada di puncak kemasyhuran dan kegemilangannya apabila berjaya mengetepikan pelbagai andaian berhubung ketidakcekapannya mentadbir negara selepas tragedi 13 Mei 1969.

Begitu juga P. Ramlee yang bermula sebagai seorang pelakon tambahan melonjak naik sebagai hero dan hasil desakan Utusan Melayu yang memberi tekanan kepada Malay Film Productions supaya memberi laluan kepada P. Ramlee sebagai pengarah akhir­nya tercapai.

Menurut Abdullah Hussain dalam tulisannya Liku-Liku Hidup P. Ramlee: Tokoh Le­genda Sepanjang Zaman (2003) semasa era ke­gemilangannya, P. Ramlee digilai bukan sahaja di Singapura dan Malaya tetapi juga di Indonesia, Brunei, Labuan, Sabah dan Sarawak.

Gadis-gadis 
‘sakit rindu’

“Apabila filem lakonannya sampai ke kota-kota di Indonesia, lalu lintas menjadi macet. Lagu Juwitaku Sayang dalam filem Pembalasan yang didendangkan dengan Lena menjadi lagu siulan kegemaran penarik beca di kota Palembang dan beberapa buah kota lain bertahun-tahun lamanya.

“Seorang gadis anak we­dana di Palembang jatuh sakit kerana rindukannya, kemudian diikuti dengan berita gadis dari Surabaya, gadis dari Singapura dan dari Bukit Mertajam yang menderita sakit kerana rindukan P. Ramlee.

“Surat-surat cinta bertimbun-timbun banyaknya yang P. Ramlee sendiri terima dan yang majalah (Gelanggang Filem) terima setiap hari. Lagu Azizah begitu popular sehingga banyak wanita bernama Azizah di Pulau Pinang mengaku diri mereka Azizah yang memberi inspirasi kepada P.Ramlee menggubah lagu tersebut” (Abdullah Hussain 2003: 39-40).

Menurut Ahmad Sarji Abdul Hamid dalam tulisannya, P. Ramlee Seniman Agung: Suatu Penelitian dalam (2003), penonton berbangsa Melayu ketika itu amat menggemari lakonan, keterampilan, senyuman manis, perwatakan dan suara P. Ramlee yang amat merdu.

“Kekuatannya terletak pada kebolehannya membawa watak hero yang dapat menawan kekasihnya bukan sangat dengan senyuman dan gerak geri tetapi lebih dengan lagu-lagu dan tarian” (Ahmad Sarji Abdul Hamid (2003: 113).

Menurutnya, lagu ‘Getaran Jiwa’ (filem Antara Dua Darjat, 1960) telah diakui sebagai suatu karya agung oleh pelbagai keturunan di Malaysia dan juga antarabangsa.

Malah katanya, negara Jepun juga terpukau oleh muzik P. Ramlee apabila seniwati Jepun, Kako Shimada menyanyikan lagu Jeritan Batin Ku dalam albumnya yang kedua, Robin 99 dalam versi Inggeris diberi nama India Summer.

Pada tahun 1956, Phani Majumdar mengarah filem Anakku Sazali yang menampilkan P. Ramlee sebagai hero yang memegang watak Hassan dan heroinnya, seniwati Zaiton sebagai Mahani.

P. Ramlee berjaya melakonkan dua watak sekaligus iaitu sebagai seorang bapa (Hassan) dan anak (Sazali) selain me­nyanyi secara berduet dengan Normadiah lagu ‘Joget Si Pinang Muda’ dan ‘Itulah Sayang’ serta menyanyi secara solo, Anakku Sazali sebagai lagu untuk tajuk filem yang mempesonakan.

Menerusi filem ini, P. Ramlee mendapat anugerah Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Asia pada tahun 1957 kerana berjaya mempamerkan lakonan yang hebat dan unggul mengalahkan filem-filem lain dari seluruh Asia.

- ESOK: PADAMNYA SEBUAH PELITA