Kad raya merupakan medium popular sejak era 1950-an, sememangnya antara kisah yang akan diingati setiap orang pada zaman itu setiap kali tiba­nya Aidilfitri.

Menghantar kad raya ibarat satu kemestian kepada setiap orang satu ketika dahulu. Ramai yang berlumba-lumba menghantar kad raya pelbagai bentuk dan saiz kepada keluarga, teman-teman dan taulan sebagai tanda ingatan.

Lebih banyak kad raya dihantar, lebih banyaklah yang bakal diterima kembali.

Penulis Klik Web Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Sarifah Nurhanum Syed Sahuri dalam tulisannya “Nostalgia Kad Raya’ menyatakan kad raya kebiasaannya diutuskan kepada individu penting kepada penulisnya, seperti ibu bapa, adik-beradik dan sahabat handai,

Laras bahasa yang digunakan sangat sopan dan pemilihan perkataan yang digunakan dalam kad raya seolah-olah mewakili rasa hormat dan kasih sayang penulisnya kepada pe­nerima.

Sebagai contoh, gelaran ayah­anda dan bonda digunakan sebagai kata ganti nama bagi ayah dan ibu. Penggunaan kata ganti nama kiriman kad raya itu menggambarkan adab dan budi bahasa orang Melayu pada waktu itu.

Selain itu, kata-kata dalam kad raya sering mengandungi doa dan harapan penulisnya. Lebih-lebih lagi bagi yang ber­ada di perantauan dan tinggal jauh daripada keluarga tersa­yang.

Momen kad raya antara nostalgia paling manis pernah dirasai penerimanya apabila mene­rima kehadiran ‘abang posmen’ yang sangat ditunggu-tunggu.

“Ada yang sanggup duduk di tepi tangga dan depan rumah masing-masing kerana menunggu kehadiran posmen membawa kad raya.

“Cukup seronok penerima, jika posmen singgah di rumah mereka dan menyerahkan kad raya daripada orang tersayang termasuk saudara mara dan rakan,” katanya.

Menurut Sarifah, selain menggambarkan rasa hormat penulisnya dalam menzahirkan semangat raya dan lebih terkesan di hati pengirim, ia juga dijadikan hiasan oleh penerima dan digantung di ruang tamu rumah.

Hari ini segalanya ber­ubah, cara hidup mudah hari ini mengubah suasana dan tradisi kad hari raya. Teknologi turut meragut keaslian sambutan hari gembira itu.

Mungkin ada yang beranggapan itu semua perkara kecil dan remeh, namun tidak mustahil banyak lagi kemeriahan hari raya yang akan terhakis pada masa depan.

Kad raya adalah contoh satu tradisi yang telah dilupakan. Hari ini semua orang beralih kepada kad raya elektronik atau memuat naik ucapan di aplikasi Facebook, Twitter atau What­s­App.

Secara perlahan-lahan, kad raya sudah boleh disingkirkan daripada kamus hari raya. Peredaran masa dan kemajuan teknologi menenggelamkan aktiviti kata-kata kad raya.

Penulisan kad raya telah menjadi lebih terbuka. Isi kan­dungannya boleh dibaca sesiapa sahaja dalam media sosial.

Nilai keaslian turut hilang apabila tulisan itu boleh disalin semula dan dihantar kepada orang lain.

Kualiti tulisan dalam bahasa Melayu turut tercemar lantaran penggunaan bahasa rojak, singkatan perkataan yang sukar difahami dan susunan ayat yang tidak teratur sehingga keaslian dan nilai-nilai keluhuran bahasa Melayu diperlekehkan sesuka hati.

Sumber: Pusat Maklumat Utusan